Thursday, 19 November 2015


BUNGA TANJUNG DAN ARWAH MAK ANDAK.



SEKADAR GAMBAR HIASAN

     Sekitar bulan Mei dan Jun, lazimnya  bunga Tanjung di sekolah saya begitu lebat berbunga. Sebatang pokok bunga Tanjung terletak betul-betul bertentangan dengan kelas Bahasa Melayu saya di 3 Teknologi. Apabila saya mengajar di kelas 3 Teknologi, saya pastinya akan tercium bau harum semerbak bunga Tanjung ini. Setiap kali haruman bunga Tanjung ini menerobos masuk ke dalam hidung, maka setiap kali itulah ingatan terhadap arwah Mak Andak akan datang bertandang. Haruman bunga Tanjung benar-benar mengimbau kenangan saya bersama arwah Mak Andak.

     Apabila saya mengambil keputusan untuk bertukar sekolah ke Semenanjung dari Sabah pada tahun 2003, pilihan saya ialah ke Kuala Lipis, daerah kelahiran saya. Saya bersekolah dan dibesarkan di Temerloh, tetapi tidak pula saya terfikir untuk pulang ke sana. Di Kuala Medang, saya tinggal bersama Mak Andak. Rumah Mak Andak sangat kecil dan buruk, agak tersorok di dalam hutan dan berhampiran dengan sungai. Saya memilih untuk tinggal bersama Mak Andak, iaitu kakak kepada emak saya yang berumur dalam lingkungan 73 tahun, tiada anak dan suami.

     Pada awalnya Mak Andak memiliki sebuah rumah di perkampungan banjir Kuala Medang. Oleh sebab persengketaan keluarga, sikap tamak haloba dan tidak sensitif beberapa orang saudara mara menyebabkan Mak Andak merajuk serta nekad tinggal sendirian di sebuah pondok buruk di tepi sungai. Tapak rumah asal Mak Andak sekarang sudah didirikan rumah batu yang cantik oleh saudara kami yang berjaya mendapatkan rumah Mak Andak. Saya tidak tahu cerita yang sebenar tentang persengketaan tersebut kerana semasa kejadian, saya berada di Sabah. Namun apa pun alasannya, bagi saya adalah zalim mengambil rumah Mak Andak, seorang tua yang kesepian tanpa keluarga serta membiarkan dia tinggal bersendirian di pondok buruk yang daif.

     Saya begitu menyayangi Mak Andak, satu-satunya emak saudara sebelah emak yang sangat mengambil berat diri saya. Mungkin kerana ketiadaan anak menyebabkan Mak Andak sangat menyayangi saya. Sewaktu saya di universiti, Mak Andak begitu tulus dan ikhlas memberikan saya duit belanja. Setiap kali pulang ke kampung, saya pastinya akan menjenguk Mak Andak.

   Sebelum berpindah ke Felda Jenderak Selatan pada tahun 1976, kami sekeluarga tinggal bersama-sama dengan Mak Andak di rumah Mak Andak. Kemudian kami berpindah ke Tanah Rancangan Felda. Tinggallah Mak Andak seorang diri di rumah tersebut. Walau bagaimanapun kami kerap pulang ke kampung apabila musim hari raya, musim durian atau cuti sekolah. Pada masa itu Mak Andak masih lagi tinggal di perumahan banjir Kuala Medang. Saya akan tidur bersama Mak Andak. Mak Andak akan meraba-raba kepala saya dalam kegelapan malam untuk mencari kutu atau telur kutu.

     Apabila Mak Andak keluar bekerja pada waktu pagi di kebun, dia akan pulang dengan sejambak bunga senduduk yang mempunyai buah berwarna hitam. Kekurangan makanan pada waktu itu menyebabkan budak-budak seperti saya akan makan apa-apa sahaja buah-buahan hutan seperti buah senduduk dan buah letup-letup. Pokok senduduk ini tumbuh meliar di kiri kanan jalan kampung. Saya dan adik perempuan saya akan makan buah senduduk ini sehingga lidah kami menjadi warna hitam. Anak-anak saya mungkin tidak mengenali buah senduduk ini apatah lagi ingin memakannya. Tentu sekali mereka tidak sudi kerana buah senduduk akan mengotorkan lidah.



Buah Senduduk yang tumbuh meliar jadi makanan zaman budak-budak dulu.

     Mak Andak paling mahir membakar bahulu dan membuat kuih putu. Inilah kuih wajib setiap kali hari raya menjelma. Sehinggalah saya berumur 30an (semasa saya tinggal bersamanya) saya dan Mak Andak masih membakar bahulu dua tiga hari sebelum hari raya).

     Walaupun tinggal di rumah yang usang, rumah Mak Andak sentiasa penuh dengan tetamu sewaktu hari raya.Rumah usang Mak Andak di tepi sungai terletak bersebelahan dengan pokok bunga Tanjung yang sangat besar. Setiap kali pokok bunga Tanjung berbunga, harumannya akan tersebar di serata alam. Kami gemar duduk berlonggok di bawah pokok bunga Tanjung pada waktu pagi. Kadang-kadang Mak Andak akan membakar pisang sematu, ubi atau jagung. Di
sekeliling rumah Mak Andak banyak sekali ditanam ubi keladi. Hampir saban hari ada saja orang datang untuk membeli keladi.

    Apabila tiba air sungai agak kering dan jernih, kami akan turun ke sungai untuk mencari siput sungai. Siput sungai sangat enak dan sedap dimasak lemak pedas-pedas atau pun dibuat gulai masam tempoyak. Saya gembira dapat tinggal kembali bersama Mak Andak walaupun rumah kami buruk dan jauh tersorok di pinggir sungai.

     Apabila kewangan saya agak lapang pada hujung 2004, saya berkira-kira untuk membesarkan rumah Mak Andak di bahagian dapur. Pokok bunga Tanjung yang besar itu terletak betul-betul di tepi dapur rumah. Agak berbahaya juga jika angin bertiup kencang. Oleh itu kami membuat keputusan untuk menebang pokok bunga tanjung itu. Lalu seseorang diupah untuk menebang pokok bunga Tanjung itu.

    Lama juga saya dan Mak Andak membakar tunggul pokok bunga Tanjung tersebut. Kadang-kadang kami mengorek sisa-sisa akar bunga Tanjung itu di dalam tanah. Setelah betul-betul rata, kerja-kerja membina rumah batu ala kadar pun bermula. Apabila rumah tersebut siap, saya berpindah ke bilik baru. Mak Andak masih tidur di rumah kayu yang bersambung dengan rumah batu tersebut. Kami tidak lagi menghidu haruman bunga Tanjung
selepas itu.

     Penghujung 2005, kesihatan Mak Andak mulai merosot. Pada waktu itu saya telah berkahwin. Sewaktu berpantang kerana melahirkan anak lelaki, Mak Andak sempat menjaga saya. Mak Andak masih sibuk mencari daun-daun kayu supaya saya dapat ‘berserung’ air-air rebusan akar kayu. Mak Andak berumur lebih kurang 75 tahun ketika itu. Mak Andak menemani saya tidur pada waktu malam semasa saya berpantang. Dalam keadaan yang kurang sihat, dia masih mahu memandikan bayi saya, memakaikan barut dan lampin. Kadang-kadang dia menidurkan anak saya. Begitu besar kasih Mak Andak kepada saya. Walaupun dia tidak meluahkan dalam bentuk kata-kata, tetapi saya dapat merasai kasih sayang dan perhatian Mak Andak yang begitu tulus dalam bentuk perlakuannya.

     Keadaan Mak Andak semakin tenat. Batuk-batuk Mak Andak yang keras kadangkala kedengaran pada waktu malam. Kadang-kadang sehingga termuntah-muntah. Mak Andak pernah muntah di atas telapak tangan saya. Kami menghantar Mak Andak ke hospital sehinggalah suatu hari Mak Andak dibawa pulang dalam keadaan dia sudah terbaring tidak bergerak. Hanya susu masuk ke dalam badannya melalui salur wayar. Hampir sebulan Mak Andar terbaring kaku dan sudah dipakaikan pampes . Ahli keluarga saya semuanya sudah berkumpul di rumah.

     Suatu petang yang bening, di ribaan saya, Mak Andak menghembuskan nafasnya yang terakhir. Mak Andak meninggalkan saya buat selama-lamanya. Saya ralat kerana tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian menjaga Mak Andak ketika dia sakit kerana saya turut berpantang melahirkan anak. Berbulan-bulan saya berasa sedih dan kesal. Terngiang-ngiang di telinga suara Mak Andak menyuruh saya membancuh kopi, membakar roti dan mengambil nasi.

    Kini tiada lagi suara Mak Andak. Tiada lagi emak saudara tempat saya mengadu dan melayani saya mencari siput. Air mata Mak Andak yang mengalir di kelopak matanya sewaktu menghembuskan nafas terakhir masih terbayang-bayang di ruang ingatan.

     Kematian Mak Andak merupakan detik terpenting yang membawa perubahan dalam hidup. Inilah kali pertama dalam hidup saya menyaksikan orang yang berhadapan dengan sakaratulmaut. Buat kali pertama dalam hidup saya memikirkan secara serius tentang kematian. Perlahan-lahan solat yang diringankan menjadi agenda penting dalam hidup. Walaupun saya solat selama ini, tetapi solat tidak dibuat secara bersungguh-sungguh. Solat tidak menjadi sesuatu yang penting dan utama.

     Semuanya bermula selepas kematian Mak Andak. Malah selama ini saya solat tanpa pernah mahu memahami makna dalam setiap bacaan solat. Beransur-ansur saya mempelajari dan cuba untuk memahami maksud Al-Fatihah, sujud, rukuk, doa iftitah, dan sebagainya. Ya Allah, ampunkan hamba-Mu yang lemah dan jahil ini!

     Tiada apa-apa lagi yang dapat saya buat untuk membantu Mak Andak selain sentiasa mendoakannya dan melakukan badal haji bagi pihaknya. Semoga Mak Andak aman di sana. Suatu hari saya akan menyusul jua. AL-FATIHAH.


Tuesday, 3 November 2015

ACHEH… SEBUAH CATATAN PERJALANAN.

Perjalanan kami ke Acheh dimulai dengan bacaan doa di KLIA 2 oleh En. Rizwan selaku wakil Kembara Salam. Alhamdulillah, Maha Suci Allah. Rombongan kami seramai 14 orang dari Lipis  tiba di Lapangan Terbang Sultan Muda, Acheh tepat jam 8.30 pagi waktu tempatan. Kami berlepas dari KLIA 2 pada pukul 8.30 pagi, tiba di Acheh juga jam 8.30 pagi. Aneh?? Tidak, hal ini kerana waktu Acheh lewat sejam dari waktu kita. Penerbangan hanya mengambil masa lebih kurang sejam sahaja.

Kali ini giliran si Yusuf (anak bongsu) mengikut saya menikmati keindahan bumi Acheh. Terima Kasih banyak-banyak kepada suami yang mengizinkan saya berkembara membawa si kecil Yusuf. Terima Kasih Kak Zainab Tan yang bersama-sama saya sepanjang perjalanan ke Acheh. Terima kasih Ngah Aziz yang sudi menghantar kami (saya, Yusuf, Mak Ngah Roziah dan Kak Asmah) ke KLIA 2. Kembara kali ini penuh pengertian, banyak ilmu yang saya pelajari. Perjalanan yang tidak sia-sia kerana banyak sekali pengalaman dan pengetahuan yang saya peroleh yang boleh dikongsikan bersama sahabat-sahabat.

Yusuf berlatarbelakangkan sebuah pantai di Aceh

        Di Lapangan Terbang, rezeki kami bertemu Ustaz Haslin Bollywood, Ustaz Abdullah Khairi dan kumpulan Raihan. Rombongan mereka juga akan ke Aceh untuk satu program keagamaan. Bertuah kami dapat mendengar hiburan santai mereka di airport. Kami mengerumuni mereka mendengar dengan lagu-lagu nasyid yang menghiburkan. Seronok tengok cik-cik Kiah sakan berposing dengan ustaz-ustaz yang sporting ini.

Sebelum berkembara ke Acheh melalui catatan dan tulisan ini, saya kongsikan makanan dan harganya di dalam penerbangan. Nasi lemak dan secawan nescafe berharga RM. 16.00, berbaloi untuk minuman dan makanan berpuluh-puluh ribu kaki di udara.

saja ngengada nak makan dalam flight..ngeh3


       Kawasan di sekitar lapangan terbang Sultan Iskandar Muda ialah Kampung Belang Bintang yang menghijau dengan sawah padi. Kawasan ini tidak terkena bencana Tsunami yang hebat melanda Acheh pada 26 Disember 2004.

kawasan sekitar lapangan terbang.

       Kami disambut oleh Mohd Eric Hidayat, pemandu pelancong yang akan menguruskan group kami sepanjang berada di sini. Pemandu bas pula ialah Pak Wan yang ramah sekali. Di dalam bas, kamu dijamu dengan makanan pertama dari Acheh iaitu Bingka Acheh. Waduh, nyaman sekali.

Bingka Aceh


       Destinasi pertama di Bumi Acheh ialah perkuburan Masal Tsunami (perkuburan beramai-ramai mangsa Tsunami) yang terletak di Kampung Siron. Seramai 46718 mangsa Tsunami disemadikan beramai-ramai di sini. Kuburan ini terlalu luas sehingga kelihatan seperti padang bola kerana sudah ditumbuhi rumput. Menurut Eric (panggilan saya kepada pemandu pelancong kami) Aceh terkenal dengan 1001 masjid kerana di bumi ini banyak sekali masjid didirikan. 

       Di sini terdapat Polis Syariah yang bertugas menangkap orang-orang Islam  yang melanggar syariat Islam mislanya berduaa-duaan tanpa ikatan, tidak menutup aurat dan sebagainya. Tapi sejujurnya saya lihat, wanita-wanita di sini tidaklah terlalu sempurna menjaga auratnya (terutama anak-anak muda yang terdedah dengan pelbagai fesyen yang tidak mengikuti syariat). Cuma yang tidak bertudung itu tidak kelihatan seperti di negara kita.Suka sekali saya membaca ‘moto’ polis di sini yang kelihatan di serata-rata tempat iaitu, 
                              “Aceh Aman, Ibadah Nyaman”

       99% penduduk Aceh ialah Muslim, selebihnya ialah Cina Tionghua. Menurut Eric lagi Kesultanan di Indonesia hanya tinggal di Jogjakarta sahaja lagi, di tempat lain termasuk Aceh, institusi kesultanan ini sudah berkubur. Oh! Baru saya tahu Sultan Aceh dahulu permah berkahwin dengan salah seorang puteri diraja Pahang.

     Destinasi kami seterusnya ialah Lampulo Gampong yang bermaksud Kampung Lampulo. Di sini banyak kawasan yang bermula dengan ‘ Lam’, misalnya Lambaru Gampong. Sepanjang-panjang perjalanan dalam Bandar Aceh, pokok  asam Jawa banyak sekali kelihatan. Lampulo Gampong adalah destinasi pelancongan yang wujud selepas Tsunami. Lampulo Gampong ini bermaksud kampung dalam pulau. Tsunami hebat yang melanda Aceh pada 26 Disember 2004 menyebabkan telah terdamparnya sebuah kapal kayu ke sebuah perumahan penduduk di kampung ini.

Kapal kayu yang terdampar ke atas sebuah rumah.

        Di sini, kami diperdengarkan cerita daripada salah seorang mangsa Tsunami yang masih hidup tentang pengalamannya berdepan dengan badai Tsunami yang sangat dahsyat. Beliau dan isterinya serta dua orang anak lelakinya diberi kesempatan oleh Allah untuk meneruskan kehidupan, manakala seorang anak lelakinya yang berusia 14 tahun tidak ditemui sehingga sekarang. Subhanallah, terharu sekali saya apabila beliau sangat pasrah dan reda dengan ketentuan Ilahi. Beliau mengakhiri ceritanya dengan seuntai kata-kata yang sangat menarik dan tersirat maknanya;
                      
“ Hidup kalau menanam padi, maka lalang akan ikut tumbuh, namun hidup jika  menanam lalang, pasti rumput tidak ikut tumbuh ”

Saya pulangkan kepada pembaca untuk menentukan tafsirannya.

Khusyuk, terharu, sedih, insaf..perasan bercampu-baur semasa mendengar salah seorang mangsa Tsunami menceritakan pengalamannya mengaharungi badai Tsunami.

