PAHALA YANG MENGALIR
Salam Ramadan Al Mubarak kepada sahabat-sahabat yang dikasihi
sekalian..semoga Ramadan kita kali ini jauh lebih baik dari tahun-tahun
sebelumnya. Insha Allah. Kali ini saya ingin
berkongsi kisah tentang sedekah yang ganjarannya berlipat ganda dalam
bulan yang mulia ini. Namun cerita ini cerita tahun lepas. Saya kira sangat
relevan sebagai motivasi untuk kita memperluas amalan bersedekah ini.
Surau di sekolah saya sudah agak daif. Jadi, Unit Bina Insan di sekolah berura-ura
untuk mengumpul dana bagi memasang jubin di lantai surau menggantikan
karpet yang
sudah terlalu usang dan buruk. Walau bagaimanapun perancangan tersebut
tertangguh hampir
dua tahun kerana kekurangan dana. Sumbangan yang dikumpulkan masih belum
mencukupi.
Suatu hari saya berjumpa salah seorang ustazah yang
bertanggung jawab terhadap
projek tersebut dengan niat ingin membantu beliau mencari sumbangan.
Ustazah itu memaklumkan kepada saya bahawa wang di tangan baru ada sebanyak RM
2000.00 sedangkan kos untuk memasang jubin dianggarkan hampir RM 10,000.00.
Nampaknya surau
kami akan kekal dengan karpet yang daif.
Saya memasang azam untuk membantu Unit Bina Sekolah.
Caranya ialah dengmencari sumbangan. Pasti ada di luar sana hamba Allah yang
sudi menghulur bantuan. Pastiada hamba Allah di luar sana yang sudi
menginfakkan hartanya ke jalan Allah. Tentu sangat besar ganjarannya dapat membuat sedekah
jariah yang mana pahalanya akan mengalir
walaupun sesudah kita mati. Saya percaya saya akan menemui seseorang.
Alhamdulillah. Allah SWT memudahkan usaha murni ini.
Niat yang baik pasti akan
disertai pertolongan Allah SWT. Saya bertemu seorang kenalan yang sangat
merendah diri.
Apabila saya menyuarakan kepada beliau bahawa kami sedang mencari
sumbangan untuk
memasang jubin di surau sekolah, dengan rela hati beliau bersetuju. Di
hadapan saya, beliau menelefon seorang lelaki Indonesia yang sangat terkenal di
kawasan kami dengan kerja-kerja memasang jubin.
Benarlah Allah SWT memudahkan segala-galanya. Lelaki
yang dipanggil Rashid itu memberitahu bahawa dia baru sahaja selesai membina
rumah di Kerambit. Oleh itu dia bersetuju untuk memasang jubin di surau sekolah
kami. Rashid berjanji untuk datang mengukur lantai surau keesokan harinya pada
pukul 4.00 petang.
Keesokan hari, seperti yang dijanjikan, Rashid datang
ke surau. Saya sudah menunggunya di sana. Kebetulan saya memang berada di
sekolah kerana menemani para pelajar mengadakan latihan persembahan sempena
Hari Guru peringkat sekolah. Rashid menjalankan kerja-kerja mengukur, mengira
bajet untuk membeli simen, pasir dan jubin. Dia
memberitahu saya anggaran perbelanjaan keseluruhan untuk memasang lantai
jubin tersebut.
Memang kosnya dalam sepuluh ribu seperti yang
dijangka. Kerja-kerja pemasangan jubin pun bermula dengan cepatnya. Dalam masa
tiga hari sahaja, surau kami berwajah baru. Subhanallah! Alangkah mulianya
orang yang sudi menghulur bantuan. Bantuan Allah datang kepada sekolah kami
melalui sumbangan lelaki budiman itu dan kudrat Rashid serta dua tiga orang rakannya.
Syukur kepada Allah SWT yang menggerakkan hati lelaki itu untuk membantu kami.
Lelaki itu meminta saya merahsiakan pertolongannya.
Jadi apabila Ustaz Kamarol Zaman salah seorang AJK dalam Unit Bina Insan meminta
saya memberikan nama lelaki tersebut kerana beliau ingin menghantar surat
penghargaan, saya terpaksa menolak. Biarlah Allah SWT sahaja yang membalas
kebaikannya.
Suatu hari apabila saya dan seorang sahabat iaitu
Ustazah Faeizah bersolat Zuhur di
surau tersebut, dia memberitahu saya;
“ Tun, setiap kali akak pandang jubin ni, akak teringat akan pahala yang mengalir
kepada penyumbangnya. Surau ini sentiasa diguna oleh para pelajar untuk solat,
amali solat, solat hajat dan membaca Yasin setiap hari Jumaat ”
Saya mengangguk-angguk sahaja. Dalam hati saya berbisik; itulah perlunya
menjadi orang yang berduit. Jika harta digunakan untuk jalan Allah, itulah yang
sebaik-baiknya. Semoga akan tampil lebih ramai dermawan di tempat kami. Amin.
0 comments:
Post a Comment