Sunday, 7 September 2014

ceritera cinta di bumi beijing

SUARA HATIKU

CERITERA CINTA DI BUMI BEIJING.

As salam sahabat-sahabat..cerita ini cerita tahun lepas, namun masih segar dalam ingatan saya…

Saya meniatkan perjalanan ke Beijing ini kerana Allah Taala dan untuk mencari ilmu. Sewaktu solat Subuh di rumah sebelum bertolak ke lapangan terbang, saya berdoa supaya Allah menemukan saya dengan pertemuan-pertemuan yang baik di sepanjang perjalanan dan semasa berada di China. In Sha Allah, saya percaya niat yang baik akan mendapat kebaikan dan keberkatan. Allah SWT menuntut kita bermusafir dengan niat mencari kebaikan.

“Katakanlah (Muhammad) „Berjalanlah kamu di muka bumi lalu lihatlah bagaimana kesudahan kaum yang dahulu. Kebanyakan mereka golongan yang mempersekutukan Allah”
                                                                                                                             (Surah Al-Rum: 42)


Alhamdulillah. Pada 28 Mei 2013 dengan menaiki pesawat Air Asia D7 316, kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Beijing lebih kurang jam 1.05 pagi. Masa di Beijing sama dengan waktu tempatan. Ketibaan ‘group’ kami disambut oleh Mr Micheal selaku ‘tourist guide’. Beliau merupakan anak tempatan Beijing yang boleh bertutur berbahasa Melayu dengan baik walaupun kurang fasih. 

Sering kali juga saya membetulkan penggunaan kosa kata beliau yang tidak sesuai. Sebagai contoh Micheal menyebut ‘membungkus’ mayat ketika menceritakan perihal kerajaan China yang memberikan tanah sebagai tanah perkuburan kepada masyarakat Cina Muslim di sini. Saya memberitahu Micheal bahawa istilah yang sopan dan sesuai ialah mengkafankan jenazah. Beliau nampaknya suka setiap kali saya membetulkan penggunaan bahasa Melayunya dan mengucapkan terima kasih.

Kami menaiki bas yang mempunyai pintu di sebelah kanan ke Hotel Dai Sun Business. Oleh sebab biasa membawa pelancong Melayu, Micheal arif dan prihatin tentang Islam. Beliau memberitahu kami tentang waktu solat, arah kiblat, jenis solat jamak yang perlu dilakukan serta makanan halal yang terdapat di Beijing. Cuaca di Beijing pada waktu ini ialah 21 darjah celcius. Sekarang musim panas dan kering. Waktu siang di sini lebih panjang berbanding waktu malam.

Pukul 5.00 pagi sudah cerah seperti pukul 8.00 di Malaysia. Saya dapati masyarakat Beijing gemar menaiki basikal termasuklah warga emasnya. Motosikal jarang-jarang sekali kelihatan di bandar. Waktu Subuh di sini awal iaitu pada jam 2.50 pagi. Setelah bersarapan pagi di sebuah restoran Muslim bersebelahan hotel, kami menaiki bas menuju ke Dataran Tian An Men. Beijing hujan gerimis pada waktu itu.

Di Beijing kenderaan bergerak di laluan kanan. Pintu bas terletak di sebelah kanan. Pemandu berada di sebelah kiri kenderaan. Saya dapati begitu banyak bunga ros di sepanjang jalan. Bunganya begitu besar dan subur serta berwarna-warni. Maha Suci Allah yang menciptakan tumbuh-tumbuhan yang begitu cantik. Beijing tidak menyesakkan kepala seperti Kuala Lumpur. Bandarnya tenang, bersih dan jarang-jarang sekali kelihatan sampah sarap.

Di Beijing tidak ada gerai-gerai di tepi jalan seperti di negara kita. Menurut Micheal, bagi masyarakat Cina, seumur hidup sekurang-kurangnya sekali mereka mesti berkunjung ke Dataran Tian An Men dan Istana Maharaja. Sebagaimana orang Islam menunaikan haji di Mekah, begitulah lebih kurang.

Kami tiba di Dataran Tian An Men dengan menyaksikan ribuan manusia. Dari sana, kami berjalan kaki menuju ke Istana Maharaja yang memiliki sembilan pintu gerbang. Istana Maharaja ini begitu besar dan memiliki banyak bilik kerana maharaja Cina memiliki 3000gundik. Maharaja dan Permaisuri tidak tidur di bilik yang sama. Mereka memiliki bilik masing-masing. Permaisuri hanya akan dipanggil ke bilik Maharaja apabila diperlukan. Permaisuri bertindak sebagai ketua kepada gundik-gundik maharaja ini.

Pada malam itu sesudah makan malam, kami dibawa oleh Micheal menyaksikan persembahan akrobatik yang hebat dan memukau. Selama ini saya hanya menyaksikan kehebatan persembahan akrobatik menerusi kaca televisyen, tetapi pada malam ini kami bertuah dapat menyaksikannya secara langsung di Dewan Teater. Benarlah kata peribahasa, ‘Jauh perjalanan luas pemandangan’. Pengalaman ini sangat mahal dan tidak ternilai.

Pada hari kedua di Beijing iaitu pada hari Rabu, 29 Mei 2013, kami tiba di Tembok Besar China. Subhanallah! Tembok Besar China memang mengagumkan. Alhamdulillah kerana Allah memberikan saya peluang untuk melihat satu daripada tujuh keajaiban di dunia. Tembok Besar ini sepanjang 6300 km merentasi banjaran-banjaran di Negara China sehinggalah ke sempadan Negara Manchuria. Dibina pada zaman Dinasti Ming dan disambung pula pembinaannya oleh Dinasti Han.

Menurut Micheal beratus-ratus ribu penduduk China mati semasa pembinaan Tembok Besar China. Pengorbanan rakyat Cina membina Tembok Besar pada zaman itu dinikmati oleh generasi Cina sekarang. Tembok Besar China menjadikan Negara Chinasebagai destinasi percutian yang hebat kerana dikunjungi oleh pelbagai bangsa dari seluruh negara. Sewaktu di Istana Maharaja, beberapa orang lelaki Cina Muslim yang memakai kopiah memberikan salam dan berjabat tangan dengan ketua rombongan kami iaitu Haji Asri yang memakai turut memakai kopiah.

Begitulah nilai persaudaraan sesama saudara seagama yang tidak membatasi warna kulit, bangsa, budaya dan merentasi benua. Kegembiraan rombongan kami dikejutkan dengan satu kejadian aneh yang menimpa seorang kawan berbangsa Cina dari Malaysia. Selepas pulang dari melawat Tembok Besar China, Amy (bukan nama sebenar) menjerit, menangis , dan meracau-racau. Kami menjadi panik dan tidak menyangka kejadian seperti itu menimpa ahli rombongan kami. Keadaannya berterusan sehingga masuk hari ketiga.

Kawan baiknya yang berbangsa India iaitu Devi (bukan nama sebenar ) tidak tidur sepanjang malam itu menjaganya. Kasihan juga Dewi kerana dia terpaksa melupakan niatnya untuk membeli-belah dan bergembira, sebaliknya terpaksa menjaga sahabatnya yang sakit.Sepanjang perjalanan di dalam bas Amy menjerit-jerit dan meracau. Kadang-kadang dia menangis. Lucunya, tiba-tiba di dalam bas, Amy menjerit melaungkan ‘Malaysia Boleh’. Kami satu bas ikut serta melaungkan ‘Malaysia Boleh’

Ketua rombongan memutuskan untuk membawa Amy menaiki ambulans ke hospital. Dia perlu diberikan ubat penenang. Dewi turut mengikutnya ke hospital bersama seorang rakan Cina yang lain dan ketua rombongan kami iaitu Cikgu Haji Asri.

