SUARA HATIKU.
31 OGOS..BAGAIMANA KITA MERAIKANNYA???
Subhanallah. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah SWT
kerana kita masih bernafas pada hari ini. Alhamdulillah, Allah SWT masih memberi saya peluang untuk
menulis pada detik ini usai solat Asar di rumah emak di Felda Jenderak Selatan. Bab
ini saya tulis pada tarikh 31 Ogos 2013 sempena hari kemerdekaan negara yang
ke-56.( mmm tahun ni baru boleh share )
Saya rasa terpanggil untuk menulis erti kemerdekaan
menurut pendapat saya sendiri. Sekiranya saya tersilap dan terkurang di mana-mana, maafkan saya wahai
pembaca yang dirahmati Allah SWT. Sesungguhnya ini hanyalah pendapat peribadi saya
sahaja.
31 Ogos 2013 jatuh pada hari Sabtu. Di mana-mana pada
hari ini sambutan hari kemerdekaan negara disambut dengan pelbagai cara. Semasa kami melintasi bandar Raub untuk balik
ke Temerloh menjenguk emak, berlaku sedikit kesesakan ekoran sambutan Hari Kemerdekaan di padang Majlis Daerah Raub.
Sama ada program-program yang dijalankan mampu menyemai semangat cinta akan
negara dalam kalangan masyarakat atau tidak, Allahualam.
Masing-masing mempunyai pendapat dan pandangan
tersendiri. Apa pun pendapat saya secara peribadi sambutan Hari Kemerdekaan ini hendaklah selaras dan
selari dengan tuntutan agama biar apa pun alasannya. Pembaziran wang ringgit, tenaga
dan masa hendaklah dielakkan sama sekali. Apatah lagi jika melibatkan kita terpaksa
melengah-melengahkan solat. Paling ditakuti ada yang sampai tidak solat kerana
menyambut hari kemerdekaan. Nauzubillah.
Apa-apa pun yang hendak dilakukan, letakkan Allah di
tempat tertinggi, barulah program kita mendapat keberkatan dan mudah mencapai objektif. Kadang-kadang
saya terfikir, apa faedahnya anak-anak muda kita berlonggok-longgok menanti
‘count down’, kemudian terjerit-jerit melaungkan ‘merdeka’. Sebaik sahaja tamat
acara menjerit-jerit melaungkan kemerdekaan, aktiviti hiburan yang memualkan disajikan.
Terkinja-kinjalah kita berpesta pada malam kemerdekaan negara. Berduyun-duyunlah
pula Mat Rempit di jalan raya, seolah-olah inilah erti kemerdekaan bagi mereka.
Sedih sekali melihat anak bangsa kita menghayati erti
kemerdekaan. Seolah-olah inilah sahaja yang mampu kita buat untuk mengisi erti
kemerdekaan. Kosongnya! Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada anak bangsa saya. Cintailah
negara kita dengan menjadi Muslim yang baik. Sebagai Muslim sejati kita memang dituntut
mencintai tanah air dan mempertahankan bumi tercinta kita daripada ancaman musuh.
Nabi SAW pun mencintai tanah air. Sebagai contoh Nabi
SAW telah berdoa ketika
meninggalkan Mekah;
“ Ya Allah, jadikan cinta kami kepada Madinah seperti
cinta kami kepadaMekah atau pun lebih dari itu ”
( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Ahmad Syauqi dalam syairnya ada menyebut;
“ Kekalnya bangsa kerana mulianya akhlak. Runtuhnya bangsa kerana runtuhnya akhlak ”
Anak-anak muda tidak akan mampu mencintai negara jika
mereka tidak mencintai diri sendiri. Kita tidak akan mampu mencintai diri sendiri jika kita
tidak mencintai Allah SWT. Mana mungkin remaja kita menyayangi negara kalau mereka hanyut
dengan penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas, sumbang muhrim,
mengagung-agungkan budaya hedonisme, kaki rempit dan sebagainya.
Mustahil pemimpin kita akan mempertahankan negara
daripada ancaman musuh jika mereka sendiri kaki rasuah. Tidak malukah kita menjerit-jerit melaungkan
kemerdekaan, namun dalam masa yang sama kita disogok meluluskan projek-projek yang
bakal menjahanamkan negara. Apa agaknya perasaan kita melaungkan kemerdekaan,
tetapi setiap hari anak zina dibuang di merata-rata tempat dengan cara yang tidak
masuk akal. Adakah ini gambaran bahawa kita menyayangi negara?
Pada hari kemerdekaan ini, saya memohon doa
banyak-banyak kepada Allah SWT. Ya Allah, merdekakanlah diri saya daripada penyakit-penyakit hati, sifat
dendam dan permusuhan, buruk sangka , sifat suka bersengketa, penyakit riak,
takbur, sombong dan ujub. Ya Allah, merdekakanlah saya dengan memiliki rasa
kehambaan yang tinggi kepada-Mu. Medekakanlah saya daripada seksa kubur dan
azab api neraka. Ya Allah, jadikan saya hamba-Mu yang merdeka dengan menutup
auratku sesempurna mungkin, menjaga solat di awal waktu dan sentiasa
menyambungkan silaturahim.
Alhamdulillah,
di kampung saya..hari kemerdekaan disambut dengan penuh pengisian yang
bermakna. Orang kampung bergotong-royong di masjid menyediakan makanan sempena
sambutan ambang kemerdekaan. Pada malam tersebut, ceramah agama diadakan,
kemudian disusuli progam hiburan berlandaskan Islam seperti berqasidah, berselawat
dan marhaban. Ada hikmahnya dugaan besar yang melanda negara.
Sekurang-kurangnya hati kita terjentik untuk kembali mencari keredaan Allah. Di sekolah saya juga program-program yang diadakan sederhana tetapi meriah.
Ya Allah, merdekakan saya dan seluruh rakyat Malaysia
dengan menjadikan kami semua hamba-Mu yang soleh. Lindungilah kami daripada menjadi golongan
yang memecahbelahkan silaturahim antara kami, rakyat Malaysia. Peliharalah
negara kami Malaysia yang tercinta ini daripada segala anasir buruk. Amin.
0 comments:
Post a Comment