Tuesday, 24 June 2014

suara hati 1 - MATA LEBAH VS MATA LALAT

BAB 1

MATA LEBAH VS MATA LALAT

     Dilahirkan dalam keluarga yang „bagaimana‟ dan menentukan siapa „ibu bapa‟ kita
bukanlah pilihan kita. Segala-galanya ditentukan oleh Yang Maha Berkuasa. Tentulah sama
sekali tidak wajar bagi kita merungut menyalahkan takdir dengan pelbagai persoalan dan
pertanyaan. Mungkin pada suatu ketika saat bergelar remaja kita pernah membuat
pertanyaan-pertanyaan seperti ini?

“Mengapa keluarga aku miskin?”
“Mengapa ayah garang sangat?”
“Mengapa mak ayah aku kolot, tak sekolah tinggi?”
“Mengapa ayah aku pemalas?”
“Mengapa emak aku tak sporting?”
“Mengapa emak bapak aku bercerai-berai?”
“Mengapa ayah aku hisap dadah?”
“Mengapa emak tak pernah ajar kami sembahyang ?”

     dan seribu persoalan tentang „mengapa‟ yang membawa kepada satu tujuan iaitu menyalahkan takdir dan kecenderungan meletakkan kesalahan kepada orang lain. Lalu saya teringat kepada sebuah cerita tentang sepasang anak kembar yang membesar dengan melihat penderitaan ibu mereka akibat dipukul oleh si ayah. Tidak beberapa lama, ayah mereka meninggal dunia kerana ketagihan dadah. Setahun selepas itu Si Ibu pula meninggal dunia kerana kemurungan.

     Namun Si Abang berjaya menjadi manusia hebat dan memiliki empayar perniagaan yang besar. Dia menjadikan kisah ayahnya itu sebagai teladan dan pembakar semangat serta berazam untuk tidak mengulang kisah ayahnya yang malang. Berbeza dengan Si Adik kembar. adiknya menurut jejak langkah ayah yang bergelandangan kerana dadah. Apabila ditanya kedua-dua kembar ini mengapakan mereka menjadi demikian? Kedua-duanya menjawab;

" kerana melihat ayah ”

      Jelaslah kedua-duanya melihat perkara yang sama iaitu melihat ayah yang meninggal dunia kerana dadah. Tetapi si abang melihat dengan mata lebah manakala si adik melihat mata lalat. Si Abang tidak menjadikan kisah si ayah untuk tidak berjaya dalam hidup, manakala si adik menyalahkan ayah lalu membuat keputusan merosakkan kehidupannya dengan dadah. Begitulah dalam kehidupan kebanyakan kita pada hari ini. Begitu banyak orang yang bertindak merosakkan diri sendiri kerana kecenderungan menyalahkan orang lain. Secara jujurnya tanyalah diri kita sendiri. Pernah tak kita buat sesuatu yang sia-sia kepada diri sendiri hanya kerana marahkan orang lain?

     Ironinya apabila ada orang yang berjaya, selalunya kita cenderung mengeluarkan kenyataan yang bersifat negatif misalnya,

“Ala, dia bolehlah hafal Quran, bapa dia Tok Imam...”
“Patutlah dia skor A, emak dia kan cikgu..”
“Memanglah dia boleh berjaya dalam perniagaan, ayah dia kan Dato”
“Aku tak hairanlah dia pandai dalam kelas, cikgu tu kan sayang dia..”
“Sebab itulah dia naik pangkat, dia kan pandai bodek bos..”
“Kedai dia memang ramai pelanggan sebab taukeh tu pakai pelaris.”

     Inilah contoh-contoh kenyataan yang berbaur helah bela diri apabila kita tidak mampu menghafal Quran kerana ayah kita bukan Tok Imam. Kita tidak dapat skor A dalam peperiksaan kerana kita hanya anak penoreh getah. Kita tak pandai sebab cikgu pilih kasih. Kita tidak dinaikkan pangkat kerana tidak pandai mengampu. Keseluruhan hidup kita cenderung untuk menyalahkan orang lain atas kegagalan dan kemunduran kita dalam hidup.

