Oh My Aurat
Salam Ramadan sahabat-sahabat sekalian. Tinggal beberapa hari lagi Ramadan akan berlalu. Alhamdulillah, kita masih diberi nikmat berpuasa, nikmat beribadah dan
meningkatkan amalan dalam bulan yang mulia ini. Semoga nikmat kesihatan yang
dianugerahkan oleh Allah SBT ini kita gunakan dengan sebaik mungkin untuk
beribadah kepadaNya.
Alangkah moleknya jika bulan Ramadan yang mulia
ini, kita mengambil peluang untuk berhijrah kepada sesuatu yang lebih baik.
Daripada tak pernah buka Al -Quran, kita beransur-ansur membacanya. Daripada
tak pernah bangun malam, kita gagahkan bangun untuk berqiyamulail..daripada tak
bertudung, kita pakai tudung…daripada tudung yang saiz S, kita labuhkan sikit
kepada saiz M, saiz L dan seterusnya saiz XL. Bercerita tentang aurat, saya
ingin berkongsi pengalaman yang mengubah cara saya berpakaian…belum begitu
sempurna tetapi berdikit-dikit memperbaikinya.
Semoga Allah mengampuni kita kerana kealpaan,
kedegilan dan ketidakmahuan kita menutup aurat pada masa lalu walaupun jauh di
sudut hati kita teramat tahu bahawa memperlihatkan aurat itu sangat besar
dosanya.
Saya
ditempatkan di SMK Agama Ranau selepas menamatkan Kursus Perguruan Lepasan
Ijazah di Maktab Gaya, Sabah. Pada hari pertama di sekolah tersebut, saya
dengan bangganya memakai kebaya tanpa sedikit pun perasaan malu dan bersalah
mengenakan kebaya yang agak ketat dan mengikut bentuk badan di sekolah agama
yang seratus peratusnya pelajar perempuannya memakai tudung labuh.
Maklumlah saya memang suka bergaya. Yang penting
kepuasan diri apabila kelihatan cantik. Pada masa itu bertudung sekadar di
sekolah sahaja. Di luar sekolah kadang-kadang saya tidak memakai tudung.
Kira-kira ikut sesuka hati dan sesedap rasa sahaja. Sehinggalah suatu hari ada
seorang rakan sekerja dengan agak terpaksa menegur saya;
“Kak, minta maaf ya, kat sekolah ini tak bolehlah pakai kebaya
macam ni,”
Oh, saya terkedu! Malu juga dengan teguran sebegitu
rupa. Selepas itu saya berbaju kurung dan memakai tudung melepasi dada khas
untuk penampilan di sekolah itu sahajalah. Tetapi keadaan itu tidak berterusan
lama. Apabila berbulan-bulan di sekolah itu, saya rasa sudah agak senior dan
kembali mengenakan kebaya di sekolah. Peduli apa aku! Jangan sesiapa tegur ya,
saya sudah senior di sekolah ini. Memang pun, selepas itu tiada lagi yang
menegur. Kalau pun ada yang tidak berkenan, diam-diam saja.
Mmmmm, tak sangka pula ada pengikut. Seorang kawan
dari Semenanjung turut memakai kebaya. Memang perasan hebatlah saya waktu itu.
Walaupun sudah beranak dua, tetapi ‘body ‘ masih mengancam (konon). Itulah
bisikan-bisikan melalaikan terbuai-buai di telinga (Semoga Allah AWT mengampuni
kejahilan saya). Apabila bertukar ke sekolah baharu di Pahang, trend berkebaya
ketat ini saya teruskan. Seronok sangat apabila budak-budak puji (Sebenarnya
ramai juga yang mengumpat keji)
“ Cantiknya cikgu..! ”
Berbunga-bunga
rasa riak. Syaitan pun tumpang semangkuk bertepuk tangan apabila ada hamba
Allah yang terbuai-buai dengan pujian yang melalaikan. Yang tidak senang pun
ada, tapi mengata kat belakang-belakang...tapi tidak kisahlah. Rasa bangga
apabila ada orang perasan baju kita baju baru, cantik dan mahal. Lagi seronok
jika ada orang toleh dua kali.
Suatu hari saya terkedu apabila anak sulung
bercerita dengan kawan sekolahnya. Masa itu dia lebih kurang enam tahun. Saya
namakan kawannya Intan (bukan nama sebenar). Perbualan mereka lebih kurang
begini;
“ Umi kita kat sekolah pakai
tudung labuh ”, kata Intan.
“ Mama kita seksi...mama kita
suka pakai baju ketat-ketat...”, jawab anak saya telus dan tulus.
Begitulah
pandangan anak perempuan sulung yang sedikit menyentap minda saya. Rupa-rupanya
selama ini itulah yang terpahat dalam kepalanya tentang cara berpakaian ibunya.
Entah kenapa saya sedikit pun tidak rasa gembira, malah saya rasa malu.
Tambah-tambah emak Intan pun mendengar perbualan tersebut.
Dalam tersenyum
sumbing, saya dapat rasakan darah panas menyirap ke muka saya. Namun peristiwa
itu tidak terus-menerus menukar cara saya berpakaian. Perasan malu itu datang
sekejap sahaja. Saya masih meneruskan cara berpakaian yang tidak menepati
syariat itu. Begitulah jahilnya saya selama bertahun-tahun dalam bab aurat.
Bertudung sekadar fesyen.