     Ada sesuatu yang menarik di kampung ini iaitu ‘Halwa Sunti’. Halwa ini dibuat daripada belimbing buluh. Kalau di Pahang terutamanya di Lipis, belimbing buluh ini sangat popular dibuat sambal hitam.

Halwa Sunti daripada belimbing buluh.


     Makan Siang! ( makan tengah hari) Kami dibawa ke Restoran Aceh. Subhanallah, tersusun penuh di atas meja makanan Aceh yang enak dan lazat. Air timun dengan selasih yang nyaman. Nanti boleh cuba di rumah. Blend timun dengan air dan sedikit gula. Masukkan dalam jag yang tersedia biji selasih. Memang sedap dan sejuk. Satu lagi menu istimewa ialah ‘Ayam Tangkap’. Ayam ini digoreng kering bersama pelbagai jenis daun yang menerbitkan aroma istimewa.

Makan Siang di Specific Aceh. Nyaman Sungguh.


       Kami pulang ke hotel untuk berehat melepas lelah, mandi dan solat. Aktiviti seterusnya akan disambung selepas Asar. Kami menginap di Hotel Mekkah bersebelahan Masjid. Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran memang kerap kedengaran. Kata Eric, kami di Aceh nggak berani sudah buat jahat, takut Tsunami.

      Destinasi seterusnya ialah PLTD Apung, iaitu sebuah kapal yang membekalkan elektrik ke seluruh Aceh. PLTD Apung ini adalah satu bukti sejarah kekuatan Tsunami di Aceh. Kapal seberat 2600 tan ini terseret arus sejauh 5kilometer ke area daratan dan terdampar di kawasan permukiman, iaitu di Gampong Punge Blang Cut, Kecamatan Jaya Baru Kotamadya Banda Aceh. Begitulah kekuatan air yang mampu menyeret kapal seberat ini ke daratan. Maha Besar Allah yang menjadikan sesuatu dengan sebabnya yang tersendiri. Ada sesuatu untuk kita fikirkan dan hayati!


Yusf di hadapan PLTD Apung.

     Seterusnya, Eric membawa kami ke tepi pantai iaitu Pantai Lampu’uk (macam Padang Kota di Pulau Pinang) untuk minum E-U (air kelapa). Kami merasai jagung bakar dibubuh sos pedas dan Maggie berkuah). Lebih kurang 100 meter di depan, ada benteng pemecah ombak yang dibina oleh kerajaan Jepun dan Korea selepas Tsunami. Pernah dengar tak sebuah lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee,

                              “Ule –le, di kota raya, boleh tak boleh, ikut sahaja”

     Oh, rupanya lagu itu mengambil nama sebuah perkampungan nelayan di sini iaitu Kampung Ule-le! Laaa, koknya baru tau! Gitu sih???

     Menurut Eric lagi, Aceh cepat membangun kerana banyak mendapat bantuan dari pelbagai negara. Ada sebuah hospital yang dibina oleh Jerman, sehingga dinamakan Hospital Jerman. Manakala sebuah masjid yang didirikan oleh Turki pula digelar masjid Turki. Kerajaan Malaysia pula banyak membina rumah-rumah bantuan kepada mangsa Tsunami. Ada sebuah pesantren di Aceh yang dinamai Serambi Malaysia. Hal ini kerana pesantren ini dibina atas biaya dan sumbangan daripada rakyat Malaysia yang berbudi luhur, membantu saudara seagama yang ditimpa musibah.

     Kami solat jamak Maghrib dan Isyak di Masjid Baitul Rohman. Masjid ini sangat memeranjatkan seisi dunia kerana langsung tidak terkesan dengan dahsyatnya Tsunami, sedangkan kawasan sekelilingnya hancur menjadi padang jarak padang tekukur. Demikianlah kekuasaan Allah SWT bagi hamba-hambaNya yang mahu berfikir. Subhanallah! Secara peribadinya masjid ini mengingatkan saya kepada Masjid Nabawi di Madinah. Terubat jua kerinduan apabila melangkah masuk ke sini.

Perkarangan Masjid Baiturrohman


      Selepas solat, kami dibawa makan malam di Restoran Wong Songo. Buat pertama kalinya saya menjamah Nasi Ayam Penyet. Kat Malaysia tak terasa pun nak makan walau banyak sekali restoran ayam penyet.

     Alhamdulillah, selesai sudah hari pertama di Aceh. Kami balik ke hotel. Yusuf tidur dengan nyenyaknya selepas seharian berjalan dan bernyanyi riang dalam bas dengan lagu “Sehati Sejiwa”. Syukur, Yusuf tak meragam sangat.

HARI KEDUA DI ACEH (12 SEPTEMBER 2015)

     Destinasi pertama kami adalah ke ‘Rumoh Aceh’ sebuah istana kesultanan Aceh. Berhampiran kawasan ini terdapat Muzium dan Cakra Donya Bell. Pada abad ke-15, Laksamana Cheng Ho telah menyerahkan Cakra Donya iaitu sebuah loceng yang besar kepada Sultan Pasai dalam satu ekspedisinya ke Aceh. Cakra Donya ini menjadi koleksi Muzium Aceh sejak Disember 1915. Cakra Donya ini adalah bukti kewujudan hubungan di antara Kesultanan Pasai dengan Dinasti Ming.

Rumoh Aceh.

Cakra Donya, bukti hubungan diplomatik kerajaan China dan Aceh.