     Sebenarnya itulah sebahagian daripada diri saya sejak zaman remaja. Sifat-sifat negatif menyalahkan keluarga kerana kemiskinan, terpaksa meminjam untuk menyambung pelajaran, duduk di rumah yang buruk, terpaksa bekerja semasa cuti sekolah, kejahilan dalam agama dan pelbagai lagi kelemahan saya sandangkan di bahu keluarga. Saya selalu membuat pertanyaan berupa pertikaian kepada takdir Allah di dalam diari. Di dalam diari saya terdapat begitu banyak soalan “MENGAPA”.

     Sebagai gadis remaja saya malu untuk berkongsi masalah bersama rakan-rakan, sebaliknya saya lebih senang menulis luahan-luahan ketidakpuasan hati di atas kertas. Saya marah kepada emak apabila setiap kali musim perayaan, emak akan menceritakan kepada kawan-kawan yang datang tentang kemiskinan kami. Walaupun rumah saya buruk, anehnya rumah kami sentiasa dikunjungi tetamu sewaktu hari raya.  

     Bagi saya kemiskinan kami tidak perlu diceritakan kepada sesiapa. Orang yang datang bertandang akan tahu kesusahan kami hanya dengan melihat tangga rumah saya yang reput, langsir yang bertahun-tahun tidak berganti, rumah yang tidak bercat, kerusi kayu yang buruk dan kuih-muih yang tidak seberapa di atas meja. Saya malu sebenarnya apabila kawan-kawan datang ke rumah.

     Mungkin tanpa disedari ada dorongan di dalam diri untuk belajar bersungguh-sungguh. Saya perlu mengubah kemiskinan keluarga. Cara yang saya nampak ialah belajar bersungguh dan masuk universiti. Semasa di sekolah rendah, saya tidak nampak keperluan dan kemestian untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Cukuplah boleh membaca, mengira dan menulis. Saya sempat belajar di rumah felda yang dijadikan sekolah kerana pada masa itu bangunan sekolah belum siap. Kami meniarap untuk menulis. Cikgu Osman bin Kechik ialah guru kesayangan saya walaupun beliau tidak begitu fokus kepada saya. Beliaulah guru yang mengajar saya membaca dan menulis. Cikgu Osman menjadi guru kelas kami dari saya darjah satu sehinggalah darjah enam. Semoga Allah SWT membalas jasa baik Cikgu Osman mendidik kami di sekolah rendah.

     Saya juga sangat mengingati Cikgu Lim, guru Bahasa Inggeris yang suka bercerita dan membuat pelbagai aksi lucu apabila bercerita. Saya suka subjek Bahasa Inggeris sehinggalah saya dijadikan contoh yang dahsyat oleh Cikgu Bahasa Inggeris semasa darjah lima.Selepas itu saya langsung mengabaikan subjek tersebut kerana saya sudah tawar hati. Di sekolah menengah nama saya selalu tertulis di papan kenyataan kerana mendapat markah yang baik dalam subjek-subjek tertentu. Saya sangat gembira setiap kali nama saya tercatat pada papan kenyataan. Penghargaan sebegini sebenarnya merangsang pelajar untuk berusaha bersungguh-sungguh dan bersaing. Saya suka subjek Geografi kerana Cikgu Sasuraja (seorang guru India yang sangat handsome) selalu menjadikan saya sebagai contoh yang baik. Jawapan-jawapan saya dalam subjek Geografi selalu dijadikan contoh oleh beliau. Rupa-rupanya pelajar-pelajar memang mendambakan penghargaan daripada guru-guru.

     Saya juga menyukai subjek Sejarah kerana guru Sejarah saya iaitu Cikgu Che Lah sangat baik. Pernah semasa beliau sedang mengajar, saya berura-ura untuk makan nasi lemak di belakang (teruknya saya) bersama sahabat saya bernama Maseha. Belum pun sempat saya menjamah, nasi lemak dalam bungkusan daun pisang itu jatuh lalu bertaburan di atas lantai. Kejadian itu disedari oleh Cikgu Che Lah, tetapi beliau tidak segera memarahi saya yang sudah panik. Sebaliknya beliau dengan lembut menegur,

“Itulah balasannya kalau cikgu mengajar, awak makan kat belakang...lain kali jangan buat macam itu Haitun ya…”

     Teguran yang lembut itu rupa-rupanya sangat mujarab. Selepas itu saya tidak berani buat perangai di dalam kelas. Setiap kali waktu Subjek Sejarah, saya akan fokus. Cikgu Che Lah suka menggunakan teknik latih tubi menjawab soalan-soalan yang lepas. Saya sangat suka apabila tiba waktu perbincangan dan menyemak jawapan. Hasilnya saya dapat A subjek Sejarah semasa SRP ( Sijil Rendah Pelajaran) dan juga SPM.

     Berbalik kepada hal keluarga, paling saya benci dan sedih apabila saudara mara mencanangkan perihal ayah dan kekurangan kami dalam agama. Cerita yang sama berulang-ulang sangat membosankan. Semasa di sekolah rendah, saya belajar sembahyang dengan cara menulis bacaan-bacaan solat seperti doa Iftitah, tahiyat awal, tahiyat akhir, ayat Kursi, ayat-ayat lazim yang mudah di atas kertas. Kemudian saya tampal pada dinding tempat saya sembahyang. Semasa bersolat, mata saya akan memerhatikan ayat-ayat tersebut. Begitulah seterusnya sehinggalah saya mampu solat dengan menghafal ayat-ayat tersebut.

     Walaupun emak buta huruf, tetapi emak menghantar saya belajar mengaji pada waktu malam. Dahulu di Felda Jenderak Selatan, ada sebuah surau yang dibina di atas tapak sebuah rumah yang terbakar. Surau tersebut sangat meriah pada waktu malam dengan budak-budak yang datang mengaji. Ramai pakcik-pakcik di felda itu (sekarang kebanyakannya sudah meninggal dunia,semoga Allah mencucuri rahmat-Nya kepada mereka) yang secara sukarela mengajar kami mengaji. Yang paling saya ingat ialah Pak Mat Resam Jawa.

     Saya mengingati Pak Mat Resam kerana kesukaan beliau menyebut perkataan „goblok‟ kepada pelajar yang berkali-kali mengaji tetapi tidak hafal-hafal. Walau pun begitu dalam ramai-ramai ustaz di surau itu, saya suka mengaji dengan beliau. Saya tidak pernah dipanggil „goblok‟ oleh Pak Mat Resam kerana saya agak pandai mengaji berbanding budak-budak lain. Saya khatam Quran semasa dalam darjah enam. Saya khatam sekali lagi semasa di tingkatan tiga. Kemudian selepas berbelas-belas tahun pula saya khatam Quran semasa berumur 39 tahun. Begitulah sangat menyedihkan. Kesedaran tentang kepentingan mengaji kurang meresapi jiwa.

     Semasa di universiti saya langsung tidak menyentuh al-Quran apatah lagi membacanya. Sedikit pun tidak terlintas untuk menjadikan membaca Al- Quran sebagai satu budaya. Inilah kerugian saya sebagaimana disebut oleh Allah dalam surah Al „Asr ;

    “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar ”

     Saya tidak dibesarkan dalam budaya mencium tangan ibu bapa sebelum ke sekolah. Pada zaman itu saya tidak melihat seorang pun rakan-rakan yang mencium tangan ibu bapa sebelum memasuki sekolah. Tidak seperti sekarang,masyarakat bersikap terbuka. Ibu bapa dan anak-anak boleh berbincang masalah-masalah peribadi. Anak-anak dididik untuk mengucapkan kata-kata sayang secara lisan kepada ibu bapa. Zaman saya dahulu jika anak-anak duduk menempel dekat emak semasa orang tua datang bertandang, memang singgahlah cubitan di paha. Pantang sungguh bagi emak jika anak-anak mendengar orang tua bercakap.

     Begitulah nilai berubah seiring perubahan masa. Dulu-dulu rotan adalah cara mendidik yang popular. Sebaliknya ibu bapa kini disarankan menggunakan kaedah psikologi terhadap anak-anak. Sekarang apabila menjadi ibu kepada lima orang cahaya mata, dengan sedikit kesedaran yang dianugerahkan oleh Allah yang Maha Penyayang, saya cuba menerapkan nilai-nilai murni kepada anak-anak misalnya memberi salam ketika masuk ke dalam rumah, mencium tangan ibu bapa sebelum keluar rumah, solat berjemaah dan mengucapkan terima kasih . Apabila dikenang kesilapan-kesilapan mendidik anak-anak, saya rasa sangat berdosa. Banyak betul kesalahan saya sebagai ibu.

     Masih banyak kekurangan saya sebagai ibu, tetapi ruang masa yang masih diberi oleh Allah ini perlu kita gunakan sebaik mungkin. Tidak ada istilah terlambat untuk mencuba setiap kebaikan. Saya sentiasa berdoa untuk menjadi ibu yang terbaik buat anak-anak. Sedikit demi sedikit saya cuba membuang sikap panas baran, suka merungut dan memarahi anak-anak. Ya Allah, ampunkan kesilapan-kesilapan saya mendidik anak-anak kerana kejahilan dan kealpaan diri.

     Anak-anak ialah pencen kubur yang sangat perlu kita asuh dan didik dengan sebaik mungkin. Saya juga berusaha untuk melakukan solat hajat ( terima kasih kepada Ustazah Suhana yang mengajarkan cara-cara mengerjakan solat hajat kepada kaum-kaum ibu di kampung kami ) supaya anak-anak saya menjadi anak-anak yang menyejukkan mata dan pandangan. Akhirnya setelah berusia 39 tahun, saya sedar saya perlu melihat dengan mata lebah, bukannya mata lalat. Saya perlu melihat setiap kejadian Allah terhadap keluarga saya dengan penuh sangka baik. Saya tidak mahu lagi bertanya ;

“Mengapa ini berlaku?”

Tetapi saya perlu mengubah pertanyaan kepada;

“Bagaimana saya boleh mengubah perkara ini?”

     Kesedaran beragama yang dititipkan oleh Allah kepada saya melalui ejen-ejen seperti doa kaum keluarga, sahabat yang baik, minat membaca dan teguran-teguran berhikmah daripada orang sekeliling akhirnya membawa saya kepada satu kesimpulan.

“SAYA MESTI, MESTI, MESTI MENJADI ANAK YANG SOLEHAH BUAT AYAH DAN EMAK TERCINTA”
Ada satu hadis riwayat Imam Muslim yang bermaksud: Daripada Abu Hurairah R.A : Bahawa Rasulullah SAW telah bersabda;

     "Apabila mati anak Adam , akan terhentilah amalannya kecuali tiga perkara iaitu,sedekah jariah ( wakaf) atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak yang soleh yang mendoakannya.‟

     Marilah kita berterusan mendoakan emak dan ayah setiap kali bersolat, di dalam tahajud atau di mana-mana sahaja. Teringat akan pesanan Dr. Fadzilah Kamsah supaya sentiasa membacakan Al-Fatihah kepada ibu bapa semasa mereka masih hidup lagi. Untuk mengingatkan diri sendiri tentang keperluan mendoakan ibu bapa, saya selalu pula mengingatkan pelajar-pelajar sebelum memulakan pembelajaran supaya menyedekahkan Al-Fatihah kepada kedua-dua ibu bapa mereka. Dengan cara mengingatkan pelajar, saya sebenarnya mengingatkan diri sendiri.

     Wahai pembaca budiman, marilah kita belajar untuk tidak menyalahkan orang lain lagi atas setiap perkara yang berlaku, sebaliknya muhasabahlah diri sendiri. Andai kata di alam barzakh nanti, kita boleh memberi alasan dan menuding jari kepada orang lain atas dosa-dosa yang kita buat, ya silakan?

3 comments:

  1. Bestnye....naik baca yg lain plak.hehe

    ReplyDelete
  2. wahhh tulisan yg sangat best... teruskan menulis kakakku...\
    mesti byk perkongsian yang bermanfaat untuk dikongsi lagi...
    minat menulis kita mungkin sama.. cuma dr segi kualiti mungkin saya ada kurengg sket. (kena belajo lagi)

    ReplyDelete