Monday, 6 October 2014

SUATU PAGI YANG MENGENYANGKAN


SUARA HATIKU

SUATU PAGI YANG MENGENYANGKAN




Pada suatu pagi saya ke kantin sekolah untuk makan pagi bersama seorang rakan. Hanya kami berdua di kantin pada waktu itu. Rakan saya itu pandai bercerita dan agak emosi apabila bercerita hal-hal keagamaan. Selalunya kami sama-sama bergenang air mata apabila berkongsi cerita yang mengesankan nurani. Sewaktu makan dia bertanya saya;

“ Kak, mu nak dengar suatu cerita tak? ”

Sahabat saya ini orang Kelantan. Saya mengangguk-angguk tanda mahu mendengar ceritanya.

“ Suatu ketika Rasulullah SAW bersama sahabat mengebumikan jenazah seorang wanita yang terkenal dengan ibadahnya. ”

Saya meneruskan suapan sambil mendengar. Seperti biasa, nescafe tarik kurang manis sebagai minuman semasa bersarapan.

“ Wanita tersebut sering bangun malam untuk berqiyamulail. Dia tidak pernah meninggalkan solat Tahajud, malah berpuasa sunat setiap Isnin dan Khamis sepanjang hayatnya. Sesudah dikebumikan, para sahabat lalu membuat andaian bahawa wanita itu akan berbahagia kerana syurga bakal menantinya ”

“ Yelah...diakan ahli ibadah, tak pernah meninggalkan solat Tahajud, bukan senang nak bangun malam, besar ganjarannya…”, saya mencelah.

Beliau memandang saya, tersenyum dan menyambung cerita;

“ Rasulullah menggelengkan kepala, para sahabat berasa hairan, lantas Rasulullah memberitahu bahawa wanita tersebut dihumbankan ke neraka ”

Saya terkedu. Wanita yang mengabdikan diri sepanjang hayat untuk beribadah masuk neraka. Apa hal kita ini yang baru-baru hendak berjinak dengan agama. Solat fardu hujung-hujung waktu, solat Tahajud pun buat sekali sekala. Puasa sunat ikut mood. Alahai...usia dah nak masuk Asar.

“ Mu tau ngapa kak? ”

Saya menggeleng-geleng. Rasa hendak tahu meruap dalam perut.

“ Wanita itu memang banyak beribadah pada malam hari, tetapi pada siang hari, dia menggunakan lidahnya untuk menyakiti jiran tetangga. Dia dihumbankan ke neraka kerana mulutnya ”
Kami bertatapan buat seketika berkongsi makna yang sama. Cerita tersebut membawa pengajaran bahawa amalan dan ibadah yang banyak tidak menjamin kita ke syurga sekiranya kita tidak menjaga lidah daripada menuturkan sesuatu yang menyakiti orang lain.

Ada orang sangat berbangga sekiranya dapat membelasah orang lain dengan perkataan-perkataan yang sinis. Kita seronok sangat jika dapat menyindir orang lain, membuka aib orang, mencaci mencela orang dalam laman facebook. Mengumpat menjadi rutin biasa apabila ada kenduri-kendara. Susah betul untuk mengawal jari-jemari daripada menaip perkataan yang berbaur kemarahan kerana kepayahan mendidik hati untuk bersabar..Ya Allah patutlah ganjaran orang-orang yang bersabar sangat besar.. sangat sukar menjadi manusia yang sabar.

Ya Allah! Memang sukar menahan dosa mulut. Banyak orang bergaduh kerana ada saja mami jarum yang mengadu domba dalam sesebuah komuniti. Manusia sering terputus silaturahimnya dengan orang lain kerana mulut. Oleh sebab itulah ada serangkap pantun Melayu yang berbunyi;

“ Kerana pulut, santan binasa,
Kerana mulut badan merana ”

Pada pagi itu, saya mendapat suatu cerita yang sangat menarik dan penuh motivasi daripada seorang sahabat. Saya kira dia ingin menegur saya secara paling berhikmah di samping mengingatkan dirinya sendiri. Itulah manisnya apabila kita dapat hidup berpesan-pesan.

Pada pagi itu juga, bukan sahaja perut saya kenyang, tetapi rohani saya juga terisi. Alhamdulillah! Itulah gunanya sahabat yang baik.

2 comments:

  1. Suatu ketika.. rasa menang jika dpt mbalas sindiran org dgn sinis.. Kini rasa rugi.. sdg belajar2 menegur dgn kasih sayang..

    ReplyDelete
  2. Betul kamanor..tulisan menggambarkan siapa kita..banyaknya kesilapan kita..masih ada masa utk kita perbaiki

    ReplyDelete