Menjelang tahun
2012 apabila umur menginjak gear 3 (30an) saya jadi malu sendiri untuk
berkebaya. Tambah-tambah pula anak perempuan sudah menginjak remaja. Anak
perempuan kedua suatu hari pulang ke rumah dengan kesan lebam di lengannya.
Apabila puas ditanya, dengan takut-takut dia memberitahu bahawa lengannya
dicubit oleh ustazah kerana tidak menutup aurat.
Saya tidak
memberikan sebarang reaksi, tetapi teguran kepada anak itu saya ambil kira
sebagai teguran Allah kepada saya. Pun begitu pintu hati belum jua terbuka.
Cuma sejak 2012 saya langsung tidak menyentuh kebaya. Saya juga tidak keluar
rumah memakai t-shirt berlengan pendek. Tiada sesiapa menyuruh atau melarang,
keinginan itu datang begitu sahaja.
Walaupun begitu,
keghairahan berfesyen masih meluap-luap. Trend sejenis tudung berjenama yang
berlapis-lapis sangat popular ketika itu. Walaupun harganya agak mahal, namun
demi kelihatan bergaya saya sanggup berbelanja. Di sekolah, sayalah guru
pertama yang memakai tudung jenama tersebut. Memang perasan hebatlah waktu itu.
Saya dan adik ipar sangat menggemari tudung tersebut. Kadang-kadang dia yang
tolong belikan saya tudung secara on-line. Kami berkongsi minat yang sama.
Pada awal-awal
tahun 2013, ada suatu majlis di sekolah. Apabila majlis itu selesai para guru
bergegas-gegas, ada yang menuju ke kantin, ada yang ke bilik guru dan ada yang
ke kelas. Saya berjalan beriringan dengan seorang ustazah yang baik hati. Dalam
lembut dia menegur saya;
“ Cantik Tun hari ini ya, tudung
Tun pakai ni cantik sangat, tapi akak rasa kalau labuh sikit tutup dada, lagi
sesuai...”
Alamak! Sentap betullah. Saya cuma tersenyum kambing. Tudung yang
popular itu memang bukan untuk menutup aurat. Sekadar menutup kepala. Walaupun
tidak marah, namun saya kurang selesa dengan kata-kata ustazah itu. Selama
mengenali ustazah tersebut, inilah kali pertama dia menegur cara saya
berpakaian. Saya mengadu kepada seorang sahabat . tentang teguran tersebut.
Jawapannya yang berjela-jela membuatkan saya tersentap sekali lagi.
“Kak Haitun,
sebenarnya Allah sayang akak. Allah hantar Ustazah itu untuk menegur akak.
Allah beri kekuatan kepada ustazah itu untuk menegur akak. Akak beruntung
sebenarnya kerana ada orang yang prihatin kat akak. Cuba jangan bersangka
buruk. Anggaplah teguran itu daripada Allah. Kalau Allah tidak peduli akak, DIA
tidak akan beri kekuatan kat siapa-siapa untuk sedarkan akak tentang pakaian
akak. Cuba fikir baik-baik, dalam ramai-ramai kat sekolah ni, kenapa dia tegur
akak, kenapa dia tak tegur orang lain?”
Saya terkedu yang
amat sangat. Begitulah penjelasan seorang sahabat yang melihat dengan mata
lebah. Apa akan berlaku jika saya meluahkan ketidakpuasan hati saya tentang
teguran itu kepada orang yang salah? Mungkin jawapannya;
“ Eh sibuk betullah ustazah tu
jaga tepi kain orang, macamlah dia tu bagus sangat, kubur kan masing-masing...”
Terima kasih
wahai ustazah dan sahabat. Teguran itu membuka ruang untuk saya membaiki cara
berpakaian. Walaupun tidak secara drastik, namun berbulan-bulan selepas itu
saya beransur-ansur melabuhkan tudung. Sekarang saya benar-benar menjaga
pakaian saya. Saya akan pastikan tudung yang saya pakai melepasi dada. Saya
selesa berbaju kurung dan memakai kasut bertutup apabila keluar rumah. Saya
akan mempertahankan tudung saya apabila ada lelaki bukan muhrim (biasanya
kawan-kawan suami) bertandang ke rumah.
Jahilnya saya
selama ini kerana memandang remeh soal menutup aurat. Semoga Allah SWT
mengampunkan kealpaan saya dan kita semua. Syukur kepada Allah SWT kerana
memberi kesedaran kepada saya dalam bab berpakaian. Anehnya saya rasa merdeka.
Saya rasa benar-benar merdeka apabila menutup aurat. Subhanallah, seronoknya
perasaan ini!
Lalu nikmat Allah manakah yang saya dustakan?
Peringatan Allah yang Maha Penyayang ini saya jumpa berkali-kali dalam surah Ar
Rahman. Alhamdulillah saya telah pun menghafal surah ini walaupun mengambil
masa berbulan-bulan secara bertatih-tatih.
Tahniah Kak Haitun...
ReplyDelete1000 kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah.. atas kasih & sayang-NYA menghantar penolong untuk kita ditolong.. Alhamdulillah.
kita kena pecaya bahawa setiap apa yang Allah perintahkan kita buat, sebenarnya tak lain tak bukan adalah untuk kebaikan diri kita sendiri...
Tq
ReplyDeleteSemoga kita istiqomah jasmin.salam lebaran..maaf zahir batin
ReplyDelete