SUARA HATIKU
ALAHAI…APABILA MAKCIK BERPOCO-POCO…
( gambar sekadar hiasan )
Saya sangat
meminati sukan bola jaring walaupun saya bukanlah pemain bertaraf profesional.
Saya bermain bola jaring sejak dari zaman sekolah menengah. Kemudian sewaktu di
universiti, saya bermain bola jaring dan bola baling mewakili Desa siswa Aman
dan USM. Sewaktu menyambung Kursus Perguruan Lepasan Ijazah di Maktab Gaya,
Kota Kinabalu, Sabah, saya terpilih mewakili maktab dalam Kejohanan Bola Baling
antara Maktab. Pada masa itu sukan bola jaring dan bola baling diadakan secara
serentak, jadi saya memilih untuk mewakili maktab dalam bola baling.
Apabila dihantar
berkhidmat sebagai guru di sekolah yang pertama, saya masih bermain bola jaring
mewakili daerah Ranau dalam sukan PSKPP. Di daerah Ranaulah saya mendapat ilmu
tentang kejurulatihan dan kepengadilan bola jaring. Terima kasih banyak kepada
Puan Magaret. Ilmu ini sangat berguna dalam bidang pendidikan kerana selain
mengajar di dalam kelas, guru-guru juga perlu melatih pelajar dalam pelbagai
kemahiran kokurikulum yang lain seperti bola jaring, bola sepak
,berpantun,berdebat, dan sebagainya.
Saya mengalami
kecederaan lutut pada tahun 2005 kerana terjatuh ketika bermain bola jaring.
Pada waktu itu saya sudah pulang ke Pahang. Kerana desakan seorang sahabat,
iaitu saudara Hisyamuddin, akhirnya saya setuju menjalani pembedahan lutut
kerana masalah ligamen pada tahun 2008.
Bayangkan hampir
tiga tahun saya menderita sakit lutut kerana takut mendengar perkataan
“pembedahan”. Tambahan pula saya sangat merindui untuk melompat-lompat dalam
padang ketika bermain bola jaring. Saya sangat merindui posisi “centre” dalam
bola jaring. Ya Allah, saya hampir-hampir putus asa kerana nikmat lutut saya
sudah ditarik. Tak pernah terfikir pun dalam hidup selama ini tentang anugerah
lutut yang diberikan oleh Allah.
Pembedahan kecil
itu dilakukan oleh seorang doktor pakar ortopedik iaitu Dr Zamzuri di Hospital
Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. Doktor Zamzuri memberi jaminan bahawa lutut saya
boleh sembuh dalam masa lebih kurang setahun. Tetapi saya tidak sabar. Enam
bulan selepas pembedahan, saya perasan bahawa lutut saya sudah sembuh. Pada
waktu itu demam senaman poco-poco melanda seluruh negara sehingga dianjurkan
satu kejohanan poco-poco di daerah saya. Saya turut menyertai kejohanan
tersebut membawa satu pasukan setelah berlatih saban malam.
Pakaian
makcik-makcik yang menyertai kejohanan poco-poco itu memang menyakitkan mata
termasuklah pakaian pasukan saya. Sebagaimana saya nak termuntah melihat
makcik-makcik ( yang kebanyakan body mereka menggeleber sana-sini ) berpakaian
ala-ala tak sedar diri, begitulah juga orang lain mungkin nak terjeluak melihat
pakaian saya dan makcik-makcik dalam pasukan saya. Astagfirullah!!
Sewaktu menulis bab ini, saya sangat berasa
kesal mengenangkan betapa lalainya saya dalam bab-bab menjaga aurat. Semoga
Allah SWT mengampunkan saya dan semua peserta poco-poco pada waktu itu . Elok
jugalah diharamkan senaman tersebut.
Lutut yang belum pulih sepenuhnya kembali bermasalah sejurus selepas
kejohanan poco-poco itu berakhir. Saya langsung tidak boleh meluruskan atau
membengkokkan kaki. Pada hari Isnin keesokan harinya, saya tidak dapat pergi ke
sekolah, sebaliknya saya terus ke hospital menemui Dr Zamzuri. Lutut saya akan
dibedah kali kedua keesokan harinya. Saya rasa sangat bersalah terhadap suami.
Saya sudah menyusahkannya. Namun suami sabar dan setia menemani.
Amaran Allah
hadir, namun pada masa itu saya gagal memahaminya lagi. Apa yang saya tahu
ialah merengus dan merungut. Astagfirullah…bayangkan jika nyawa saya ditarik
semasa sedang berpoco-poco dalam keadaan berpakaian yang tidak menepati
syariat, ditonton pula oleh ratusan penonton, dan dihakimi oleh hakim lelaki.
Nauzubillah! Namun Allah Maha penyayang…Allah Maha Pengasih…Allah Maha
Pengampun. Allah memberi amaran dengan menarik nikmat lutut saya sekali lagi
supaya saya berfikir…berfikir dan terus
berfikir.
Sekarang
walaupun tidak lagi bermain bola jaring, namun saya masih aktif sebagai
pengadil bola jaring. Saya selalu dipanggil sebagai pengadil apabila ada
pertandingan atau kejohanan di daerah Lipis atau Raub. Saya masih gembira dapat
melihat orang lain bermain bola jaring.
Cuma yang agak
saya kesalkan ( tapi memang tidak berani nak menegur ) , terdapat ramai sahabat
saya dalam bidang ini yang alpa dalam soal berpakaian. Tidak kurang yang agak
keterlaluan dalam bab berpakaian ketika bermain. Ada yang berumur 40an dan
50an, tetapi masih tidak segan silu memakai skirt atau memakai “leging‟ atas
alasan itulah pakaian semasa bermain bola jaring. Ada yang elok-elok memakai
tudung semasa separuh masa pertama permainan, tup-tup apabila masuk masa kedua,
dah togel kepalanya.
Selemah-lemah
iman saya cuma mampu menegur di dalam hati. Semoga Allah SWT memberikan hidayah
kepada rakan-rakan saya yang masih aktif dalam sukan ini supaya kita sama-sama
menjaga aurat. Tentulah sangat merugikan jika kita dilemparkan ke dalam neraka
kerana tidak menjaga aurat ketika bermain bola jaring. Bersukan tidak dilarang
dalam agama, tetapi menutup aurat adalah wajib walaupun ketika bersukan.
Sahabat-sahabat di luar sana, marilah kita berusaha menutup aurat.
Semoga Allah SWT mengampunkan kita semua kerana kelalaian kita menjaga aurat.
Menegur bukan bermakna saya sudah sempurna tetapi bukankah kita dituntut supaya
berpesan-pesan?? Tepuk dada tanyalah iman...As Salam
Astagfirullah.. Ya Allah.. jahil sungguh aku...kisah ngko Tun mengingatkan kembali episod2 jahil yg pernah aku lalui juga ketika dulu..
ReplyDeleteSame je kita .. Dalam usia nii jom lah same2 perbaiki diri.. Kisah silap kau juga sbahagian kisah silam aku.
Delete