    Usai di Rumoh Aceh dan Muzium, kami meneruskan perjalanan. Bas kami hanya melepasi rumah Cut Nyak Dien, seorang wira wanita Aceh yang tersohor melawan Belanda. Pada tanggal 6 November 1905, Cut Nyak Dhien ditangkap oleh pasukan Belanda di bawah pimpinan Letnan Van Vuuraen dan Kapten Veltmen. Khabarnya beliau mati dalam penjara dan biji matanya dicungkil oleh Belanda. Beliau dikebumikan di tanah Priangan, Sumedang, Jawa Barat. Saya ada melihat gambar pejuang hebat ini di Muzium Aceh. Subhanallah! Hebatnya jiwa seorang patriot wanita Aceh yang tak pernah ragu untuk mempertaruhkan nyawanya dalam mempertahankan apa yang dipandangnya sebagai prinsip dalam kebangsaan dan keagamaannya .

    Bas rombongan bergerak ke destinasi yang selanjutnya iaitu ke Kampung Gurah. Setibanya kami ke kampung tersebut, begitu banyak wanita membonceng motosikal menanti. Mereka menawarkan perkhidmatan membawa pelancong ke Monumen Kubah Masjid Jamek Lamteungoh. Bayaran terserah saja kepada para pelancong seikhlas mungkin. Seronok juga saya dan Yusuf dibonceng oleh wanita di sana meniti batas kecil. Pemandangan kampung tersebut mengembalikan nostalgia saya ke tahun-tahun 80an di kampung Kuala Medang yang ketika itu masih berhutan.


Berebut-rebut wanita di sini mahu membonceng kami ke Kampung Gurah.

      Istimewanya kampung Gurah ini adalah kerana hanyutnya kubah masjid tua yang berasal dari Gampong Lam Teungoh akibat gelombang besar Tsunami. Kubah ini terdampar di Kampung Guroh sejauh 2.5 km dari kedudukan asalnya. Maha Besar Allah!

Kubah yang terdampar di Kampung Gurah.

     Seterusnya rombongan kami ke Taman Gunongan. Taman Gunongan ini merupakan simbol cinta Sultan Iskandar Muda kepada  permaisurinya yang cantik jelita iaitu Putri Phang yang berasal dari Pahang. Dikatakan Taman Gunongan ini dibina untuk menghilangkan rasa sepi dan rindu Permaisuri akan kampung halamannya di Pahang.

Mak Ngah Rozi dan Kak Rohaida di hadapan Taman Gunongan/


     Lawatan seterusnya ke Pasar Aceh. Tidak banyak yang saya beli, hanyalah dua helai jubah dan empat helai kain batik. Untuk Yusuf, saya patrikan namanya di atas sebuah papan kecil berharga RM 23.00 sebagai kenang-kenangan dari Aceh.

Ole-ole untuk Yusuf.

     Destinasi terakhir dalam sesi lawatan kali ini ialah ke Pesantren anak-anak yatim di sebuah pondok yang dinamai Serambi Malaysia. Kami disambut oleh barisan anak-anak yatim yang begitu polos.

Pesantren Anak-anak yatim yang dinamai Serambi Malaysia.


Anak-anak yang berbaris menunggu kehadiran kami.

     Sambil menantikan ustaz Bakri yang menguruskan anak-anak ini datang, kami dihidangkan juadah yang nampak sederhana tetapi rupanya sedap sekali. Usai makan, barulah nampak kelibat ustaz Bakri, beliau memulakan majlis dengan doa yang begitu menyentuh sanubari. Subhanallah! Sudahlah dapat makan percuma, dapat lagi mendengar tazkirah yang menyegarkan rohani berkaitan keistimewaan menerima tetamu.

    Sebelum pulang, ustaz Bakri menitipkan seuntai doa untuk kami amalkan dalam kehidupan. Saya menghulurkan buku catatan saya memohon Ustaz Bakri menulisnya di dalam buku tersebut. Saya kongsikan di sini sebagai perkongsian kita bersama. Mudah-mudahan bermanfaat.

Tulisan tangan Ustaz Bakri, jom kita amalkan.
     Alhamdulillah, catatan perjalanan saya di Bumi Aceh sudah berakhir. Insha Allah, jika umur panjang,murah rezeki, badan sihat dan diizinkan Allah, saya bercadang membawa Aisyah Nabilla ke Surabaya lewat November nanti.

     Jutaan Terima Kasih kepada Arfandi Zaini, Ikmal Hisham, dan Sabki yang banyak membantu. Budimu dikenang.

Assalamualaikum!

Friday, 2 October 2015


CIPTALAH KEBAHAGIAANMU SENDIRI.

gambar hiasan


     As Salam...lamanya meninggalkan penulisan..kesibukan yang  menghambat sentiasa tidak seharusnya menjadi alasan. Berbahagialah orang-orang yang pandai mengurusi waktunya. Cerita tentang kebahagian, Pendapat saya carilah kebahagiaan mengikut acuan sendiri asal sahaja tidak melanggar syariat.

     Teringat saya akan suatu peristiwa semasa di sekolah menengah atas. Seorang guru saya selalu bercerita soal kebahagiaan. Biarlah saya namakannya Cikgu Razak sahaja. Daripada cara Cikgu Razak bercerita, beliau seolah-olah tidak dapat mentafsirkan apakah maksud kebahagiaan. Beliau selalu bertanya-tanya kepada kami apakah itu kebahagiaan? Cerita-cerita Cikgu Razak tentang kehidupannya membayangkan bahawa beliau tidak bahagia. Beliau juga kerap mengeluh, kadang-kadang seolah-olah berputus asa.

