Thursday, 11 September 2014

KESAN SEORANG GURU


SUARA HATIKU

KESAN SEORANG GURU

Saya lahir dalam keluarga yang miskin dan kurang asas agama. Kemiskinan menyebabkan seorang budak perempuan (saya) pada waktu itu sangat rendah diri, kurang keyakinan dan tidak menonjol dalam apa-apa pun. Pelajaran pun sederhana sahaja. Biasanya saya cuma mendapat tempat keenam dan ketujuh sahaja dalam kelas. Saya tidak pernah mendapat hadiah semasa Hari Anugerah peringkat sekolah.

Semasa di sekolah rendah , ayah pula selalu membanding-bandingkan saya dengan adik perempuan saya kerana dia selalu mendapat nombor satu dalam peperiksaan. Namanya selalu dipanggil semasa Hari Anugerah. Saya cuma naik pentas untuk membuat persembahan, biasanya tarian. Seingat saya semasa di sekolah rendah lagi saya pandai menari. Bakat ini saya warisi daripada ayah yang pandai menari.

Paling saya ingat waktu itu ialah betapa tidak cantiknya saya (teruknya perasaan saya waktu itu). Keadaan itu bukan lahir tanpa sebab tetapi ada satu peristiwa yang dicetuskan oleh seorang guru Bahasa Inggeris saya. Saya namakannya Cikgu Nik (bukan nama sebenar) Begitulah besarnya peranan seorang guru.

Ceritanya begini;
Suatu hari Cikgu Nik mengajar tajuk perbandingan iaitu ‘than’. Beliau menulis pelbagai ayat perbandingan pada papan hitam. Sehinggalah satu ketika saya dan seorang kawan bernama Aida (bukan nama sebenar) dipanggil ke hadapan kelas. Bangganya saya kerana cikgu hendak menjadikan kami sebagai contoh.  Rupa-rupanya itulah peristiwa yang terus merenggut perasaan kecil saya walaupun baru berusia 11 tahun. Kesannya bertahun-tahun terperangkap di dalam benak saya. Lebih kurang beginilah kisahnya;

“ Okay class, who think Haitun beautiful, puts your hands up please ...”

Adalah tiga empat orang yang angkat tangan. Itu pun setelah pandang-memandang sesama sendiri.

“ Okay, now who think Aida beautiful, puts your hands up ..”

Woww...hampir satu kelas mengangkattangan mereka. Muka saya rasa panas. Perasaan malu budak perempuan berusia 11 tahun berselirat dalam hati. Air mata saya terasa hendak menitik di atas lantai. Perasaan malu, sedih, kecewa dan terhina bercampur -baur. Sampai hati cikgu membanding-bandingkan saya sebegitu rupa.

“ So, can you guys make a sentence based on our comparison a while ago? ”
Satu kelas menjawab;

“ Aida more beautiful than Haitun ”

Jadi begitulah terkesannya saya dengan kejadian hari itu. Saya pahatkan dalam hati berlarut-larutan. Saya tidak cantik, hitam, gemuk, bodoh, anak orang miskin. Sangat lama stigma itu melekat dalam kepala. Saya tulis banyak-banyak dalam diari;

“ Aku hodoh, hitam, miskin...kenapa Allah buat aku macam ini? ”

Begitu banyak ayat yang saya tulis mempertikaikan takdir Allah kepada saya terutamanya berkaitan kemiskinan keluarga dan kehodohan saya. Apabila saya terjumpa diari lama saya di rumah emak di Jenderak Selatan, saya hanya mampu menggeleng-geleng kepala membaca kejahilan saya di dalam diari tersebut. Teruknya perasaan rendah diri saya pada waktu itu.

Sewaktu di sekolah menengah pencapaian saya dalam pelajaran semakin meningkat. Saya tinggal di asrama selama 4 tahun. Sewaktu di tingkatan 5, saya keluar asrama dan tinggal bersama keluarga angkat di Tanjung Kubu, Kuala Krau. Pencapaian dalam bidang kokurikulum juga agak membanggakan. Saya mewakili sekolah sebagai pemain bola jaring. Kemudian saya terpilih mewakili daerah Temerloh sebagai pemain bola jaring.

Saya pernah dihalau oleh seorang ustaz dari kelas Pendidikan Islam kerana beliau mengetahui saya tidak bertudung sewaktu bermain bola jaring di daerah Jerantut. Macam-macam ustaz itu seranah saya. Walau bagaimanapun saya mengeraskan diri di dalam kelas. Saya tidak keluar seperti yang disuruh. Saya cuma menelan kata-kata ustaz yang pedih itu.

