BUNGA TANJUNG DAN ARWAH MAK ANDAK.
![]() |
SEKADAR GAMBAR HIASAN |
Sekitar bulan Mei dan Jun, lazimnya bunga Tanjung di sekolah saya begitu lebat berbunga. Sebatang pokok bunga Tanjung terletak betul-betul bertentangan dengan kelas Bahasa Melayu saya di 3 Teknologi. Apabila saya mengajar di kelas 3 Teknologi, saya pastinya akan tercium bau harum semerbak bunga Tanjung ini. Setiap kali haruman bunga Tanjung ini menerobos masuk ke dalam hidung, maka setiap kali itulah ingatan terhadap arwah Mak Andak akan datang bertandang. Haruman bunga Tanjung benar-benar mengimbau kenangan saya bersama arwah Mak Andak.
Apabila saya mengambil keputusan untuk bertukar sekolah ke Semenanjung dari Sabah pada tahun 2003, pilihan saya ialah ke Kuala Lipis, daerah kelahiran saya. Saya bersekolah dan dibesarkan di Temerloh, tetapi tidak pula saya terfikir untuk pulang ke sana. Di Kuala Medang, saya tinggal bersama Mak Andak. Rumah Mak Andak sangat kecil dan buruk, agak tersorok di dalam hutan dan berhampiran dengan sungai. Saya memilih untuk tinggal bersama Mak Andak, iaitu kakak kepada emak saya yang berumur dalam lingkungan 73 tahun, tiada anak dan suami.
Pada awalnya Mak Andak memiliki sebuah rumah di perkampungan banjir Kuala Medang. Oleh sebab persengketaan keluarga, sikap tamak haloba dan tidak sensitif beberapa orang saudara mara menyebabkan Mak Andak merajuk serta nekad tinggal sendirian di sebuah pondok buruk di tepi sungai. Tapak rumah asal Mak Andak sekarang sudah didirikan rumah batu yang cantik oleh saudara kami yang berjaya mendapatkan rumah Mak Andak. Saya tidak tahu cerita yang sebenar tentang persengketaan tersebut kerana semasa kejadian, saya berada di Sabah. Namun apa pun alasannya, bagi saya adalah zalim mengambil rumah Mak Andak, seorang tua yang kesepian tanpa keluarga serta membiarkan dia tinggal bersendirian di pondok buruk yang daif.
Saya begitu menyayangi Mak Andak, satu-satunya emak saudara sebelah emak yang sangat mengambil berat diri saya. Mungkin kerana ketiadaan anak menyebabkan Mak Andak sangat menyayangi saya. Sewaktu saya di universiti, Mak Andak begitu tulus dan ikhlas memberikan saya duit belanja. Setiap kali pulang ke kampung, saya pastinya akan menjenguk Mak Andak.
Sebelum berpindah ke Felda Jenderak Selatan pada tahun 1976, kami sekeluarga tinggal bersama-sama dengan Mak Andak di rumah Mak Andak. Kemudian kami berpindah ke Tanah Rancangan Felda. Tinggallah Mak Andak seorang diri di rumah tersebut. Walau bagaimanapun kami kerap pulang ke kampung apabila musim hari raya, musim durian atau cuti sekolah. Pada masa itu Mak Andak masih lagi tinggal di perumahan banjir Kuala Medang. Saya akan tidur bersama Mak Andak. Mak Andak akan meraba-raba kepala saya dalam kegelapan malam untuk mencari kutu atau telur kutu.
Apabila Mak Andak keluar bekerja pada waktu pagi di kebun, dia akan pulang dengan sejambak bunga senduduk yang mempunyai buah berwarna hitam. Kekurangan makanan pada waktu itu menyebabkan budak-budak seperti saya akan makan apa-apa sahaja buah-buahan hutan seperti buah senduduk dan buah letup-letup. Pokok senduduk ini tumbuh meliar di kiri kanan jalan kampung. Saya dan adik perempuan saya akan makan buah senduduk ini sehingga lidah kami menjadi warna hitam. Anak-anak saya mungkin tidak mengenali buah senduduk ini apatah lagi ingin memakannya. Tentu sekali mereka tidak sudi kerana buah senduduk akan mengotorkan lidah.
![]() |
Buah Senduduk yang tumbuh meliar jadi makanan zaman budak-budak dulu. |
Mak Andak paling mahir membakar bahulu dan membuat kuih putu. Inilah kuih wajib setiap kali hari raya menjelma. Sehinggalah saya berumur 30an (semasa saya tinggal bersamanya) saya dan Mak Andak masih membakar bahulu dua tiga hari sebelum hari raya).
Walaupun tinggal di rumah yang usang, rumah Mak Andak sentiasa penuh dengan tetamu sewaktu hari raya.Rumah usang Mak Andak di tepi sungai terletak bersebelahan dengan pokok bunga Tanjung yang sangat besar. Setiap kali pokok bunga Tanjung berbunga, harumannya akan tersebar di serata alam. Kami gemar duduk berlonggok di bawah pokok bunga Tanjung pada waktu pagi. Kadang-kadang Mak Andak akan membakar pisang sematu, ubi atau jagung. Di
sekeliling rumah Mak Andak banyak sekali ditanam ubi keladi. Hampir saban hari ada saja orang datang untuk membeli keladi.
