SUARA HATIKU
KESAN
SEORANG GURU
Saya lahir dalam keluarga yang miskin dan kurang asas
agama. Kemiskinan menyebabkan seorang budak perempuan (saya) pada waktu itu
sangat rendah diri, kurang keyakinan dan tidak menonjol dalam apa-apa pun.
Pelajaran pun sederhana sahaja. Biasanya saya cuma mendapat tempat keenam dan
ketujuh sahaja dalam kelas. Saya tidak pernah mendapat hadiah semasa Hari
Anugerah peringkat sekolah.
Semasa di sekolah rendah , ayah pula selalu
membanding-bandingkan saya dengan adik perempuan saya kerana dia selalu
mendapat nombor satu dalam peperiksaan. Namanya selalu dipanggil semasa Hari
Anugerah. Saya cuma naik pentas untuk membuat persembahan, biasanya tarian.
Seingat saya semasa di sekolah rendah lagi saya pandai menari. Bakat ini saya
warisi daripada ayah yang pandai menari.
Paling saya ingat waktu itu ialah betapa tidak
cantiknya saya (teruknya perasaan saya waktu itu). Keadaan itu bukan lahir
tanpa sebab tetapi ada satu peristiwa yang dicetuskan oleh seorang guru Bahasa
Inggeris saya. Saya namakannya Cikgu Nik (bukan nama sebenar) Begitulah
besarnya peranan seorang guru.
Ceritanya begini;
Suatu
hari Cikgu Nik mengajar tajuk perbandingan iaitu ‘than’. Beliau menulis
pelbagai ayat perbandingan pada papan hitam. Sehinggalah satu ketika saya dan
seorang kawan bernama Aida (bukan nama sebenar) dipanggil ke hadapan kelas.
Bangganya saya kerana cikgu hendak menjadikan kami sebagai contoh. Rupa-rupanya itulah peristiwa yang terus
merenggut perasaan kecil saya walaupun baru berusia 11 tahun. Kesannya
bertahun-tahun terperangkap di dalam benak saya. Lebih kurang beginilah
kisahnya;
“
Okay class, who think Haitun beautiful, puts your hands up please ...”
Adalah tiga empat orang yang angkat tangan. Itu pun
setelah pandang-memandang sesama sendiri.
“
Okay, now who think Aida beautiful, puts your hands up ..”
Woww...hampir satu kelas mengangkattangan mereka. Muka saya rasa panas. Perasaan malu budak perempuan berusia 11 tahun
berselirat dalam hati. Air mata saya terasa hendak menitik di atas lantai.
Perasaan malu, sedih, kecewa dan terhina bercampur -baur. Sampai hati cikgu
membanding-bandingkan saya sebegitu rupa.
“
So, can you guys make a sentence based on our comparison a while ago? ”
Satu
kelas menjawab;
“ Aida more beautiful than Haitun ”
Jadi begitulah terkesannya saya dengan kejadian hari
itu. Saya pahatkan dalam hati berlarut-larutan. Saya tidak cantik, hitam,
gemuk, bodoh, anak orang miskin. Sangat lama stigma itu melekat dalam kepala.
Saya tulis banyak-banyak dalam diari;
“
Aku hodoh, hitam, miskin...kenapa Allah buat aku macam ini? ”
Begitu banyak ayat yang saya tulis mempertikaikan
takdir Allah kepada saya terutamanya berkaitan kemiskinan keluarga dan
kehodohan saya. Apabila saya terjumpa diari lama saya di rumah emak di Jenderak
Selatan, saya hanya mampu menggeleng-geleng kepala membaca kejahilan saya di
dalam diari tersebut. Teruknya perasaan rendah diri saya pada waktu itu.
Sewaktu di sekolah menengah pencapaian saya dalam
pelajaran semakin meningkat. Saya tinggal di asrama selama 4 tahun. Sewaktu di
tingkatan 5, saya keluar asrama dan tinggal bersama keluarga angkat di Tanjung
Kubu, Kuala Krau. Pencapaian dalam bidang kokurikulum juga agak membanggakan.
Saya mewakili sekolah sebagai pemain bola jaring. Kemudian saya terpilih
mewakili daerah Temerloh sebagai pemain bola jaring.
Saya pernah dihalau oleh seorang ustaz dari kelas
Pendidikan Islam kerana beliau mengetahui saya tidak bertudung sewaktu bermain
bola jaring di daerah Jerantut. Macam-macam ustaz itu seranah saya. Walau
bagaimanapun saya mengeraskan diri di dalam kelas. Saya tidak keluar seperti
yang disuruh. Saya cuma menelan kata-kata ustaz yang pedih itu.