Sekarang saya terfikir kenapa ustaz itu menyumpah saya? Kenapa beliau tidak mengingatkan saya dan kawan-kawan yang lain tentang peri pedihnya azab neraka bagi wanita yang tidak menutup aurat. Kenapa dia tidak memujuk saya dengan kata-kata nasihat? Kenapa sampai perlu menghalau saya keluar dari kelas? Saya kira begitulah dakwah yang tidak sihat. Dakwah yang semakin menjauhkan orang yang kurang ‘beragama’ seperti saya yang ketika itu hanyalah seorang remaja yang tidak ada hala tuju.

Begitu jugalah dakwah pada hari yang menggunakan pendekatan menyumpah seranah. Alangkah sedihnya! Terus terang saya katakan ketika itu sudut pandang saya terhadap golongan agama sangat rendah kerana saya hanya bertemu ustaz yang suka tidur dalam kelas, ustaz yang antiperempuan, ustaz yang suka menyumpah seranah, ustazah yang kuat membebel dan bercakap dengan nada menyindir-nyindir. Saya semakin jauh dari agama kerana tidak ada golongan ini yang mendekati saya. Mohon ampun dan maaf. Sekurang-kurangnya inilah pandangan ikhlas saya sewaktu saya masih budak mentah.

Pada masa itu saya tidak langsung merasakan keperluan memakai tudung. Bagi saya pakai tudung cuma peraturan sekolah. Di luar sekolah saya tidak bertudung pun. Jadi saya sedikit pun tidak rasa bersalah bermain bola jaring mewakili daerah Temerloh tanpa memakai tudung pada tahun 1989. Tambahan pula tidak ada seorang pun guru bola jaring pada waktu itu yang mengingatkan saya tentang azab membuka aurat.
Sewaktu latihan pusat di SMK Vokasional Puteri, solat pun langsung saya tak buat. Tak rasa apa-apa pun. Sedikit pun tidak ada rasa bersalah, takut apatah lagi memikirkan soal azab neraka. Langsung tidak ada. Begitulah zaman remaja saya berlalu. Penyesalan itu sekarang, apabila saya mencecah umur hampir 40-an. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa saya. Sekarang saya sangat menitikberatkan hal-hal solat anak-anak saya. Semoga mereka tidak melalui zaman remaja yang gelap seperti mama mereka.

Keputusan yang agak baik dalam SPM melayakkan saya ke tingkatan enam. 14 agregat adalah pencapaian yang agak baik bagi seorang pelajar di kawasan pedalaman. Pencapaian terbaik ketika itulah ialah sahabat saya Nazri bin Zainuddin yang mendapat 12 agregat, juga dari Felda Jenderak Selatan.

Saya menaiki tingkatan enam di SMK Temerloh (SMKT). Di SMKT saya bertemu sahabat baik yang kekal sehingga ke hari ini iaitu Noranita binti Ismail, Johana binti Johari dan Zainal Abidin . Zainal agak rapat dengan saya kerana kami sekelas semasa di tingkatan enam sehinggalah kami sama-sama memasuki USM Penang.

Masing-masing menjadi guru kecuali Zainal yang berjaya dalam bidang perniagaan. Isteri beliau pula sahabat baik saya di USM iaitu Hasnita Sawal yang kini menjadi wartawan karangkraf. Dua tahun di SMKT saya menikmati zaman remaja yang nakal. Sesekali ponteng sekolah dengan kawan-kawan geng rumah sewa. Kami naik bas pergi Teluk Cempedak. Lepak-lepak tepi pantai...zaman cinta monyet.

Pernah Cikgu Yazid (cikgu Sejarah saya) baling kapur ke arah saya sebab khayal memandang keluar kelas. Saya malu bukan kepalang sebab cikgu Yazid tahu cinta monyet saya tiada di sekolah kerana bermain bola. Alahai..meluat kalau dikenang.

Saya agak serius belajar semasa di tingkatan enam atas, maklumlah masa itu nak ambil STPM. Keadaan keluarga masih susah ketika itu. Saya suka ‘enjoy’ dalam masa yang sama keinginan untuk mengubah nasib keluarga sudah ada. Saya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk memasuki universiti. Tidak ada galakan yang bersungguh-sungguh daripada keluarga, cuma sesekali ayah dan emak berpesan.

