SUARA HATIKU
IKHLASLAH CIKGU
![]() |
sekadar gambar hiasan |
Assalamualaikum...sahabat-sahabat sekalian...bcerita saya hari ini berkisar tentang guru..mengingatkan diri saya sendiri terutamanya..
Saya kerap juga bertemu dengan Puan Zetty (bukan nama
sebenar) dalam program-program yang melibatkan guru-guru di daerah Lipis. Namun
saya tidaklah mengenali beliau dengan mendalam. Ketika berkursus di PPD Lipis
pada penghujung Oktober 2103, barulah saya berpeluang berbual-bual dan
mengenali Puan Zetty dengan lebih dekat.
Puan Zetty merupakan salah seorang Jurulatih
Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PBS) dan penceramah bagi kursus tersebut.
Kekaguman saya bermula ketika beliau memulakan sesi ceramahnya. Suaranya
lantang dan memukau. Sedikit pun tidak berasa mengantuk atau bosan mendengar
penerangannya berkenaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Sesekali celotehnya disulami lawak jenaka yang
menghiburkan. Dalam keadaan berbadan dua pada umur 44 tahun, energinya begitu
luar biasa. Beliau tampak begitu menyenangi dan ikhlas dengan pekerjaannya.
Senyuman sentiasa terukir sewaktu beliau menyampaikan ceramahnya.
Kursus tersebut berlangsung selama empat hari bermula di
PPD Lipis, kemudiannya bengkel PBS diadakan mengikut subjek. Bengkel PBS Bahasa
Melayu diadakan di PKG Lipis di bawah pimpinan Puan Wan Rosmawati yang sangat
lemah lembut tetapi tegas orangnya. Sewaktu berbengkel, guru-guru Bahasa Melayu
yang dipilih menjadi Jurulatih PBS bagi sekolah masing-masing telah
bertungkus-lumus menyiapkan instrumen pentaksiran. Instrumen pentaksiran ini
dibentangkan oleh guru-guru untuk sebarang penambahbaikan.
Saya berpeluang berbual-bual dengan Puan Zetty sewaktu
rehat makan tengah hari. Pengalaman beliau mengajar anak-anaknya begitu
mengagumkan sehingga saya dan beberapa orang rakan guru pandang memandang
sambil tersenyum. Wah, hebat Puan Zetty ini!
Beliau memiliki tujuh orang anak termasuk bayi dalam
kandungannya. Ketiga-tiga anaknya berjaya meraih 8A dalam peperiksaan PMR. Kini
anak-anaknya itu sedang belajar di luar negara dalam bidang kedoktoran. Menurut
Puan Zetty, sewaktu anak-anaknya di sekolah rendah, dia tidak menekankan sangat
soal pelajaran.
“ Biarlah anak-anak akak seronok menikmati zaman
kanak-kanak, kalau beriya-iya sangat suruh belajar, stres budak-budak nanti ”, kata Puan Zetty kepada kami.
Saya menyoal Puan Zetty tentang rahsia beliau mendidik
anak-anaknya sehingga memperoleh kejayaan dalam akademik. Puan Zetty yang tidak
lokek pengalaman itu memberitahu bahawa beliau bangun pada pukul 4.00 pagi
untuk menemani anak-anaknya mengulang kaji. Malah Puan Zetty membaca semua
subjek bagi peperiksaaan PMR supaya beliau boleh mengajar anak-anaknya sendiri
di rumah.
Jika tidak memahami
sesuatu topik, maka beliau akan mempelajari topik itu daripada guru-guru di
sekolah. Kefahaman tentang sesuatu topik membolehkan beliau mengajar
anak-anaknya dengan yakin. Subhanallah! Hebatnya ibu muda ini. Begitu besar
sekali pengorbanan beliau untuk memastikan anak-anaknya cemerlang dalam bidang
akademik.
Saya serta beberapa orang guru yang lain
mengangguk-anggukkan kepala mengakui hebatnya Puan Zetty mendidik anak-anaknya.
Sebelum berlalu seusai menyudahkan makan tengah hari, Puan Zetty mengingatkan
kami tentang satu perkara yang penting. Kata-kata beliau melekat kuat dalam
ingatan saya sehingga ke hari ini.
“Cikgu-cikgu...yang penting ikhlaslah apabila mendidik
anak orang. In Sha Allah, jika kita ikhlas mendidik anak orang lain, maka orang
lain juga akan ikhlas mendidik dan mengajar anak-anak kita. Kalau kita rasa nak
marah pelajar, marahlah dengan ikhlas kerana Allah, jika rasa nak rotan pun,
rotanlah kerana niat kita nak mendidik pelajar-pelajar.”
Ya! Saya bersetuju betul dengan pandangan Puan Zetty.
Keikhlasan adalah kunci segala-galanya. Apa-apa yang kita buat termasuk beramal
ibadah tidak akan diterima tanpa keikhlasan.
Ya
Allah, terlau banyak kesilapan saya sebagai guru dalam mendidik para pelajar
dan anak-anak. Semoga Allah SWT memberikan saya ruang yang panjang dan cukup
untuk menebus kesalahan saya. Bantulah hamba-Mu ini Ya Allah. Temukanlah daku
dengan pertemuan-pertemuan yang baik dalam usahaku menjadi insan yang soleh.
Amin.
0 comments:
Post a Comment