     Pada usia 18 tahun saya sebenarnya masih mentah untuk membahaskan soal kebahagiaan, tambah-tambah pada waktu itu saya belum dapat menangkap dengan jelas maksud cikgu Razak. Bicara-bicara beliau tentang isu kebahagiaan tidak saya ambil serius.Maksud bahagia bagi saya pada ketika itu adalah terhadap perkara yang membuatkan saya seronok atau tidak seronok sahaja. Sekurang-kurangnya itulah definisi kebahagiaan saya ketika itu.

     Saya rasa bahagia apabila ternampak cinta monyet saya ( uwekksss). Saya rasa tidak bahagia apabila Cikgu ekonomi kami yang garang masuk ke kelas. Kebahagiaan itu cuma berkisar kepada apa yang saya suka dan tidak suka sahaja. Lepak-lepak bersama Johana Johari (sahabat baik) di Teluk Cempedak adalah antara perkara yang membahagiakan ketika itu walaupun saya tahu perkara itu membuang masa sebagai pelajar sekolah.

     Ponteng sekolah bersama gang-gang nakal ( Ita, Nuat, Zai dan Johana ) pun kadang-kadang menjadi perkara yang membahagiakan pada zaman nakal sebagai pelajar. Manakala tinggal di asrama dan dibuli oleh pelajar junior merupakan perkara yang tidak membahagiakan menyebabkan saya nekad keluar dari asrama dan menyewa di Batu Satu, sebuah perkampungan suku Kampar di Temerloh.

     Pernah seorang pelajar di kelas kami menyuarakan kepada Cikgu Razak secara bergurau;
              
             “Cikgu kahwinlah, mesti cikgu bahagia”,

Cikgu Razak tersenyum, kemudian bersuara;

“Memanglah, kahwin masa mula-mula memang bahagia, tapi lepas tu saya rasa keadaan kembali macam biasa...” demikianlah jawapan daripada Cikgu Razak yang masih saya ingat sampai sekarang. Semasa menulis bab ini, saya amat yakin bahawa Cikgu Razak tidak bahagia pada ketika itu. Oleh sebab itulah beliau tidak dapat mentafsirkan erti kebahagiaan mengikut acuannya tersendiri. Semoga Cikgu Razak menemui kebahagiaannya sekarang.

    Kata-kata hikmat menyatakan; Hanya orang yang bahagia boleh membahagiakan orang lain ”

     Seorang ibu yang pemurung dan stres tidak mampu membahagiakan anak-anaknya. Begitu juga seorang suami , guru , majikan, sahabat, jiran, hatta sesiapa sahaja yang tidak bahagia tidak akan mampu membahagiakan orang lain. Seronokkah kita masuk ke kedai makan yang mana muka taukenya masam mencuka semasa mengambil pesanan? Gembirakan kita berurusan di kaunter dengan pekerja yang berwajah kelat? Kesakitan kita pasti bertambah apabila terpandang muka jururawat yang menyinga. Pelajar-pelajar pula pasti meluat kalau guru yang masuk mengajar marah-marah sahaja dari mula smpai akhir pengajaran. Tentu sekali tidak bahagia berurusan dengan orang yang tidak bahagia. 

     Senyuman sukar sekali terpancar di wajah orang yang hatinya tidak bahagia. Tetapi senyumlah supaya kita bahagia. Hidup terlalu singkat untuk dipenuhi dengan kekecewaan, penderitaan, kesedihan, persengketaan dan air mata. Memanglah hidup tidak selalunya indah. Dalam kehidupan pasti ada ujian dan cabaran yang mendatang, tetapi usahlah diratapi kehidupan yang malang sehingga membawa mati. 

    Usahlah dikenang-kenang insan yang menyakiti hati kita sehingga kita membenci diri sendiri. Menjadi Kassim Selamat yang membutakan mata sendiri. Carilah kebahagiaan dengan cara kita yang tersendiri selagi tidak bercanggah dengan agama dan budaya. Oh malangnya jika kita tidak mampu mencipta kebahagiaan mengikut acuan kita tersendiri!

     Kebahagiaan barangkali muncul apabila kita berkongsi senyuman dengan orang lain. Mungkin kebahagiaan boleh diraih dengan cara memberikan sesuatu kepada orang lain. Hulurkan bantuan kepada insan yang memerlukan, kemudian lihatlah matanya yang memancar sinar kebahagiaan apabila menerima pertolongan kita yang ikhlas. Masaklah sesuatu yang disukai suami dan anak-anak , kemudian lihatlah bagaimana mereka makan dengan berselera. Berkongsilah makanan anda dengan jiran-jiran tetangga. Pinjamkan buku-buku anda kepada sahabat-sahabat di sekeliling. Di sekolah, saya ada beberapa orang sahabat baik,kami saling berkongsi cerita motivasi daripada buku-buku yang dibaca. 

     Memperdengarkan cerita motivasi yang baik juga mampu menyukakan orang yang mendengarnya. Sedekahkan pakaian anda kepada orang-orang miskin. Ringankan tulang anda membantu rakan sekerja.Tentu seronok berkongsi sesuatu dengan orang-orang sekeliling.Pimpinlah orang buta yang melintasi jalan, kemudian renungilah wajahnya yang bersyukur dengan bantuan yang datang. Tolonglah rakan-rakan kita yang lemah dalam pelajaran dan perhatikan bagaimana gembiranya mereka apabila memahami topik tersebut. Atau sekurang-kurangnya pinjamkan telinga anda supaya seorang sahabat dapat meluahkan masalahnya.Sekalipun kita tidak mampu menyelesaikan masalahnya, namun kita mampu menjadi pendengar setia.