“Kita ni orang miskin, belajar rajin-rajin”.

Sewaktu di tingkatan enam saya pernah bekerja di sebuah restoran mamak. Sedih sangat-sangat waktu itu. Kadang-kadang saya buat air, kadang-kadang basuh pinggan kat belakang. Apabila sesekali ada cikgu datang ke restoran itu, lintang- pukang saya lari kerana saya malu dan tidak mahu ada guru-guru tahu bahawa saya bekerja di situ.

Saya sangat mencemburui Johana kerana dia bukan sahaja cantik, tetapi emaknya berduit sehinggakan dia boleh belajar di kelas komputer pada waktu petang. Saya hanya mampu menelan air liur apabila Johana menunjukkan hasil kerja komputernya kepada saya. Walau bagaimanapun saya mengatasi Johana dan Noranita dalam bidang akademik.
Keputusan STPM yang agak baik melayakkan saya memasuki USM dalam bidang Komunikasi. Apabila saya berjaya memasuki USM Pulau Pinang pada tahun 1994, emak dan ayah terpaksa bergolok gadai dan meminjam sana sini daripada saudara mara. Keadaan ini membuatkan saya sedikit marah kepada ayah kerana ayah tiada simpanan langsung. Habis gelang, rantai cincin emak tergadai untuk memastikan impian saya memasuki universiti terlaksana. Bukan itu sahaja, kami dihina saudara mara kerana sikap ayah yang suka meminjam dan menjadikan saya sebagai alasan untuk meminjam duit. Kerap kali kisah meminjam duit ini dicanang dan diungkit-ungkit oleh saudara mara yang memberikan duit untuk saya belajar. Sekali lagi perasaan malu, rendah diri dan menyalahkan takdir berulang. Kerap kali kisah meminjam duit ini dicanang dan diungkit-ungkit oleh saudara mara yang memberikan duit untuk saya belajar. Sekali lagi perasaan malu, rendah diri dan menyalahkan takdir berulang.

“ Kenapalah keluarga aku miskin? Kenapalah aku miskin? ”

Perasaan bangga cuma bertandang sekejap iaitu semasa saya mendapat surat tawaran ke universiti. Selepas itu bermulalah episod jelajah ke rumah saudara -mara untuk meminjam. Malu dan tebal muka tak terkira.

Semasa di universiti macam-macam kerja ‘part time’ yang saya buat. Antaranya bekerja kilang. Kadang-kadang jadi ‘waitress’ apabila ada majlis di hotel-hotel besar. Pihak hotel suka mengambil budak-budak universiti mungkin kerana bayaran yang murah. Saya juga ada pengalaman menari dengan Dewan Budaya di bawah pimpinan abang Helmi dan kak Noriah. Apabila ada persembahan di hotel sempena majlis-majlis tertentu, kami akan menarikan pelbagai tarian tradisional dengan bayaran RM80 hingga RM 100. Masa itu jiwa remaja hanya fikir nak cari duit dan seronok sahaja.

Kadang-kadang terlintas juga tentang dosa tetapi cepat-cepat pejam mata. Disebabkan aktif menari dan sesekali ikut berteater dengan Dewan Budaya, saya banyak berjalan ke serata tempat. Apabila ada kawan-kawan suruh belanja makan, selalunya alasan saya untuk mengelak ialah;
“ Ini duit berjoget, mana boleh buat makan-makan ”

Biasanya duit hasil menari saya beli kasut dan baju. Tak terfikir pula nak beli buku, tambah-tambah buku agama, buku motivasi atau buku panduan kewangan. Huh, kirim salam! Kesimpulannya semasa remaja, fokus saya hanya ‘enjoy’. Inilah masanya saya nak pakai baju’ berjenama’.  Masa di tingkatan enam seluar track untuk joging pun koyak. Emak akan jahit dan tampal seluar yang koyak kerana kami memang tidak mampu. Apabila berjoging dengan kawan-kawan, punyalah saya berhati-hati takut mereka ternampak tampalan pada seluar. Telan air liur saja tengok kawan-kawan pakai baju berjenama masa itu.

