Tuesday, 22 July 2014

Oh My Aurat


Oh  My Aurat
Salam Ramadan sahabat-sahabat sekalian. Tinggal beberapa hari lagi Ramadan akan berlalu. Alhamdulillah, kita masih diberi nikmat berpuasa, nikmat beribadah dan meningkatkan amalan dalam bulan yang mulia ini. Semoga nikmat kesihatan yang dianugerahkan oleh Allah SBT ini kita gunakan dengan sebaik mungkin untuk beribadah kepadaNya.
Alangkah moleknya jika bulan Ramadan yang mulia ini, kita mengambil peluang untuk berhijrah kepada sesuatu yang lebih baik. Daripada tak pernah buka Al -Quran, kita beransur-ansur membacanya. Daripada tak pernah bangun malam, kita gagahkan bangun untuk berqiyamulail..daripada tak bertudung, kita pakai tudung…daripada tudung yang saiz S, kita labuhkan sikit kepada saiz M, saiz L dan seterusnya saiz XL. Bercerita tentang aurat, saya ingin berkongsi pengalaman yang mengubah cara saya berpakaian…belum begitu sempurna tetapi berdikit-dikit memperbaikinya.
Semoga Allah mengampuni kita kerana kealpaan, kedegilan dan ketidakmahuan kita menutup aurat pada masa lalu walaupun jauh di sudut hati kita teramat tahu bahawa memperlihatkan aurat itu sangat besar dosanya.
 Saya ditempatkan di SMK Agama Ranau selepas menamatkan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah di Maktab Gaya, Sabah. Pada hari pertama di sekolah tersebut, saya dengan bangganya memakai kebaya tanpa sedikit pun perasaan malu dan bersalah mengenakan kebaya yang agak ketat dan mengikut bentuk badan di sekolah agama yang seratus peratusnya pelajar perempuannya memakai tudung labuh.
Maklumlah saya memang suka bergaya. Yang penting kepuasan diri apabila kelihatan cantik. Pada masa itu bertudung sekadar di sekolah sahaja. Di luar sekolah kadang-kadang saya tidak memakai tudung. Kira-kira ikut sesuka hati dan sesedap rasa sahaja. Sehinggalah suatu hari ada seorang rakan sekerja dengan agak terpaksa menegur saya;
“Kak, minta maaf ya, kat sekolah ini tak bolehlah pakai kebaya macam ni,”
Oh, saya terkedu! Malu juga dengan teguran sebegitu rupa. Selepas itu saya berbaju kurung dan memakai tudung melepasi dada khas untuk penampilan di sekolah itu sahajalah. Tetapi keadaan itu tidak berterusan lama. Apabila berbulan-bulan di sekolah itu, saya rasa sudah agak senior dan kembali mengenakan kebaya di sekolah. Peduli apa aku! Jangan sesiapa tegur ya, saya sudah senior di sekolah ini. Memang pun, selepas itu tiada lagi yang menegur. Kalau pun ada yang tidak berkenan, diam-diam saja.
Mmmmm, tak sangka pula ada pengikut. Seorang kawan dari Semenanjung turut memakai kebaya. Memang perasan hebatlah saya waktu itu. Walaupun sudah beranak dua, tetapi ‘body ‘ masih mengancam (konon). Itulah bisikan-bisikan melalaikan terbuai-buai di telinga (Semoga Allah AWT mengampuni kejahilan saya). Apabila bertukar ke sekolah baharu di Pahang, trend berkebaya ketat ini saya teruskan. Seronok sangat apabila budak-budak puji (Sebenarnya ramai juga yang mengumpat keji)
“ Cantiknya cikgu..! ”

            Berbunga-bunga rasa riak. Syaitan pun tumpang semangkuk bertepuk tangan apabila ada hamba Allah yang terbuai-buai dengan pujian yang melalaikan. Yang tidak senang pun ada, tapi mengata kat belakang-belakang...tapi tidak kisahlah. Rasa bangga apabila ada orang perasan baju kita baju baru, cantik dan mahal. Lagi seronok jika ada orang toleh dua kali.
Suatu hari saya terkedu apabila anak sulung bercerita dengan kawan sekolahnya. Masa itu dia lebih kurang enam tahun. Saya namakan kawannya Intan (bukan nama sebenar). Perbualan mereka lebih kurang begini;
“ Umi kita kat sekolah pakai tudung labuh ”, kata Intan.
“ Mama kita seksi...mama kita suka pakai baju ketat-ketat...”, jawab anak saya telus dan tulus.

Begitulah pandangan anak perempuan sulung yang sedikit menyentap minda saya. Rupa-rupanya selama ini itulah yang terpahat dalam kepalanya tentang cara berpakaian ibunya. Entah kenapa saya sedikit pun tidak rasa gembira, malah saya rasa malu. Tambah-tambah emak Intan pun mendengar perbualan tersebut.

Dalam tersenyum sumbing, saya dapat rasakan darah panas menyirap ke muka saya. Namun peristiwa itu tidak terus-menerus menukar cara saya berpakaian. Perasan malu itu datang sekejap sahaja. Saya masih meneruskan cara berpakaian yang tidak menepati syariat itu. Begitulah jahilnya saya selama bertahun-tahun dalam bab aurat. Bertudung sekadar fesyen.

