KEMBARA KE BUMI TURKI
“..... tidaklah mereka menjelajah di muka bumi supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikir atau telinga yang dapat digunakan untuk mendengar
kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati di dalam
dada ”
( Surah Al Hajj: ayat 46)
Izinkan saya berkongsi kembara saya ke Bumi Turki pada
tahun lepas bersama Cik Wan Fauzilah, Ustaz Raja Suhaimi, Cikgu Khatijah dan
beberapa orang sahabat yang lain.
Alhamdulillah. Allah SWT memakbulkan keinginan saya
untuk menjejakkan kakdan bersujud di bumi Turki. Subhanallah. Hanya kesyukuran yang mampu
saya panjatkan. Keinginan untuk melawat bumi Turki ini muncul selepas saya membaca kisah
Mustafa Kamal Atartuk. Kemudian daripada kisah Atartuk ini saya bertemu pula
dengan nama Sultan Muhamad Al Fateh. Lalu buku berkenaaan tokoh agung Islam itu saya beli
di Kuala Lipis semasa pameran buku.
Melalui kisah Atartuk
juga saya bertemu dengan nama Badiuzzaman Said Nursi, iaitu seorang tokoh ulama yang terkenal dengan perjuangannya menegakkan syiar
Islam di bumi Turki. Selepas membaca berkenaan dengan ketiga-tiga tokoh ini, keinginan
hati begitu meluap-luap untuk menjejakkan kaki ke bumi yang pernah dimakmurkan
oleh Sultan Muhamad Al Fateh ini.
Allah SWT mendengar lintasan hati saya yang bergelora.
Lalu pelawaan GPK Kokurikulum sekolah saya iaitu Cik Wan Fauzilah pada suatu
hari untuk ke Turki pada musim cuti sekolah akhir tahun saya sambut dengan
penuh gembira. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Saya katakan pada Kak
Wan (panggilan saya kepada Cik Wan Fauzilah yang merupakan bos dan sahabat baik
saya) bahawa saya perlu memohon izin daripada suami tercinta dahulu.
Saya ingin mengabadikan kembara ke Turki ini dalam blog
ini sebagai perkonsian dengan sahabat-sahabat di luar sana. Terima kasih jua
kepada Cikgu Khadijah, guru besar SK Keledek yang menguruskan perjalanan kami
ini. Restu suami mengiringi perjalanan saya selama sembilan hari. Saya
tinggalkan anakanak bersama suami, emak, ayah, adik lelaki saya Hamdan dan ibu
mertua saya. Sepanjang di Turki, tidak putus-putus saya berdoa semoga keluarga
saya sentiasa dalam lindungan Allah SWT.
Doa semoga anak-anak saya menjadi anak yang soleh dan
menyejukkan pandangan mata semakin saya lipatgandakan sewaktu di sana. Mungkin disebabkan
kerinduan hati kerana berpisah sembilan hari itu cukup lama rasanya bagi seorang ibu
yang emosi seperi saya. Teringat sebuah hadis nabi berkenaan doa yang begitu mustajab
ketika di rantauan;
“ Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang berpuasa, doa orang dizalimi
dan doa musafir ”
(Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari, Abu Daud & Tarmizi)
Jadi, bagi sahabat-sahabat yang sedang bermusafir,
ambillah peluang menggandakan doa kita. Semoga Allah SWT memakbulkannya. Kami tiba di Lapangan Terbang
Atartuk pada jam 5.45 pagi waktu Turki bersamaan dengan jam 11.45 pagi waktu di
Malaysia. Perbezaan waktu di Turki dengan Malaysia lebih kurang enam jam. Suhu
ketika itu di Istanbul ialah 10 darjah celcius. Di lapangan terbang Atartuk,
kami disambut oleh Mr John, iaitu pemandu pelancong kami di Turki.
“ Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kebaikan dan
takwa dalam perjalanan ini, kami memohon perbuatan yang Engkau
sukai dan Engkau redai. Ya Allah, permudahkan perjalanan kami ini, dekatkan
jaraknya bagi kami ”
Destinasi pertama di Istanbul ialah Topkapi Palace,
Aya Sofea dan Masjid Biru. Aya Sofea merupakan sebuah gereja pada awalnya, kemudian menjadi sebuah
masjid setelah jatuh ke tangan Islam di bawah pemerintahan Sultan Muhamad Al Fateh. Aya Sofea
telah bertukar menjadi muzium pada zaman pemerintahan Mustafa Kamal Atartuk sehinggalah
ke hari ini. Menurut Ustaz Raja Suhaimi, wakil ejen Andalusia, Sultan Muhamad
Al-Fateh pernah bersumpah; barangsiapa yang menukarkan fungsi Aya Sofea menjadi selain
daripada masjid, maka celakalah orang itu.