Semasa di universiti saya juga agak aktif dalam aktiviti kokurikulum. Saya mewakili desa Aman (nama salah sebuah asrama pelajar di USM) dalam sukan bola jaring, bola baling dan senamrobik. Saya juga mewakili USM dalam sukan tersebut. Oleh sebab itu semasa tahun tiga dan tahun empat saya menginap di ‘single room’ kerana aktif dalam sukan. Semasa tahun kedua di USM, saya dan Eswati Azni (antara sahabat baik yang jelita orangnya tetapi sedikit kelam-kabut. Beliau sekarang memegang jawatan besar di MIMOS ) mendapat pengalaman pertama berteater bertajuk ‘Mambo Horse’di bawah pimpinan abang Rosli bin Mansur.

 Itulah kali pertama saya mengasah bakat berlakon teater. Teater tersebut telah menjadi Johan Teater antara universiti yang dipentaskan di UUM, Kedah pada tahun 1994. Saya diberi peluang memegang watak ‘Josa’ iaitu seorang pelacur murahan. Pada waktu itulah saya mengenali abang Mat Kasan yang kini telah pun menjadi penari profesional. (Beliau mungkin sudah tidak mengenali saya lagi). Malah saya berpeluang berteater bersama Kak Ku (Raja Azura) di Terengganu. Tajuk teater tersebut ialah “Kena Main’. Begitulah zaman remaja saya di USM.
Sebenarnya tanpa saya sedar perasaan rendah diri dan kurang yakin saya beransur-ansur hilang. Kalau pun perasaan itu hadir sesekali, ianya cepat-cepat ditutup dengan kesibukan saya belajar di universiti, bersukan, menari, latihan teater, menonton wayang dengan Idora Abdul Rahman dan hobi ‘mengetea’ ( istilah minum teh sambil melepak lama-lama )

Sehinggalah suatu hari sewaktu balik ke Jenderak semasa cuti semester, selepas bertahun-tahun saya terjumpa Aida yang telah pun berkahwin sedang mengelek anak. Entah mengapa tiba-tiba saya rasa menang, menang selepas berbelas-belas tahun saya terperangkap dengan perbandingan cikgu Bahasa Inggeris sewaktu di sekolah rendah.

Apabila menyedari sudah ada lintasan hati yang kotor, cepat-cepat saya beristighfar. Masyaallah! Begitu cepat syaitan meniupkan bunga-bunga riak dan memandang rendah kepada orang lain. Lemahnya iman saya!

Begitulah terkesannya seorang budak apabila diberi contoh, perbandingan dan analogi yang salah oleh seorang guru. Cikgu itu mungkin tidak bersalah dan tidak bermaksud pun untuk menyinggung perasaan saya. Mungkin idea membandingkan saya dengan kawan saya itu datang begitu sahaja tanpa dirancang. Sekiranya ada anak-anak didik yang terbaca suara hati saya ini, cikgu mohon ampun dan maaf seandainya ada menyinggung kalian..melukai tanpa sengaja. Saya sedar saya seorang guru dan ibu yang kadang-kadang terlebih taring.

Saya pun tidak berdendam dengan cikgu itu. Perasaan rendah diri, tidak yakin, tidak cantik, hodoh, bodoh, miskin hilang perlahan-lahan begitu saja. Saya belajar mensyukuri nikmat Allah dan cuba untuk memiliki sifat qanaah. Kata-kata hikmah ada menyebut;

“ Jika kita tidak mampu untuk memiliki sesuatu, maka hargailah apa yang kita miliki ”


SELAMAT BERCUTI GURU-GURU DAN PARA PELAJAR..KHUSUSNYA PELAJAR KESAYANGAN SAYA DI KELAS 5 ETIKA DAN 3 TEKNOLOGI..MAAF CIKGU DAH BEKALKAN KAMU KERJA SEKOLAH YANG BANYAK..






4 comments:

  1. Replies
    1. Sedang berusaha etat..to mklong xde nama besar DLM dunia pnerbitan..maybe amek mass..tq Sudi mjengah blog kome

      Delete
  2. suka baca cerita ceritu akak...
    heheh mmg betul bila sebut zaman remaja...
    zaman yang sedang mencari identiti sendiri..
    zaman malu tak bertempat
    zaman tak kesahkan org tua
    zaman melebih-lebihkan kawan berbanding k'ga sendiri
    zaman semuanya nak 'enjoy'

    walaubagaimanapun syukur
    allah tak biarkan kita terus-terusan leka & lalai
    kini.. allah campakan 1 perasaan penyesalan atas semua itu
    dan penyesalan itu kita jadikan sbg 1 loncatan untuk berubah
    kepada yang lebih baik dan baik... dan baik... dan terbaik.
    inshaallah

    ReplyDelete