Menjelang tahun 2012 apabila umur menginjak gear 3 (30an) saya jadi malu sendiri untuk berkebaya. Tambah-tambah pula anak perempuan sudah menginjak remaja. Anak perempuan kedua suatu hari pulang ke rumah dengan kesan lebam di lengannya. Apabila puas ditanya, dengan takut-takut dia memberitahu bahawa lengannya dicubit oleh ustazah kerana tidak menutup aurat.

Saya tidak memberikan sebarang reaksi, tetapi teguran kepada anak itu saya ambil kira sebagai teguran Allah kepada saya. Pun begitu pintu hati belum jua terbuka. Cuma sejak 2012 saya langsung tidak menyentuh kebaya. Saya juga tidak keluar rumah memakai t-shirt berlengan pendek. Tiada sesiapa menyuruh atau melarang, keinginan itu datang begitu sahaja.

Walaupun begitu, keghairahan berfesyen masih meluap-luap. Trend sejenis tudung berjenama yang berlapis-lapis sangat popular ketika itu. Walaupun harganya agak mahal, namun demi kelihatan bergaya saya sanggup berbelanja. Di sekolah, sayalah guru pertama yang memakai tudung jenama tersebut. Memang perasan hebatlah waktu itu. Saya dan adik ipar sangat menggemari tudung tersebut. Kadang-kadang dia yang tolong belikan saya tudung secara on-line. Kami berkongsi minat yang sama.

Pada awal-awal tahun 2013, ada suatu majlis di sekolah. Apabila majlis itu selesai para guru bergegas-gegas, ada yang menuju ke kantin, ada yang ke bilik guru dan ada yang ke kelas. Saya berjalan beriringan dengan seorang ustazah yang baik hati. Dalam lembut dia menegur saya;

“ Cantik Tun hari ini ya, tudung Tun pakai ni cantik sangat, tapi akak rasa kalau labuh sikit tutup dada, lagi sesuai...”
Alamak! Sentap betullah. Saya cuma tersenyum kambing. Tudung yang popular itu memang bukan untuk menutup aurat. Sekadar menutup kepala. Walaupun tidak marah, namun saya kurang selesa dengan kata-kata ustazah itu. Selama mengenali ustazah tersebut, inilah kali pertama dia menegur cara saya berpakaian. Saya mengadu kepada seorang sahabat . tentang teguran tersebut. Jawapannya yang berjela-jela membuatkan saya tersentap sekali lagi.
“Kak Haitun, sebenarnya Allah sayang akak. Allah hantar Ustazah itu untuk menegur akak. Allah beri kekuatan kepada ustazah itu untuk menegur akak. Akak beruntung sebenarnya kerana ada orang yang prihatin kat akak. Cuba jangan bersangka buruk. Anggaplah teguran itu daripada Allah. Kalau Allah tidak peduli akak, DIA tidak akan beri kekuatan kat siapa-siapa untuk sedarkan akak tentang pakaian akak. Cuba fikir baik-baik, dalam ramai-ramai kat sekolah ni, kenapa dia tegur akak, kenapa dia tak tegur orang lain?”

Saya terkedu yang amat sangat. Begitulah penjelasan seorang sahabat yang melihat dengan mata lebah. Apa akan berlaku jika saya meluahkan ketidakpuasan hati saya tentang teguran itu kepada orang yang salah? Mungkin jawapannya;

“ Eh sibuk betullah ustazah tu jaga tepi kain orang, macamlah dia tu bagus sangat, kubur kan masing-masing...”

Terima kasih wahai ustazah dan sahabat. Teguran itu membuka ruang untuk saya membaiki cara berpakaian. Walaupun tidak secara drastik, namun berbulan-bulan selepas itu saya beransur-ansur melabuhkan tudung. Sekarang saya benar-benar menjaga pakaian saya. Saya akan pastikan tudung yang saya pakai melepasi dada. Saya selesa berbaju kurung dan memakai kasut bertutup apabila keluar rumah. Saya akan mempertahankan tudung saya apabila ada lelaki bukan muhrim (biasanya kawan-kawan suami) bertandang ke rumah.

Jahilnya saya selama ini kerana memandang remeh soal menutup aurat. Semoga Allah SWT mengampunkan kealpaan saya dan kita semua. Syukur kepada Allah SWT kerana memberi kesedaran kepada saya dalam bab berpakaian. Anehnya saya rasa merdeka. Saya rasa benar-benar merdeka apabila menutup aurat. Subhanallah, seronoknya perasaan ini!
Lalu nikmat Allah manakah yang saya dustakan? Peringatan Allah yang Maha Penyayang ini saya jumpa berkali-kali dalam surah Ar Rahman. Alhamdulillah saya telah pun menghafal surah ini walaupun mengambil masa berbulan-bulan secara bertatih-tatih.

 SALAM LEBARAN..AMPUN MAAF DIPINTA....

3 comments:

  1. Tahniah Kak Haitun...
    1000 kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah.. atas kasih & sayang-NYA menghantar penolong untuk kita ditolong.. Alhamdulillah.
    kita kena pecaya bahawa setiap apa yang Allah perintahkan kita buat, sebenarnya tak lain tak bukan adalah untuk kebaikan diri kita sendiri...

    ReplyDelete
  2. Semoga kita istiqomah jasmin.salam lebaran..maaf zahir batin

    ReplyDelete