Topkapi Palace yang selama ini saya jumpai di dalam
buku sahaja, kini tersergam di hadapan mata. Subhanallah. Tidak berhenti-henti ucapan itu di bibir saya
kerana Allah SWT memberikan saya pengalaman mahal berkunjung ke sini. Sempat juga saya
dan Kak Wan minum teh kelat Turki ambil menikmati keindahan Selat Bosphorus.
Kekaguman berbunga riang melihat keindahan bumi Allah di Turki.
Topkapi Palace menyimpan pelbagai ceritera dan
khazanah pada zaman pemerintahan Khalifah Uthmaniyah. Perasaan teruja tidak putus-putus kami sulami
dengan ucapan Subhanallah ketika melihat pelbagai barangan Nabi Muhamad SAW dipamerkan
di sini. Jubah anakanda baginda Siti Fatimah yang sudah lusuh berserta jilbabnya
turut dipamerkan. Antara lain saya berpeluang menatap tongkat Nabi Musa.
Pedang-pedang sahabat Rasulullah seperti Umar Al
Khattab, Sayidina Ali, Khalid Al Walid dan Jaafar bin Abi Talib menambahkan kekaguman saya terhadap
perjuangan mereka menegakkan Islam pada zaman itu. Oh, kerdil rasanya diri! Apalah
sumbangan kita terhadap agama? Tambah-tambah menyedihkan, sudahlah tidak menyumbang terhadap
agama, kita pula yang menjadi dalang dan musuh agama sendiri dengan menjadi umat
Islam yang buruk peribadi. Nauzubillah!
Menurut sahabat saya Ustaz Kamarol Zaman, Islam turut
berkembang melalui pengembaraan. Nabi Muhamad SAW pernah menyuruh para sahabat mengembara
ke Habsyah sebelum berhijrah ke Madinah. Namun kembara saya bukanlah untuk
menyebarkan Islam. Sekadar mencari ilmu, pengalaman hidup, melihat kebesaran Allah
SWT di bumiTurki serta melihat sendiri apa-apa yang saya baca di dalam buku-buku.
Pengalaman ini ingin saya kongsikan bersama pembaca di luar sana. Saya suka sekali berpesan
kepada anak-anak serta anak didik supaya berjalan melihat tempat orang bak kata pepatah;
'Jauh
berjalan, luas pemandangan'.
Selepas makan tengah hari, kami berpeluang menunaikan
solat Jamak Taqdim Zuhur dan Asar di Masjid Biru. Allah Hu Akhbar. Mengalir air mata kesyukuran
tatkala bersujud kepada-MU Ya Allah. Allah Maha Mendengar niat hati saya untuk berkembara
ke bumi Turki. Syukur Alhamdulillah!
Lain padang lain belalang, lain orang lain ragam. Di
mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Ada kelainan cara memasuki masjid di Turki ini. Di setiap
masjid, disediakan plastik untuk mengisi kasut masing-masing. Kasut-kasut ini perlu dibawa
masuk ke dalam masjid oleh para pengunjung. Setiap masjid di Turki menyediakan rak
kasut yang teratur di dalam masjid. Jadi tidak akan kelihatan kasut bersepah-sepah di luar
masjid seperti di negara kita. Mungkin cara ini dapat mengelakkkan masalah kehilangan kasut atau
selipar seperti yang selalu berlaku di tempat kita.
Sedikit kejutan juga apabila saya mendapati cara orang
Turki bersolat. Mereka hanya memakai pakaian biasa sahaja untuk bersolat, tidak seperti wanita Melayu
yang memakai telekung. Kadang-kadang pakaian yang dibawa untuk bersolat agak kurang
sopan menurut pandangan saya. Ada yang bersolat dengan pakaian sukan, skirt yang
mengikut bentuk badan dan seluar yang agak ketat. Kehadiran rombongan kami bersolat memakai
telekung menimbulkan kehairanan kepada wanita-wanita Turki apabila mereka asyik
memerhatikan
kami.
