SUARA HATIKU
CABARAN
UNTUK BERUBAH
![]() |
sekadar gambar hiasan |
As Salam sahabat-sahabat...semoga hari ini lebih baik daripada hari semalam..sebagai seorang manusia yang normal, pastinya kita ingin berubah menjadi insan yang lebih baik.
Apabila kita bertekad untuk berubah menjadi baik dan
hidup beragama, kita mungkin berhadapan dengan beberapa golongan. Antaranya
ialah golongan yang tidak kisah langsung dengan perubahan kita. Ikut suka
engkaulah nak jadi apa. Ada aku kesah! Janji perubahan engkau tu tidak
menjejaskan hidup aku. Jangan kacau hidup aku sudahlah. Kuburkan masing-masing.
Kau nak jadi setan ke nak jadi malaikat, tak ada kena mengena dengan aku.
Golongan kedua ialah orang yang menyokong kita.
Alhamdulillah, dah berubah si polan tu. Semoga dia terus istiqamah dengan
perubahannya ke arah kebaikan. Mari kita bantu orang-orang yang hendak berbuat
kebaikan. Yang tidak betul, kita tegur atau tunjukkan jalan. Yang bengkok, kita
luruskan.
Kita wajib membuka peluang kepada insan-insan yang
ingin bertaubat. Bukannya asyik mengungkit kisah silamnya yang suram dan
berdebu. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, manusia mana yang tidak berbuat
dosa. Allah Maha pengampun. Allah Maha Penyayang. Selagi nyawa dikandung badan,
selagi itulah luasnya rahmat Allah kepada hamba-hambanya yang ingin bertaubat.
Kita juga mungkin akan berdepan dengan golongan yang
menentang kita sama ada dalam bentuk kata-kata dan tindakan. Kebaikan-kebaikan
yang dibuat akan dipandang dengan sinis dan penuh buruk sangka.
“ Eleh...mesti ada apa-apa tu...mesti nak tunjuk hebat
di mata masyarakat.”
Apabila kita mulai melabuhkan tudung, ada suara-suara
sumbang di belakang;
“ Dia kan nak jadi ustazah sekarang...”
Dulu - dulu semasa kita pakai tak senonoh, dialah
tukang kata. Macam-macam dikatanya. Apabila kita berpakaian elok dan mengikut
syariat pun, dialah juga tukang mengata. Pendek kata serba-serbilah tak kena.
Semasa saya mengaji al-Quran semula dengan seorang ustazah di tempat saya
tinggal, ada seorang tua menegur;
“ Huh, dah tua-tua baru nak mengaji ”
Saya cepat beristighfar dalam hati apabila darah
terasa menyirap kerana disindir. Cepat-cepat ustazah tersebut memegang saya
sambil menasihati dengan penuh bijaksana;
“
Sabar...bila kita nak buat sesuatu kebaikan, memang ada cabarannya, umpat keji
manusia itu anggap sahaja sebagai bisikan syaitan ”
Di kampung tempat saya tinggal, ada kelas mengaji bagi
kaum ibu pada hari Isnin, Selasa dan Rabu. Hari Khamis diadakan kelas belajar
marhaban. Manakala hari Jumaat, seorang pegawai polis iaitu Sarjan Latif
menawarkan diri untuk mengajar Tajwid. Semoga Allah SWT memberikan ganjaran
yang setimpal kepada Sarjan Latif kerana kesanggupan beliau meluangkan masa
mengajar tajwid kepada kaum-kaum ibu di sini.
Proses menuntut ilmu itu tidak mengenal usia. Kita
diwajibkan mencari ilmu sehingga ke liang lahad. Umat Islam berkewajipan
menuntut ilmu sehinggakan para hukama menyeru kita supaya menuntut ilmu
sehingga sampai ke liang lahad. Malang sekali ada dalam kalangan masyarakat
yang bukan sahaja tidak mahu mengambil peluang untuk mencari ilmu, malah
mengutuk dan mempersendakan pula orang lain yang bersungguh-sungguh berbuat
amalan. Soal ikhlas atau tidak amalan yang dilakukan oleh orang lain, itu
urusan mereka dengan Allah.