Pada hari ketiga, kami berpeluang menunaikan solat Jamak Taqdim Zohor dan Asar di masjid tertua di Beijing. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT. Tidak terlintas di hati saya dapat menunaikan solat di sebuah masjid tua di negara China. Kami juga bertemu  dengan beberapa orang Cina Muslim yang menjaga masjid tersebut.

Menurut Micheal, kebanyakan Muslim di Beijing berasal dari Xinjiang. Wanita-wanita Muslim Xinjiang mempunyai rupa paras yang cantik. Hidung mereka mancung, pipi kemerah-merahan dan mata mereka besar-besar, tidak sepet seperti kebanyakan orang Cina
di Beijing. Hal ini kerana orang Cina di Xinjiang memiliki darah Turki. Perkahwinan campur bangsa Cina dahulu dengan pedagang-pedagang Turki menghasilkan Muslim Cina di Xinjiang.

Kami juga tidak melepaskan peluang melawat Stadium Olimpik di Beijing. Sukan Olilmpik telah diadakan di Beijing pada tahun 2008. Seni bina stadium Olimpik di Beijing memang unik dan cantik. Di stadium Olimpik terdapat sebuah kedai besar yang menjual jade dan batu permata. Berebut-rebutlah ahli rombongan kami membeli gelang mutiara sebagai kenang-kenangan dari Beijing.

Malam terakhir di Beijing kami dibawa ke Restoran Muslim yang menyediakan masakan Padang. Restoran tersebut sangat cantik. Sempat jugalah kami bergambar kenang-kenangan di situ. Selepas makan kami terus ke lapangan Terbang Beijing untuk pulang ke Kuala Lumpur. Sebelum menaiki kapal terbang, rakan-rakan menunaikan solat Jamak Akhir Maghrib dan Isyak di kaki lima lapangan terbang.

Pada pendapat saya sudah sampai masanya pihak berkuasa di Beijing memikirkan untuk membina surau di Lapangan Terbang Beijing memandangkan sudah terlalu ramai Muslim dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan negara-negara lain yang berkunjung ke sini. Sewaktu di lapangan terbang, Amy sahabat Cina kami itu sudah agak tenang  walaupun belum sihat sepenuhnya.

Entah kenapa sewaktu berjalan kaki menuju ke kaunter Imigresen, Amy memanggil nama saya. Saya menoleh ke arahnya dan dia tersenyum lantas kami beriringan sambil berpegangan tangan. Ada satu perasaan yang sukar untuk diceritakanketika dia memegang tangan saya, namun saya membiarkan sahaja Amy menggenggam tangan saya.

Di dalam kapal terbang kami duduk bertiga iaitu saya, Amy dan Dewi. Sewaktu Amy sakit, Dewilah yang bertungkus lumus menjaganya, mengemaskan pakaiannya, menguruskan ‘boarding pas’ dan urusan ‘check in’ bagi pihak Amy. Dia tidur sahaja sepanjang penerbangan. Dewi berasa lega setelah Amy diambil oleh suaminya di lapangan terbang di Kuala Lumpur.

Selain mendapat pengalaman berkunjung ke tempat orang, saya belajar satu perkara penting di Beijing iaitu persahabatan tidak mengira kaum, bangsa dan agama. Saya begitu kagum terhadap Dewi yang begitu mengambil berat kebajikan sahabatnya yang sakit walaupun terpaksa mengorbankan niatnya untuk bergembira. Rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana di Malaysia pelbagai bangsa boleh bersahabat baik tanpa mengenal batas
agama, bangsa dan warna kulit.

Inilah pengalaman saya di Beijing. Syukur kepada Allah yang Maha Penyayang kerana mengabulkan permintaan saya untuk ke Beijing. Alhamdulillah!



2 comments:

  1. berapa hari u pergi beijing? berkenaan dgn solat boleh ke kita buat solat jamak di sana? sebabnya saya berada di sana 6 hari...syarat tak lebih 3 hari baru boleh buat jamak

    ReplyDelete
  2. as salam fikri..rasanya lebih baik u rujuk ustaz..susah jugak nk explain kt sini..

    ReplyDelete