Saya juga sempat memerhatikan seorang wanita Turki
memakai jeans ketat dengan tudung yang tidak sempurna apabila jambulnya jelas berjuntaian serta
mewarnakan kukunya menunaikan solat tanpa bersujud dan berdiri. Memang sangat
menghairankan! Apabila saya mengajukan kehairanan ini kepada salah seorang peserta rombongan kami,
sambil tersenyum dia memberi jawapan; “Syiah kot “
Allah Hualam!
Semasa bersolat di sebuah surau di Bolu (sebuah bandar
di Turki), seorang wanita Turki memegang telekung saya, kemudian meminta telekung itu diberikan
kepadanya. Melalui isyarat tangannya, dia memberitahu bahawa telekung yang saya
pakai sangat cantik. Saya memohon maaf berkali-kali kerana hanya sehelai itulah telekung yang
saya bawa. Saya berasa sedikit kecewa kerana terpaksa menghampakannya. Sewaktu di dalam
bas, saya masih terkenangkan wanita tersebut yang berkali-kali memegang telekung saya.
Usai solat, kami menerukan perjalanan ke Bursa yang
mengambil masa 3 jam perjalanan dari Istanbul. Saya tidak berpeluang menikmati pemandangan di
luar bas kerana kepenatan dan kepala yang sudah mulai berdenyut-denyut menyebabkan saya
tertidur sehinggalah bas kami berada di dalam perut feri untuk ke Bursa. 30 minit
di dalam feri memberikan kami pemandangan luar biasa apabila beratus-ratus burung
Camar berlegar-legar di udara. Burung-burung Camar tersebut berebut-rebut makanan yang
dicampakkan oleh
penumpang-penumpang di dalam feri.
Pada waktu itu saya sangat tidak gembira kerana sakit kepala.
Bunyi-bunyi bising burung Camar itu sudah tidak mampu menarik perhatian saya. Akhirnya
kami sampai di Hotel Tiara. Badan betul-betul terasa penat kerana perjalanan
yang panjang tanpa rehat. Selepas solat Jamak Takhir Maghrib dan Isyak, saya memaksa
diri untuk tidur, namun badan yang penat serta kepala yang sakit menyukarkan mata
untuk terlena. Pada pukul 3.00 pagi, saya dan Kak Wan sudah terbangun. Waktu Malaysia
ketika itu ialah pukul 9.00 pagi. Saya menunaikan solat Tahajud dua rakaat.
Syukur Ya Allah! Tidak putus-putus doa saya buat suami
tercinta, emak dan ayah serta anak-anak yang ditinggalkan. Daku memohon
pertemuan-pertemuan yang baik Ya Allah sepanjang berada di bumi Turki ini. Amin!
Di Bursa, kami dibawa ke ‘Grand Mosque’. Setiap tetamu diberikan cenderahati seutas
tasbih yang diletakkan di dalam masjid. Saya memilih seutas tasbih berwarna
hijau. Pada ketika itu kerja-kerja pembersihan masjid sedang dilakukan oleh
seorang wanita menggunakan jentera pembersih.
Di sebuah bazar di Bursa, saya berjalan-jalan menjamu
mata bersama Kak Wan. Sempat juga saya membeli enam helai sejadah Turki yang berharga 5 Lira
sehelai. Ada suatu peristiwa yang memberitahu saya bahawa sebahagian besar rakyat Turki
begitu menyanjungi bekas presiden mereka iaitu Mustafa Kamal Atartuk. Apabila saya menegur
salah seorang peniaga wanita di bazar itu berkenaan potret Mustafa kamal Atartuk yang
terdapat di kedainya, wanita itu dengan bangganya memberitahu;
“ I loves Atartuk. He is always in my heart”, kata wanita itu tersenyum lebar sambil meletakkan kedua-dua belah tangannya ke dada. Saya dan Kak Wan
saling berpandangan sambil turut tersenyum. Selepas itu rombongan kami dibawa
pula mengunjungi Masjid Hijau (Green Mosque). Di Masjid Hijau, kami menunaikan
solat Jamak Taqdim Zuhur dan Asar. Kemudian perjalanan diteruskan ke Kudasi.
Kami melalui perjalanan yang panjang selama hampir tujuh jam.
Pemandangan ladang anggur dan ladang zaitun seluas
mata memandang. Jeruk buah zaitun sangat terkenal di negara Turki. Apabila
masuk waktu Maghrib, Ustaz Raja Suhaimi berpesan supaya kami semua meniatkan
solat Jamak Akhir Maghrib dan Isyak. Beliau mengalunkan zikir di dalam bas sebagai
halwa telinga. Subhanallah! Air mata mengalir di dalam kegelapan ketika turut berzikir
mengikut alunan rentak Ustaz Raja Suhaimi.Kami singgah di pekan Saljuk untuk membeli pelbagai makanan tempatan
seperti
halwa, coklat, kekacang, kurma, kismis, buah zaitun dan buah tin kering
di sebuah kedai bernama Anatolia Tastes.
Di Kudasi, kami
menginap di sebuah hotel bernama ‘ Alkoclar Otel’. Alhamdulillah, kami
dihidangkan nasi pada malam ini! Hari ketiga di Kudasi, bandar lama Efes atau
Ephesos menerima kunjungan kami. Ephesos adalah kota Yunani kuno yang kemudiannya
menjadi kota Romawi. Kota ini merupakan salah satu daripada tujuh keajaiban
dunia kuno kerana memiliki hasil seni binaan yang hebat. Sebahagian kota ini
akhirnya hancur kerana gempa bumi. Pada era Turki, Ephesos dimasukkan ke dalam
wilayah kekuasaan Ottoman pada tahun 1390. Kota Ephesos kini sedang dibaikpulih
oleh pemerintah Turki bagi tujuan menarik kedatangan pelancong.
Di Leatherium Factory, buat pertama kalinya dalam
hidup saya menyaksikan pertunjukan fesyen secara ‘live’. Masyaallah! Ternganga saya apabila
melihat kecantikan model-model Turki ini memperagakan jaket kulit pelbagai warna dengan
pelbagai aksi yang bisa menggoncangkan iman kaum Adam. Liuk lentuk tubuh model-model
tersebut dengan legging ketat memukau pandangan.
Subhanallah! Indahnya ciptaan Allah Yang Maha Indah.
Namun keindahan itu haram dipamerkan di hadapan bukan muhrim. Separuh hati membisikkan tidak suka.
Separuh hati digaru-garu keseronokan melihat mereka meliuk lentok mempamerkan susuk
tubuh yang sangat indah. Saya tidak tahu bagaimana perasaan ahli rombongan yang
lain yang kebanyakannya guru-guru dan ustaz-ustaz pencen. Ya Allah, ampunkan kami!
Hari keempat di Konya, saya mengenali seorang tokoh
Islam yang hebat di bumi Turki. Ustaz Raja Suhaimi telah memperkenalkan kami dengan nama Mawlana
Jalaludin Muhammad Rumi apabila kami dibawa melawat ke Muzium Mevlana (Maulana).
Mawlana Jalaludin Muhammad Rumi terkenal dengan syair-syairnya yang indah
berkaitan Islam.Beliau jugalah yang mengasaskan tarian Sufi. Makam Mawlana Jalaludin ini
telah disemadikan di sini bersama sahabat-sahabatnya. Janggut Nabi Muhamad SAW
juga turut dipamerkan di muzium ini.
Antara kata-kata Sheikh Jalaludin Ar Rumi yang
terkenal ialah;
“ Orang yang melakukan dosa ibarat menanam duri di
tepi rumahnya. Semasa
kecil, pohon duri itu hanya melukakan si penanamnya
sahaja, tetapi apabila
pohon duri itu semakin membesar, duri itu akan
mengganggu dan melukai
orang yang berjalan melalui kawasan rumah itu, dan
semakin menyusahkan
serta menyakiti penanam duri itu sendiri ”
Dalam perjalanan ke Capadoccia, Ustaz Raja Suhaimi
menceritakan serba-sedikit tentang penaklukan Constantinople oleh Sultan Muhammad Al-Fateh.
Rasulullah SAW pernah bersabda;
“ Kota Constantinople akan jatuh ke tangan Islam.
Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada
di bawah komandonya adalah sebaik-baik pasukan ”
(H.R Ahmad bin Hanbad Al-Musnad)
Selepas lebih 800 ratus hadis itu diucapkan oleh
baginda Nabi SAW, barulah Kota Constantinople berjaya ditakluk oleh pemimpin Islam. Sultan Muhammad
Al-Fateh ini telah dididik oleh seorang ulama terkemuka iaitu Syeikh Syamsuddin Al-Wali. Pada
hari kelima di Cappadoica, saya berpeluang menaiki belon panas dengan harga RM
600.00. Subhanallah. Begitu cantiknya pemandangan Cappaodoica dari udara. Kami melewati
ladang gandum yang sangat luas saujana mata memandang. Bentuk muka buminya yang
berbukit-bukau kelihatan seperi bunga ros dari udara, oleh sebab itulah
dinamakan Rose Valley.