Apabila tiba air sungai agak kering dan jernih, kami akan turun ke sungai untuk mencari siput sungai. Siput sungai sangat enak dan sedap dimasak lemak pedas-pedas atau pun dibuat gulai masam tempoyak. Saya gembira dapat tinggal kembali bersama Mak Andak walaupun rumah kami buruk dan jauh tersorok di pinggir sungai.
Apabila kewangan saya agak lapang pada hujung 2004, saya berkira-kira untuk membesarkan rumah Mak Andak di bahagian dapur. Pokok bunga Tanjung yang besar itu terletak betul-betul di tepi dapur rumah. Agak berbahaya juga jika angin bertiup kencang. Oleh itu kami membuat keputusan untuk menebang pokok bunga tanjung itu. Lalu seseorang diupah untuk menebang pokok bunga Tanjung itu.
Lama juga saya dan Mak Andak membakar tunggul pokok bunga Tanjung tersebut. Kadang-kadang kami mengorek sisa-sisa akar bunga Tanjung itu di dalam tanah. Setelah betul-betul rata, kerja-kerja membina rumah batu ala kadar pun bermula. Apabila rumah tersebut siap, saya berpindah ke bilik baru. Mak Andak masih tidur di rumah kayu yang bersambung dengan rumah batu tersebut. Kami tidak lagi menghidu haruman bunga Tanjung
selepas itu.
Penghujung 2005, kesihatan Mak Andak mulai merosot. Pada waktu itu saya telah berkahwin. Sewaktu berpantang kerana melahirkan anak lelaki, Mak Andak sempat menjaga saya. Mak Andak masih sibuk mencari daun-daun kayu supaya saya dapat ‘berserung’ air-air rebusan akar kayu. Mak Andak berumur lebih kurang 75 tahun ketika itu. Mak Andak menemani saya tidur pada waktu malam semasa saya berpantang. Dalam keadaan yang kurang sihat, dia masih mahu memandikan bayi saya, memakaikan barut dan lampin. Kadang-kadang dia menidurkan anak saya. Begitu besar kasih Mak Andak kepada saya. Walaupun dia tidak meluahkan dalam bentuk kata-kata, tetapi saya dapat merasai kasih sayang dan perhatian Mak Andak yang begitu tulus dalam bentuk perlakuannya.
Keadaan Mak Andak semakin tenat. Batuk-batuk Mak Andak yang keras kadangkala kedengaran pada waktu malam. Kadang-kadang sehingga termuntah-muntah. Mak Andak pernah muntah di atas telapak tangan saya. Kami menghantar Mak Andak ke hospital sehinggalah suatu hari Mak Andak dibawa pulang dalam keadaan dia sudah terbaring tidak bergerak. Hanya susu masuk ke dalam badannya melalui salur wayar. Hampir sebulan Mak Andar terbaring kaku dan sudah dipakaikan pampes . Ahli keluarga saya semuanya sudah berkumpul di rumah.
Suatu petang yang bening, di ribaan saya, Mak Andak menghembuskan nafasnya yang terakhir. Mak Andak meninggalkan saya buat selama-lamanya. Saya ralat kerana tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian menjaga Mak Andak ketika dia sakit kerana saya turut berpantang melahirkan anak. Berbulan-bulan saya berasa sedih dan kesal. Terngiang-ngiang di telinga suara Mak Andak menyuruh saya membancuh kopi, membakar roti dan mengambil nasi.
Kini tiada lagi suara Mak Andak. Tiada lagi emak saudara tempat saya mengadu dan melayani saya mencari siput. Air mata Mak Andak yang mengalir di kelopak matanya sewaktu menghembuskan nafas terakhir masih terbayang-bayang di ruang ingatan.
Kematian Mak Andak merupakan detik terpenting yang membawa perubahan dalam hidup. Inilah kali pertama dalam hidup saya menyaksikan orang yang berhadapan dengan sakaratulmaut. Buat kali pertama dalam hidup saya memikirkan secara serius tentang kematian. Perlahan-lahan solat yang diringankan menjadi agenda penting dalam hidup. Walaupun saya solat selama ini, tetapi solat tidak dibuat secara bersungguh-sungguh. Solat tidak menjadi sesuatu yang penting dan utama.
Semuanya bermula selepas kematian Mak Andak. Malah selama ini saya solat tanpa pernah mahu memahami makna dalam setiap bacaan solat. Beransur-ansur saya mempelajari dan cuba untuk memahami maksud Al-Fatihah, sujud, rukuk, doa iftitah, dan sebagainya. Ya Allah, ampunkan hamba-Mu yang lemah dan jahil ini!
Tiada apa-apa lagi yang dapat saya buat untuk membantu Mak Andak selain sentiasa mendoakannya dan melakukan badal haji bagi pihaknya. Semoga Mak Andak aman di sana. Suatu hari saya akan menyusul jua. AL-FATIHAH.
touching to the deepest of my heart
ReplyDelete