     Saya bukan ibu yang baik, namun tidak ada istilah terlambat untuk berusaha menjadi ibu yang baik selagi kita belum menutup mata. Kebahagiaan bukan diraih dengan cara memaksa anak kita belajar separuh mati semata-mata untuk memperoleh kecemerlangan akademik. Kebahagiaan ibu bapa yang sebenar adalah apabila anak itu menjadi insan kamil yang seimbang dunia akhiratnya.

    Kita selalu menetapkan sesuatu had untuk mencapai kebahagiaan. Apabila ada duit sejuta baru aku bahagia. Apabila dapat pakai kereta BMW, baru aku bahagia. Apabila duduk di rumah banglo, baru aku bahagia. Konsep kebahagiaan kita diukur dengan ukuran kebendaan. Kalau memang itu ukurannya, sampai mati pun kita tidak akan bahagia kerana nafsu manusia tidak pernah puas dan cukup. Sudah ada duit sejuta, nak disimpan dan ditambah lagi jadi dua juta. Sudah dapat pakai BMW, teringin pula merasai kereta Mercedes, Ferarri, atau Porche. Sudah ada sebuah banglo, hati teringin pula menginap di kondominium mewah di hujung kota.

     Malangnya apabila sudah memiliki duit sejuta, kita ditimpa sakit sehingga tidak sempat merasai duit tersebut. Ada rumah di sana - sini, tapi akhirnya kita menginap di hospital berbulan-bulan. Sudah memiliki berderet-deret kereta mewah, yang kita bawa ke hulu ke hilir sebuah sahaja. Yang lain-lain tersimpan tidak berusik di parkir.

Kata pujangga;

“ Jika kita tidak mampu memiliki sesuatu, maka bersyukurlah dengan apa yang kita miliki ”

     Bersifat qanaah adalah sifat insan yang bersyukur dan berbahagia. Orang yang bahagia ialah orang yang bersyukur dengan apa-apa yang dimilikinya. Dia tidak meminta-minta, meratapi takdir atau mempertikaikan kejadian Allah kepadanya.

    Pernah seorang budak lelaki buta yang menghafal al - Quran ditanya, apakah dia tidak menyesal kerana dilahirkan buta. Jawapannya menyebabkan semua orang yang mendengarnya termasuk ustaz yang menyoalnya menangis. 

Kata budak itu;
“ Saya bersyukur kerana Allah SWT menjadikan saya buta. Disebabkan itu saya tidak perlu risau akan dosa-dosa penglihatan. Lagipun tanpa melihat sesuatu menyebabkan saya sibuk dengan menghafal Al - Quran

     Subhanallah! Begitulah jawapan seorang insan yang celik akalnya dan berbaik sangka dengan PenciptaNya. Budak lelaki itu sudah pasti seorang yang berbahagia kerana dia menerima takdir Allah SWT dengan hati yang redha.(saya pula suat ketika menyoal-yoal Allah kerana takdir,Astagfirullah, ampunkan hambaMu yang jahil ini Allah)

     Jadi salah satu cara untuk meraih kebahagiaan adalah dengan sentiasa bersyukur kepada Yang Maha Mencipta. Manusia yang hampir dengan PenciptaNya, In Sha Allah, pasti menemui kebahagiaan. Hidup sudah terlalu singkat untuk disia - siakan. Jom cipta kebahagiaan kita setiap hari!

Tuesday, 4 August 2015

HATI OH HATI!


ALLAH BAYAR TUNAI
Sekadar gambar hiasan


Maha suci Allah Yang Maha Agung. Segala puji bagi-Mu. Ampunkan segala dosa-dosaku. Ya Allah, bantulah kami untuk mencari jalan pulang walaupun secara merangkak dan bertatih-tatih. Semakin mencuba untuk berada di atas landasan,semakin banyak pula ujian yang kadangkala menghalang perjalanan. Cepat pula diri terasa lelah.Tidak terfikir ganjaran menanti di sana, hati sentiasa dipagut was-was, curiga.

Wahai sahabat pembaca sekalian, Allah SWT mendidik kita melalui pelbagai cara.
Sekiranya kita celik mata hati dan melihat dengan pandangan mata lebah, kita akan sentiasa
mengambil iktibar atas pengalaman-pengalaman yang berlaku itu di sekeliling kita. Kadangkadang Allah mendatangkan kita amaran, tetapi kita gagal memahami isyaratnya kerana mata hati kita terhijab.

Suatu ketika saya mengalami penyakit hati yang dahsyat kerana gagal memaafkan
kesilapan seorang teman. Hampir bertahun-tahun saya terperangkap dalam kebencian dan
dendam yang membara. Walau pernah bermaaf-maafaan dengannya, namun kerana kurang
ikhlas , saya masih belum dapat melupakan sepenuhnya dendam dan kemarahan yang bersisa.
Tambahan pula kami masih dicucuk oleh insan-insan yang tidak menyenangi perdamaian antara dua orang saudara seagama. Maka, hubungan tersebut kembali bermasalah.

Kadang-kadang saya tidak mengerti mengapa ada orang yang suka melihat pergaduhan orang lain. Besarnya dosa kita kerana memutuskan silaturahim antara sesama
saudara. Apabila ada dua pihak yang bersengketa, kita sepatutnya membantu mendamaikan
pihak yang bertelingkah itu, bukannya melaga-lagakan sehingga mereka saling bermusuhan.
Malah ada pula yang menjadi batu api, mengadu-domba sehinggakan dua pihak yang sudah
berdamai kembali bermusuhan.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat ayat kesembilan yang bermaksud;

“ Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara
dua saudara kamu ( yang bertelingkah ) itu; dan bertakwalah kamu kepada
Allah supaya kamu beroleh rahmat “

Masyaallah! Saya membencinya sehingga untuk memandang wajahnya pun saya
tidak mampu. Amaran dan peringatan Allah hadir membuatkan saya menangis teresak-esak
di atas sejadah mengenangkan ego yang menggunung tidak akan membawa saya ke mana-mana malah akan mencampakkan saya ke neraka jahanam. Nauzubillahhiminzalik!