Sekarang saya terfikir kenapa ustaz itu menyumpah
saya? Kenapa beliau tidak mengingatkan saya dan kawan-kawan yang lain tentang
peri pedihnya azab neraka bagi wanita yang tidak menutup aurat. Kenapa dia
tidak memujuk saya dengan kata-kata nasihat? Kenapa sampai perlu menghalau saya
keluar dari kelas? Saya kira begitulah dakwah yang tidak sihat. Dakwah yang
semakin menjauhkan orang yang kurang ‘beragama’ seperti saya yang ketika itu
hanyalah seorang remaja yang tidak ada hala tuju.
Begitu jugalah dakwah pada hari yang menggunakan
pendekatan menyumpah seranah. Alangkah sedihnya! Terus terang saya katakan
ketika itu sudut pandang saya terhadap golongan agama sangat rendah kerana saya
hanya bertemu ustaz yang suka tidur dalam kelas, ustaz yang antiperempuan,
ustaz yang suka menyumpah seranah, ustazah yang kuat membebel dan bercakap dengan
nada menyindir-nyindir. Saya semakin jauh dari agama kerana tidak ada golongan
ini yang mendekati saya. Mohon ampun dan maaf. Sekurang-kurangnya inilah
pandangan ikhlas saya sewaktu saya masih budak mentah.
Pada masa itu saya tidak langsung merasakan keperluan
memakai tudung. Bagi saya pakai tudung cuma peraturan sekolah. Di luar sekolah
saya tidak bertudung pun. Jadi saya sedikit pun tidak rasa bersalah bermain
bola jaring mewakili daerah Temerloh tanpa memakai tudung pada tahun 1989.
Tambahan pula tidak ada seorang pun guru bola jaring pada waktu itu yang
mengingatkan saya tentang azab membuka aurat.
Sewaktu latihan pusat di SMK Vokasional
Puteri, solat pun langsung saya tak buat. Tak rasa apa-apa pun. Sedikit pun
tidak ada rasa bersalah, takut apatah lagi memikirkan soal azab neraka.
Langsung tidak ada. Begitulah zaman remaja saya berlalu. Penyesalan itu
sekarang, apabila saya mencecah umur hampir 40-an. Semoga Allah mengampunkan
dosa-dosa saya. Sekarang saya sangat menitikberatkan hal-hal solat anak-anak
saya. Semoga mereka tidak melalui zaman remaja yang gelap seperti mama mereka.
Keputusan yang agak baik dalam SPM melayakkan saya ke
tingkatan enam. 14 agregat adalah pencapaian yang agak baik bagi seorang
pelajar di kawasan pedalaman. Pencapaian terbaik ketika itulah ialah sahabat
saya Nazri bin Zainuddin yang mendapat 12 agregat, juga dari Felda Jenderak
Selatan.
Saya menaiki tingkatan enam di SMK Temerloh (SMKT). Di
SMKT saya bertemu sahabat baik yang kekal sehingga ke hari ini iaitu Noranita
binti Ismail, Johana binti Johari dan Zainal Abidin . Zainal agak rapat dengan
saya kerana kami sekelas semasa di tingkatan enam sehinggalah kami sama-sama
memasuki USM Penang.
Masing-masing menjadi guru kecuali Zainal yang berjaya
dalam bidang perniagaan. Isteri beliau pula sahabat baik saya di USM iaitu
Hasnita Sawal yang kini menjadi wartawan karangkraf. Dua tahun di SMKT saya
menikmati zaman remaja yang nakal. Sesekali ponteng sekolah dengan kawan-kawan
geng rumah sewa. Kami naik bas pergi Teluk Cempedak. Lepak-lepak tepi
pantai...zaman cinta monyet.
Pernah Cikgu Yazid (cikgu Sejarah saya) baling kapur ke
arah saya sebab khayal memandang keluar kelas. Saya malu bukan kepalang sebab
cikgu Yazid tahu cinta monyet saya tiada di sekolah kerana bermain bola.
Alahai..meluat kalau dikenang.
Saya agak serius belajar semasa di tingkatan enam
atas, maklumlah masa itu nak ambil STPM. Keadaan keluarga masih susah ketika
itu. Saya suka ‘enjoy’ dalam masa yang sama keinginan untuk mengubah nasib
keluarga sudah ada. Saya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk memasuki
universiti. Tidak ada galakan yang bersungguh-sungguh daripada keluarga, cuma
sesekali ayah dan emak berpesan.