Di Cappadoica, kami juga dibawa melawat Underground
City, kilang karpet, kilang pasu dan kedai barangan kemas daripada batu permata. Di sini, buat
pertama kalinya saya menyaksikan Tarian Sufi yang pada diperkenalkan oleh Mawlana Jalauddin
Muhammad Rumi. Kami tidak dibenarkan mengambil gambar semasa pertunjukan
berlangsung.
Pada hari keenam, kembara kami diteruskan ke Ankara.
Ankara ialah ibu negara Turki menggantikan Istanbul. Perpindahan ibu negara ini berlaku pada
zaman pemerintahan Mustafa Kamal Atartuk. Perjalanan dari Cappaodoica ke Ankara ini
mengambil masa lebih kurang lima jam. Ustaz Raja Suhaimi telah menceritakan serba-sedikit
kisah Mustafa Kamal Atartuk.Oleh sebab Mr. John iaitu pemandu pelancong kami dari Turki dan
Hamzah iaitu pemandu bas mewakili sebahagian besar rakyat Turki yang mengagung-agungkan
Atartuk, maka Ustaz Raja Suhaimi menggunakan kata ganti si polan bagi merujuk
Mustafa Kamal
Atartuk. Sebahagian masyarakat Turki sangat sensitif apabila orang luar
menceritakan keburukan pemimpin mereka itu.
Walau bagaimanapun tidak dapat dinafikan, Mustafa
Kamal Atartuk merupakan sejarah hitam dalam dunia Islam. Atartuk yang berketurunan Yahudi ini
telah banyak membawa perubahan kepada Turki dengan cara membuang Islam daripada
pentadbirannya. Atartuk merupakan bapa sekularisme Turki yang bukan sahaja meruntuhkan
khalifah Islam malah dialah yang membawa Barat ke Turki dengan menolak hukum-hukum
Islam. Kisahnya perlu dijadikan iktibar oleh semua pemimpin Islam khususnya dan umat
Islam umumnya
supaya tidak menjadikan dunia sebagai matlamat hidup dengan
membelakangkan agama. Atartuk telah menukarkan azan ke dalam bahasa Turki. Kebanyakan ulama
dibunuh, malah Al-Quran dalam Bahasa Arab telah dibakar. Banyak masjid diarahkan
ditutup. Wanita-wanita Islam tidak dibenarkan memakai jilbab, manakala orang
lelaki digalakkan memakai topi ala koboi menggantikan serban.
Kubur seorang ulama terkemuka Turki iaitu Sheikh Badiuzzaman
Said Nursi tidak dijumpai sehingga kini kerana dibongkar berkali-kali. Demikianlah
takutnya pemerintah Turki itu kepada ulama walaupun beliau telah meninggal dunia.
Keangkuhan Atartuk itu telah dibalas oleh Allah SWT di atas dunia lagi apabila mayatnya
tidak diterima bumi walaupun cuba ditanam berkali-kali. Ulama-ulama di Turki pada
masa itu mengatakan bahawa bukan sahaja bumi Turki tidak menerima jasad
Atartuk, malah di seluruh bumi Allah pun tidak menerima jasadnya.
Sebagai umat Islam, kita sepatutnya mengambil iktibar
terhadap kisah ini supaya tidak menjadi hamba Allah yang angkuh, bongkak dan sombong. Sehebat mana
pun kita di atas muka bumi ini, namun kita akan mati menghadap Ilahi. Alangkah
dahsyatnya cara kematian Atartuk! Semoga kita semua akan menghadap Ilahi dengan cara
yang baik. Amin! Mayat Mustafa Kamal Atartuk ini telah diawetkan dan dipamerkan di Muzium
Ankara. Sewaktu melalui keranda Atartuk ini, saya sangat berasa gerun dan
insaf. Manusia kelihatan berpusu-pusu datang mengunjungi tempat persemadian
Atartuk, namun tidak kelihatan sesiapa pun bersedih apatah lagi berhajat
menyedekahkah bacaan Al-Fatihah kepadanya sebagaimana yang lazim dibuat apabila
kita mengunjungi pusara orang Islam yang
lain.