Terima kasih Ya Allah! Aku ini pendosa, namun kasih sayang-Mu melimpah ruah.
Kau titipkan rasa berdosa dalam diriku kerana memutuskan silaturahim. Kau tiupkan angin
kemaafan untuk meredakan kemarahanku selama bertahun-tahun.

Suatu hari saya terpandangkan kelibatnya. Perasaan marah yang meluap-meluap
menyebabkan hadir lintasan yang jahat di hati. Zasss!!!! Terdetik di hati begitu sahaja;

“ Kenapa rumah dia tak terbakar saja. Memang bagus kalau dia ditimpa kesusahan.”,

Demikianlah tipu daya syaitan yang menyelinap masuk melalui perasaan amarah, dendam dan sakit hati.

Saya tidak boleh menerima perbuatannya yang saya kira tidak masuk akal sebagai
seorang kawan. Sepanjang petang itu sebaik ternampak kelibatnya, saya memang mendoa-doakan agar rumahnya terbakar. Api yang marak menyala-nyala dalam dada saya yang sememangnya terbakar dengan kemarahan.

Apabila sampai ke rumah, waktu itu sudah hampir Maghrib. Saya ke halaman
rumah memasang paip air untuk menyiram bunga di halaman rumah. Masih ada masa
sebelum masuk waktu Maghrib, fikir saya dalam hati. Sedang asyik melayan kerja, hidung
saya terbau sesuatu yang hangit. Namun saya teruskan juga menyiram bunga.

Tiba-tiba saya terpandang percikan api di syiling beranda rumah saya. Hati berdegup
kencang. Wayar elektrik itu di atas syiling rumah saya mengeluarkan percikan api yang
berdetap-detap bunyinya. Syiling putih itu kelihatan berasap dan terbakar. Dalam keadaan
separuh panik saya menjerit memanggil suami.

Suami saya pantas menutup suis utama. Rumah kami gelap buat seketika. Muka saya
pucat lesi. Saya menggigil mengingatkan betapa berdosanya saya mendoakan kejahatan buat
seseorang yang saya benci. Namun Allah SWT segera menunjukkan amarannya kepada saya.
Niat buruk saya dibalas segera oleh Allah SWT. Saya beristighfar berkali-kali. Ya Allah!
Betapa songsangnya pemikiran saya. Ampunkan aku Ya Allah!

Usai solat Maghrib, seorang jiran datang membantu. Rupa-rupanya pendawaian
elektrik di syiling itu kurang sempurna . Beliau menawarkan pertolongan membaiki wayar
elektrik yang kurang kemas itu. Tidak dapat saya bayangkan andainya rumah saya yang
terbakar petang itu. Ya Allah! Pengajaran dan iktibar yang cukup besar buat saya. Allah SWT
mengasihi saya dan mahu saya memikirkan sesuatu.

Peristiwa itu perlu saya lihat dengan pandangan mata lebah iaitu Allah SWT mahu
saya membereskan hubungan yang tidak harmonis dengan seseorang. Kejadian tersebut saya
kongsikan dengan seorang sahabat dalam perjalanan ke Kuala Lipis pada suatu hari. Kami
sama-sama bersedih dan bermuhasabah diri.

 Namun bersyukur kerana Allah SWT menggerakkan saya untuk terus berfikir, berfikir dan berfikir. Saya perlu membaiki hubungan saya dengan manusia di sekeliling saya. Permusuhan, dendam dan kemarahan ini hanya akan membinasakan hati saya. Paling teruk jika saya membawa penyakit hati ini sehingga ke mati.

Ramainya orang yang bermusuhan dan tidak bertegur sapa sehingga mereka meninggal dunia. Tidak boleh dibayangkan kita menemui Tuhan dalam keadaan hati kita yang berpenyakit membenci saudara seagama hanya kerana sebab-sebab yang remeh. Nauzubillahhiminzalik.

Hubungan silaturahim itu sangat penting sehinggakan Nabi SAW bersabda dalam satu
hadis;

“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga kamu mengasihi saudara
seagama kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri.”
                                                                                         ( Riwayat Muslim dan Bukhari)

Saya perlu berjuang melawan penyakit hati. Itulah jihad yang paling utama. Saya
perlu membuang penyakit-penyakit hati yang bersarang dalam hati. Penyakit dendam,
amarah, kemarahan, benci- membenci dan permusuhan. Saya belajar tentang satu perkara
iaitu kepentingan menjaga silaturahim.

Alhamdulillah, apabila saya mengalah, memohon kemaafan buat kali kedua dengan
tulus ikhlas pada bulan Ramadan, sudah tidak ada rasa dendam dan kemarahan. Kami sama-sama saling mengakui kesilapan diri, sama-sama beriktikad untuk berubah mencari jalan
pulang.

Walaupun masih ada suara-suara sumbang untuk melaga-lagakan kami, Alhamdulillah saya sudah mampu mendengarnya dengan senyuman. Sedikit demi sedikit
secara bertatih-tatih saya belajar untuk bersabar, rasional, menahan kemarahan, membuang
sikap ego dan mengikis sikap panas baran.


Subhanallah. Allah bayar tunai atas niat saya mendoakan rumahnya terbakar.