Thursday, 2 October 2014

ALAHAI…APABILA MAKCIK BERPOCO-POCO…


 SUARA HATIKU

ALAHAI…APABILA MAKCIK BERPOCO-POCO…

( gambar sekadar hiasan )

Saya sangat meminati sukan bola jaring walaupun saya bukanlah pemain bertaraf profesional. Saya bermain bola jaring sejak dari zaman sekolah menengah. Kemudian sewaktu di universiti, saya bermain bola jaring dan bola baling mewakili Desa siswa Aman dan USM. Sewaktu menyambung Kursus Perguruan Lepasan Ijazah di Maktab Gaya, Kota Kinabalu, Sabah, saya terpilih mewakili maktab dalam Kejohanan Bola Baling antara Maktab. Pada masa itu sukan bola jaring dan bola baling diadakan secara serentak, jadi saya memilih untuk mewakili maktab dalam bola baling.

Apabila dihantar berkhidmat sebagai guru di sekolah yang pertama, saya masih bermain bola jaring mewakili daerah Ranau dalam sukan PSKPP. Di daerah Ranaulah saya mendapat ilmu tentang kejurulatihan dan kepengadilan bola jaring. Terima kasih banyak kepada Puan Magaret. Ilmu ini sangat berguna dalam bidang pendidikan kerana selain mengajar di dalam kelas, guru-guru juga perlu melatih pelajar dalam pelbagai kemahiran kokurikulum yang lain seperti bola jaring, bola sepak ,berpantun,berdebat, dan sebagainya.

Saya mengalami kecederaan lutut pada tahun 2005 kerana terjatuh ketika bermain bola jaring. Pada waktu itu saya sudah pulang ke Pahang. Kerana desakan seorang sahabat, iaitu saudara Hisyamuddin, akhirnya saya setuju menjalani pembedahan lutut kerana masalah ligamen pada tahun 2008.

Bayangkan hampir tiga tahun saya menderita sakit lutut kerana takut mendengar perkataan “pembedahan”. Tambahan pula saya sangat merindui untuk melompat-lompat dalam padang ketika bermain bola jaring. Saya sangat merindui posisi “centre” dalam bola jaring. Ya Allah, saya hampir-hampir putus asa kerana nikmat lutut saya sudah ditarik. Tak pernah terfikir pun dalam hidup selama ini tentang anugerah lutut yang diberikan oleh Allah.

Pembedahan kecil itu dilakukan oleh seorang doktor pakar ortopedik iaitu Dr Zamzuri di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. Doktor Zamzuri memberi jaminan bahawa lutut saya boleh sembuh dalam masa lebih kurang setahun. Tetapi saya tidak sabar. Enam bulan selepas pembedahan, saya perasan bahawa lutut saya sudah sembuh. Pada waktu itu demam senaman poco-poco melanda seluruh negara sehingga dianjurkan satu kejohanan poco-poco di daerah saya. Saya turut menyertai kejohanan tersebut membawa satu pasukan setelah berlatih saban malam.

Pakaian makcik-makcik yang menyertai kejohanan poco-poco itu memang menyakitkan mata termasuklah pakaian pasukan saya. Sebagaimana saya nak termuntah melihat makcik-makcik ( yang kebanyakan body mereka menggeleber sana-sini ) berpakaian ala-ala tak sedar diri, begitulah juga orang lain mungkin nak terjeluak melihat pakaian saya dan makcik-makcik dalam pasukan saya. Astagfirullah!!

 Sewaktu menulis bab ini, saya sangat berasa kesal mengenangkan betapa lalainya saya dalam bab-bab menjaga aurat. Semoga Allah SWT mengampunkan saya dan semua peserta poco-poco pada waktu itu . Elok jugalah diharamkan senaman tersebut.
Lutut yang belum pulih sepenuhnya kembali bermasalah sejurus selepas kejohanan poco-poco itu berakhir. Saya langsung tidak boleh meluruskan atau membengkokkan kaki. Pada hari Isnin keesokan harinya, saya tidak dapat pergi ke sekolah, sebaliknya saya terus ke hospital menemui Dr Zamzuri. Lutut saya akan dibedah kali kedua keesokan harinya. Saya rasa sangat bersalah terhadap suami. Saya sudah menyusahkannya. Namun suami sabar dan setia menemani.

Amaran Allah hadir, namun pada masa itu saya gagal memahaminya lagi. Apa yang saya tahu ialah merengus dan merungut. Astagfirullah…bayangkan jika nyawa saya ditarik semasa sedang berpoco-poco dalam keadaan berpakaian yang tidak menepati syariat, ditonton pula oleh ratusan penonton, dan dihakimi oleh hakim lelaki. Nauzubillah! Namun Allah Maha penyayang…Allah Maha Pengasih…Allah Maha Pengampun. Allah memberi amaran dengan menarik nikmat lutut saya sekali lagi supaya saya berfikir…berfikir  dan terus berfikir.

Sekarang walaupun tidak lagi bermain bola jaring, namun saya masih aktif sebagai pengadil bola jaring. Saya selalu dipanggil sebagai pengadil apabila ada pertandingan atau kejohanan di daerah Lipis atau Raub. Saya masih gembira dapat melihat orang lain bermain bola jaring.

Cuma yang agak saya kesalkan ( tapi memang tidak berani nak menegur ) , terdapat ramai sahabat saya dalam bidang ini yang alpa dalam soal berpakaian. Tidak kurang yang agak keterlaluan dalam bab berpakaian ketika bermain. Ada yang berumur 40an dan 50an, tetapi masih tidak segan silu memakai skirt atau memakai “leging‟ atas alasan itulah pakaian semasa bermain bola jaring. Ada yang elok-elok memakai tudung semasa separuh masa pertama permainan, tup-tup apabila masuk masa kedua, dah togel kepalanya.

Selemah-lemah iman saya cuma mampu menegur di dalam hati. Semoga Allah SWT memberikan hidayah kepada rakan-rakan saya yang masih aktif dalam sukan ini supaya kita sama-sama menjaga aurat. Tentulah sangat merugikan jika kita dilemparkan ke dalam neraka kerana tidak menjaga aurat ketika bermain bola jaring. Bersukan tidak dilarang dalam agama, tetapi menutup aurat adalah wajib walaupun ketika bersukan.

Sahabat-sahabat di luar sana, marilah kita berusaha menutup aurat. Semoga Allah SWT mengampunkan kita semua kerana kelalaian kita menjaga aurat. Menegur bukan bermakna saya sudah sempurna tetapi bukankah kita dituntut supaya berpesan-pesan?? Tepuk dada tanyalah iman...As Salam


2 comments:

  1. Astagfirullah.. Ya Allah.. jahil sungguh aku...kisah ngko Tun mengingatkan kembali episod2 jahil yg pernah aku lalui juga ketika dulu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Same je kita .. Dalam usia nii jom lah same2 perbaiki diri.. Kisah silap kau juga sbahagian kisah silam aku.

      Delete