SUARA HATIKU
BELALANG KUNYIT
Suatu petang dalam bulan Ramadan, ketika sedang menyiram bunga di halaman rumah, saya terpandang seekor belalang kunyit hinggap di ranting pokok bunga raya. Subhanallah! Sudah berbelas-belas tahun saya tidak pernah melihat belalang kunyit. Hati saya berbunga riang. Saya tersenyum sendirian. Ingatan kembali ke zaman kanak-kanak ketika di Felda Jenderak Selatan. Saya terkenangkan emak dan memori belalang kunyit.
Pada waktu itu rumah kami dipagari pokok bunga raya. Pengurus Felda ketika itu iaitu Encik Shariff menggalakkan masyarakat felda menanam bunga raya sebagai bunga pagar. Seingat saya ketika itu seluruh penduduk felda Jenderak Selatan menanam bunga raya di halaman rumah masing-masing. Jadi rumah kami tidak terkecuali merimbun dengan bunga raya yang sama tinggi dan rapat-rapat. Apabila berbunga, memang sangat cantik. Daun bunga raya boleh dibuat ubat bagi budak-budak yang deman. Air daun bunga raya yang berlendir menyejukkan kepala selain menghitamkan rambut.
Yang menariknya pokok bunga raya di rumah kami mengundang banyak belalang kunyit hinggap di rantingnya. Emak selalu menangkap belalang kunyit. Kadang-kadang sampai tujuh lapan ekor. Belalang kunyit tersebut akan dibuang kepak dan kepalanya, dibubuh garam dan kunyit, lalu digoreng sehingga rangup. Itulah makanan eksotik yang sangat sedap semasa saya di zaman kanak-kanak. Rasanya ala-ala udang goreng. Berebut-rebut saya dan adik perempuan melahap belalang kunyit goreng.
Masa itu, duit sangat sukar didapati, makanan pula kurang. Jadi apa-apa sahaja yang boleh dimakan memang akan menjadi rebutan budak-budak. Saya selalu merungut kelaparan kepada emak. Setiap hari sarapan sebelum ke sekolah ialah cekodok tepung dan air kopi. Sesekali emak buat lempeng tepung.
Suatu ketika Ustaz mengaji kami mengadakan majlis khatam al-Quran dan saya terpilih menyertainya. Masa itu saya dalam darjah enam. Isteri ustaz tersebut menyediakan bihun goreng dan mee goreng. Mengalir air mata saya ketika memakan bihun goreng yang dirasakan tersangatlah mewahnya kerana di rumah emak tidak pernah menyediakannya. Kesempitan wang menyebabkan kami makan ala kadar sahaja. Saya makan bihun goreng macam budak kebuluran. Sedapnya bihun goreng ketika itu tidak terkata.
Budak-budak pada waktu itu akan makan apa-apa sahaja yang boleh dimakan. Kami biasa berebut buah letup-letup yang berlendir isinya. Apabila masak, buahnya kekuning-kuningan, sangat menggiurkan. Kami juga selalu merayau dalam kebun getah mencari buah senduduk. Buah senduduk berwarna hitam pekat apabila masak ranum. Walaupun menghitamkan lidah, kami tidak peduli. Yang penting kenyang. Rasa buah senduduk yang masak ranum sangat manis. Selain itu, buah kelapa sawit yang direbus juga kerap menjadi makanan kami. Alahai, di saat kelaparan, semuanya disental asalkan perut kenyang.
Kejadian melihat belalang kunyit pada suatu petang itu saya ceritakan kepada suami . Kami selalu berbual-bual kosong di beranda rumah sambil menghirup udara malam. Bertuahnya anak-anak kami yang mewah dengan makanan. Mereka tentu terperanjat apabila mengetahui belalang kunyit boleh dimakan. Jika saya menangkap dan menggoreng belalang kunyit, adakah mereka sudi menjamahnya sebagaimana lahapnya saya dahulu meratah belalang kunyit. Sekarang saya sendiri pun mungkin tidak lagi tergamak mahu memakan belalang kunyit.
Ah! Belalang kunyit yang hadir pada petang Ramadan itu mengimbau zaman kesusahan saya dan keluarga di felda Jenderak Selatan. Syukur Alhamdulillah. Allah telah mengurniakan kehidupan yang bahagia buat saya dan keluarga sekarang. Lalu mana satukah nikmat Allah yang saya dustakan?
Kini, kelapangan rezeki yang dititipkan oleh Allah SWT mengingatkan saya supaya menjadi orang yang bersyukur dengan membantu pula orang lain yang kesusahan. Pasti ada insan-insan di sekeliling kita yang memerlukan bantuan. Celiklah hati!
Tuesday, 23 September 2014
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment