SUARA HATIKU
SUATU PAGI YANG MENGENYANGKAN
Pada suatu pagi
saya ke kantin sekolah untuk makan pagi bersama seorang rakan. Hanya kami
berdua di kantin pada waktu itu. Rakan saya itu pandai bercerita dan agak emosi
apabila bercerita hal-hal keagamaan. Selalunya kami sama-sama bergenang air
mata apabila berkongsi cerita yang mengesankan nurani. Sewaktu makan dia
bertanya saya;
“ Kak, mu nak
dengar suatu cerita tak? ”
Sahabat saya ini
orang Kelantan. Saya mengangguk-angguk tanda mahu mendengar ceritanya.
“ Suatu
ketika Rasulullah SAW bersama sahabat mengebumikan jenazah seorang wanita yang
terkenal dengan ibadahnya. ”
Saya meneruskan
suapan sambil mendengar. Seperti biasa, nescafe tarik kurang manis sebagai
minuman semasa bersarapan.
“ Wanita tersebut
sering bangun malam untuk berqiyamulail. Dia tidak pernah meninggalkan solat
Tahajud, malah berpuasa sunat setiap Isnin dan Khamis sepanjang hayatnya.
Sesudah dikebumikan, para sahabat lalu membuat andaian bahawa wanita itu akan
berbahagia kerana syurga bakal menantinya ”
“
Yelah...diakan ahli ibadah, tak pernah meninggalkan solat Tahajud, bukan senang
nak bangun malam, besar ganjarannya…”, saya mencelah.
Beliau memandang
saya, tersenyum dan menyambung cerita;
“ Rasulullah
menggelengkan kepala, para sahabat berasa hairan, lantas Rasulullah memberitahu
bahawa wanita tersebut dihumbankan ke neraka ”
Saya terkedu.
Wanita yang mengabdikan diri sepanjang hayat untuk beribadah masuk neraka. Apa
hal kita ini yang baru-baru hendak berjinak dengan agama. Solat fardu
hujung-hujung waktu, solat Tahajud pun buat sekali sekala. Puasa sunat ikut
mood. Alahai...usia dah nak masuk Asar.
“ Mu tau
ngapa kak? ”
Saya
menggeleng-geleng. Rasa hendak tahu meruap dalam perut.
“ Wanita itu
memang banyak beribadah pada malam hari, tetapi pada siang hari, dia
menggunakan lidahnya untuk menyakiti jiran tetangga. Dia dihumbankan ke neraka
kerana mulutnya ”
Kami bertatapan buat seketika berkongsi makna yang sama. Cerita
tersebut membawa pengajaran bahawa amalan dan ibadah yang banyak tidak menjamin
kita ke syurga sekiranya kita tidak menjaga lidah daripada menuturkan sesuatu
yang menyakiti orang lain.
Ada orang sangat
berbangga sekiranya dapat membelasah orang lain dengan perkataan-perkataan yang
sinis. Kita seronok sangat jika dapat menyindir orang lain, membuka aib orang,
mencaci mencela orang dalam laman facebook. Mengumpat menjadi rutin biasa
apabila ada kenduri-kendara. Susah betul untuk mengawal jari-jemari daripada
menaip perkataan yang berbaur kemarahan kerana kepayahan mendidik hati untuk
bersabar..Ya Allah patutlah ganjaran orang-orang yang bersabar sangat besar..
sangat sukar menjadi manusia yang sabar.
Ya Allah! Memang
sukar menahan dosa mulut. Banyak orang bergaduh kerana ada saja mami jarum yang
mengadu domba dalam sesebuah komuniti. Manusia sering terputus silaturahimnya
dengan orang lain kerana mulut. Oleh sebab itulah ada serangkap pantun Melayu
yang berbunyi;
“ Kerana
pulut, santan binasa,
Kerana mulut
badan merana ”
Pada pagi itu,
saya mendapat suatu cerita yang sangat menarik dan penuh motivasi daripada
seorang sahabat. Saya kira dia ingin menegur saya secara paling berhikmah di
samping mengingatkan dirinya sendiri. Itulah manisnya apabila kita dapat hidup
berpesan-pesan.
Pada pagi itu
juga, bukan sahaja perut saya kenyang, tetapi rohani saya juga terisi.
Alhamdulillah! Itulah gunanya sahabat yang baik.
Suatu ketika.. rasa menang jika dpt mbalas sindiran org dgn sinis.. Kini rasa rugi.. sdg belajar2 menegur dgn kasih sayang..
ReplyDeleteBetul kamanor..tulisan menggambarkan siapa kita..banyaknya kesilapan kita..masih ada masa utk kita perbaiki
ReplyDelete