“Kita ni orang miskin, belajar rajin-rajin”.
Sewaktu di tingkatan enam saya pernah bekerja di
sebuah restoran mamak. Sedih sangat-sangat waktu itu. Kadang-kadang saya buat
air, kadang-kadang basuh pinggan kat belakang. Apabila sesekali ada cikgu
datang ke restoran itu, lintang- pukang saya lari kerana saya malu dan tidak
mahu ada guru-guru tahu bahawa saya bekerja di situ.
Saya sangat mencemburui Johana kerana dia bukan sahaja
cantik, tetapi emaknya berduit sehinggakan dia boleh belajar di kelas komputer
pada waktu petang. Saya hanya mampu menelan air liur apabila Johana menunjukkan
hasil kerja komputernya kepada saya. Walau bagaimanapun saya mengatasi Johana
dan Noranita dalam bidang akademik.
Keputusan STPM yang agak baik melayakkan
saya memasuki USM dalam bidang Komunikasi. Apabila saya berjaya memasuki USM
Pulau Pinang pada tahun 1994, emak dan ayah terpaksa bergolok gadai dan
meminjam sana sini daripada saudara mara. Keadaan ini membuatkan saya sedikit
marah kepada ayah kerana ayah tiada simpanan langsung. Habis gelang, rantai
cincin emak tergadai untuk memastikan impian saya memasuki universiti
terlaksana. Bukan itu sahaja, kami dihina saudara mara kerana sikap ayah yang
suka meminjam dan menjadikan saya sebagai alasan untuk meminjam duit. Kerap
kali kisah meminjam duit ini dicanang dan diungkit-ungkit oleh saudara mara
yang memberikan duit untuk saya belajar. Sekali lagi perasaan malu, rendah diri
dan menyalahkan takdir berulang. Kerap kali kisah meminjam duit ini dicanang
dan diungkit-ungkit oleh saudara mara yang memberikan duit untuk saya belajar.
Sekali lagi perasaan malu, rendah diri dan menyalahkan takdir berulang.
“ Kenapalah keluarga aku miskin? Kenapalah aku miskin?
”
Perasaan bangga cuma bertandang sekejap iaitu semasa
saya mendapat surat tawaran ke universiti. Selepas itu bermulalah episod
jelajah ke rumah saudara -mara untuk meminjam. Malu dan tebal muka tak terkira.
Semasa di universiti macam-macam kerja ‘part time’
yang saya buat. Antaranya bekerja kilang. Kadang-kadang jadi ‘waitress’ apabila
ada majlis di hotel-hotel besar. Pihak hotel suka mengambil budak-budak
universiti mungkin kerana bayaran yang murah. Saya juga ada pengalaman menari
dengan Dewan Budaya di bawah pimpinan abang Helmi dan kak Noriah. Apabila ada
persembahan di hotel sempena majlis-majlis tertentu, kami akan menarikan
pelbagai tarian tradisional dengan bayaran RM80 hingga RM 100. Masa itu jiwa
remaja hanya fikir nak cari duit dan seronok sahaja.
Kadang-kadang terlintas juga tentang dosa tetapi
cepat-cepat pejam mata. Disebabkan aktif menari dan sesekali ikut berteater
dengan Dewan Budaya, saya banyak berjalan ke serata tempat. Apabila ada
kawan-kawan suruh belanja makan, selalunya alasan saya untuk mengelak ialah;
“ Ini duit berjoget, mana boleh buat makan-makan ”
Biasanya duit hasil menari saya beli kasut dan baju.
Tak terfikir pula nak beli buku, tambah-tambah buku agama, buku motivasi atau
buku panduan kewangan. Huh, kirim salam! Kesimpulannya semasa remaja, fokus
saya hanya ‘enjoy’. Inilah masanya saya nak pakai baju’ berjenama’. Masa di tingkatan enam seluar track untuk
joging pun koyak. Emak akan jahit dan tampal seluar yang koyak kerana kami
memang tidak mampu. Apabila berjoging dengan kawan-kawan, punyalah saya
berhati-hati takut mereka ternampak tampalan pada seluar. Telan air liur saja
tengok kawan-kawan pakai baju berjenama masa itu.