Beginilah balasan Allah SWT terhadap hamba-Nya yang
melampaui batas dan bertindak mencabar kekuasaan Allah. Saya benar-benar bersyukur kepada
Allah SWT kerana keinginan untuk melihat sendiri tempat persemadian Mustafa Kamal Atartuk
telah dimakbulkan. Kisah Atartuk ini pasti akan saya kongsikan bersama
anak-anak didik nanti.
“ Sesungguhnya, pada kisah-kisah mereka itu terdapat
pelajaran bagi orangorang
yang mempunyai akal fikiran. Al-Quran itu bukanlah
cerita yang dibuat-buat tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan
menjelaskan segala sesuatu bahkan sebagai petunjuk serta rahmat bagi kaum yang
beriman ”
(Surah Yusuf: ayat 111)
Hari terakhir di Istanbul, kami dibawa ke masjid dan
makam Abu Ayub Al-Ansari. Alhamdulillah, kami berpeluang bersolat Jamak Taqdim Zuhur dan Asar di
masjid ini. Abu Ayub Al-Ansari merupakan seorang sahabat Nabi SAW yang telah gugur
syahid semasa percubaan menakluki Constatinople. Nama sebenar Abu Ayub Al-Ansari ialah
Khalid bin Zaid bin Kulaib dari Bani An-Najjar. Beliau digelarkan Abu Ayub yang
bemaksud ‘bapa kepada Ayub’.
Sewaktu penghijrahan Rasulullah SAW Mekah ke kota
Madinah, unta yang ditunggangi baginda berhenti di halaman rumah Abu Ayub Al-Ansari.
Baginda Rasulullah tinggal di rumah beliau lebih kurang tujuh bulan. Semasa khalifah
Muawiyah di bawah pimpinan Yazid bin Muawiyah melancarkan gerakan untuk menawan
Constantinople, Abu Ayub Al-Ansari turut menyertainya walaupun ketika itu,
beliau sudah terlalu tua dan uzur. Rasulullah SAW pernah bersabda;
“ Seorang lelaki yang soleh akan syahid dan akan
dikuburkan di bawah kubu kota Constantinople ”
(Hadis riwayat Abu Daud)
Abu Ayub Al-Ansari yang telah tua semasa mengikuti
ekspedisi itu telah meninggal dunia. Demikianlah betapa besarnya jiwa seorang pejuang Islam tulen.
Kerdilnya terasa diri ini! Sepanjang berada di Turki, saya mengenali sahabat-sahabat yang
sangat budiman. Antaranya Ustaz Talib, Ustazah Zubaidah, Kak Hasmiza, Cikgu Nik dan isterinya
Kak Habsah, Cikgu Raja dan isterinya Kak Halimatun, Ustaz Raja Suhaimi,
Cikgu Nizam, Wiween, Kak Aisyah dan suaminya Haji Syed yang sungguh romantik.
Saya
berkesempatan mengundang Ustaz Talib menyampaikan ceramah agama bertajuk ‘Alam
Kubur’ buat kaum-kaum ibu di kampung tercinta setelah pulang ke tanah air.
Ura-ura dan perancangan untuk mengadakan ceramah agama itu saya buat semasa di
Turki lagi setelah mengetahui Ustaz Talib selalu mengadakan ceramah buat bakal
haji dan umrah di daerah Lipis. Terima kasih banyak-banyak kepada Ustaz Talib.
Antara lain perkara menarik yang saya dapati di bumi
Turki ini ialah kebersihan tandasnya tidak kira sama ada di lapangan terbang, di stesen minyak, di
kedai makan, di masjid atau di mana-mana sahaja hatta di kawasan ramai orang sekalipun
seperti pasar. Sangat berbeza keadaannya dengan tandas di negara kita yang tidak
perlulah saya ceritakan di ruangan ini.
Syukur Alhamdulillah, banyak sekali pengajaran dan
pengalaman yang dapat saya kutip di bumi Turki ini. Demikianlah secebis catatan perjalanan saya di
bumi Turki inisebagai
perkongsian bersama sahabat pembaca sekalian. Allahuakbar!
Perkongsian yg bagus. Saya berharap akan menjejakkan kaki ke Turki juga suatu hari kelak bersama suami dan anak2. 4 anak lelaki yg patut belajar dan mengambil iktibar ttg sejarah Turki. Insha Allah.
ReplyDelete