Semasa di universiti saya juga agak aktif dalam
aktiviti kokurikulum. Saya mewakili desa Aman (nama salah sebuah asrama pelajar
di USM) dalam sukan bola jaring, bola baling dan senamrobik. Saya juga mewakili
USM dalam sukan tersebut. Oleh sebab itu semasa tahun tiga dan tahun empat saya
menginap di ‘single room’ kerana aktif dalam sukan. Semasa tahun kedua di USM, saya
dan Eswati Azni (antara sahabat baik yang jelita orangnya tetapi sedikit
kelam-kabut. Beliau sekarang memegang jawatan besar di MIMOS ) mendapat
pengalaman pertama berteater bertajuk ‘Mambo Horse’di bawah pimpinan abang
Rosli bin Mansur.
Itulah kali pertama
saya mengasah bakat berlakon teater. Teater tersebut telah menjadi Johan Teater
antara universiti yang dipentaskan di UUM, Kedah pada tahun 1994. Saya diberi
peluang memegang watak ‘Josa’ iaitu seorang pelacur murahan. Pada waktu itulah
saya mengenali abang Mat Kasan yang kini telah pun menjadi penari profesional.
(Beliau mungkin sudah tidak mengenali saya lagi). Malah saya berpeluang
berteater bersama Kak Ku (Raja Azura) di Terengganu. Tajuk teater tersebut
ialah “Kena Main’. Begitulah zaman remaja saya di USM.
Sebenarnya
tanpa saya sedar perasaan rendah diri dan kurang yakin saya beransur-ansur
hilang. Kalau pun perasaan itu hadir sesekali, ianya cepat-cepat ditutup dengan
kesibukan saya belajar di universiti, bersukan, menari, latihan teater, menonton
wayang dengan Idora Abdul Rahman dan hobi ‘mengetea’ ( istilah minum teh sambil
melepak lama-lama )
Sehinggalah suatu hari sewaktu balik ke Jenderak
semasa cuti semester, selepas bertahun-tahun saya terjumpa Aida yang telah pun
berkahwin sedang mengelek anak. Entah mengapa tiba-tiba saya rasa menang,
menang selepas berbelas-belas tahun saya terperangkap dengan perbandingan cikgu
Bahasa Inggeris sewaktu di sekolah rendah.
Apabila menyedari sudah ada lintasan hati yang kotor,
cepat-cepat saya beristighfar. Masyaallah! Begitu cepat syaitan meniupkan
bunga-bunga riak dan memandang rendah kepada orang lain. Lemahnya iman saya!
Begitulah terkesannya seorang budak apabila diberi
contoh, perbandingan dan analogi yang salah oleh seorang guru. Cikgu itu mungkin
tidak bersalah dan tidak bermaksud pun untuk menyinggung perasaan saya. Mungkin
idea membandingkan saya dengan kawan saya itu datang begitu sahaja tanpa
dirancang. Sekiranya ada anak-anak didik yang terbaca suara hati saya ini,
cikgu mohon ampun dan maaf seandainya ada menyinggung kalian..melukai tanpa
sengaja. Saya sedar saya seorang guru dan ibu yang kadang-kadang terlebih
taring.
Saya pun tidak berdendam dengan cikgu itu. Perasaan
rendah diri, tidak yakin, tidak cantik, hodoh, bodoh, miskin hilang perlahan-lahan
begitu saja. Saya belajar mensyukuri nikmat Allah dan cuba untuk memiliki sifat
qanaah. Kata-kata hikmah ada menyebut;
“ Jika kita tidak mampu untuk
memiliki sesuatu, maka hargailah apa yang kita miliki ”
SELAMAT BERCUTI GURU-GURU DAN PARA PELAJAR..KHUSUSNYA PELAJAR KESAYANGAN SAYA DI KELAS 5 ETIKA DAN 3 TEKNOLOGI..MAAF CIKGU DAH BEKALKAN KAMU KERJA SEKOLAH YANG BANYAK..
Boleh diterbitkan maklong...
ReplyDeleteSedang berusaha etat..to mklong xde nama besar DLM dunia pnerbitan..maybe amek mass..tq Sudi mjengah blog kome
Deletesuka baca cerita ceritu akak...
ReplyDeleteheheh mmg betul bila sebut zaman remaja...
zaman yang sedang mencari identiti sendiri..
zaman malu tak bertempat
zaman tak kesahkan org tua
zaman melebih-lebihkan kawan berbanding k'ga sendiri
zaman semuanya nak 'enjoy'
walaubagaimanapun syukur
allah tak biarkan kita terus-terusan leka & lalai
kini.. allah campakan 1 perasaan penyesalan atas semua itu
dan penyesalan itu kita jadikan sbg 1 loncatan untuk berubah
kepada yang lebih baik dan baik... dan baik... dan terbaik.
inshaallah
Jasmin..semoga kita istiqomah..
Delete