Siapalah kita untuk mengatakan mereka hendak
menunjuk-nunjuk, tidak ikhlas atau sebagainya. Jangan mendahului Allah dengan
mempertikaikan niat seseorang kerana niat seseorang itu hanya Allah sahajalah
yang mengetahuinya. Tambahan pula manusia cenderung sekali menghukum orang lain
kerana kesalahan masa lalunya. Jika orang yang ingin berubah itu pernah
melakukan dosa-dosa besar, maka lagi besarlah prasangka buruk dan
ketidakyakinan kita dengan penghijrahannya. Oleh sebab itulah ramai sekali
penagih dadah sukar kembali kepada masyarakat. Ada pula peribahasa Melayu yang
berbunyi;
“ Anjing, kalau tak dapat makan tahi, hidu pun jadilah
”
Golongan-golongan yang berdosa ini apabila berjumpa
segelintir para ustaz, ustazah dan
golongan yang mengaku alim, mereka bukan sahaja tidak dibimbing untuk kembali
ke pangkal jalan, malah ada yang dihina, diherdik, dihukum dan diaibkan. Kerana
kecewa, mereka kembali bergelumang maksiat dan noda.
Sesetengah golongan yang mengaku ulama di negara kita
hanya pandai menghentam golongan-golongan pendosa ini sahaja, tetapi tindakan
untuk membawa mereka ke pangkal jalan sifar. Sedangkan orang-orang yang
melakukan dosa-dosa besar itu jika mereka bertaubat dan taubatnya diterima,
maka dia adalah lebih baik daripada orang-orang yang kekal dalam dosa-dosa
kecil.
Mentang-mentanglah kita berjubah labuh sampai ke kaki
dan berserban tebal, kita memandang hina golongan pendosa, sedangkan di dalam
hati mereka mungkin terselit perasaan bersalah dan ingin kembali ke pangkal
jalan. Mereka memerlukan seseorang untuk dipimpin kembali menemui kebenaran,
bukannya cemuhan dan penghinaan.
Ibn
‘Ataillah pernah berwasiat;
“Tangisan seorang pendosa lebih Allah cintai daripada
tasbih para wali“
Jadi, awas! Orang yang berdosa besar itu
mungkin lebih tinggi kedudukannya di sisi Allah SWT jika taubatnya diterima
berbanding kita yang selesa dengan keadaan biasa-biasa sahaja. Jangan menghina
pendosa! Jangan berasa aman dan selesa dengan banyaknya amalan. kita. Jangan ujub
dan sombong dengan amalan-amalan yang dilakukan malah memandang rendah kepada
golongan-golongan yang pernah berbuat dosa.
Kata
Sufian At - Tsauri;
“ Lebih baik berdosa berkaitan syahwat berbanding dosa
sombong kerana Adam keluar dari syurga kerana dosa syahwat sedangkan iblis
dihalau dari syurga kerana penyakit sombong “
Kepada golongan-golongan di luar sana yang yang gemar
menghina orang-orang yang berdosa, mungkin cerita ini boleh menginsafkan anda.
( Cerita ini saya petik daripada buku Untuk Kita Pendosa Harapan Selalu Ada
oleh penulis terkemuka iaitu Saudara Hilal Asyraf)
**********************************************************************
Pada suatu hari seorang
alim sedang berjalan lalu terlanggar seorang Nasrani. Semasa dilanggar pemuda
Nasrani itu, si alim ini berkata,
“ Cis ahli neraka! ”
Pemuda Nasrani itu juga marah kerana digelar ahli neraka lantas dia
membalas;
“ Apakah kamu yang memegang neraka? Saksikan bahawasanya aku naik
saksi bahawa Allah itu Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Dia. Dan Muhammad itu
rasulNya ”
Kemudian pemuda Nasrani itu meninggalkan orang alim tadi. Orang alim
itu juga meneruskan perjalanannya. Sampai satu ketika dia melewati sebuah
rumah. Si alim itu terpempan apabila terpandangkan seorang gadis yang begitu
jelita keluar dari rumah tersebut. Kejelitaan gadis itu telah memikat hatinya
dan menjadikan dia mabuk cinta. Si alim segera bertemu dengan ayah perempuan
jelita itu meminta dikahwinkan dengannya. Rupanya keluarga itu adalah keluarga
Nasrani. Ayah kepada perempuan itu berkata;
“ Sekiranya kamu mahu mengahwini anakku, masuklah ke dalam agamaku
ini, dan bekerjalah sebagai penternak khinzirku selama beberapa bulan ”
Oleh sebab hati si alim tadi sudah sawan dengan perempuan Nasrani itu,
tanpa sedar, dia pun bersetuju. Pada suatu ketika, lelaki Nasrani yang sudah
memeluk Islam tadi melalui jalan itu dan terserempak dengan lelaki alim yang
sedang menggembala khinzir.
“ Apa yang sudah berlaku kepada kamu wahai Muslim? ”, tanya lelaki Nasrani yang sudah Muslim itu.
Orang alim itu
menjawab;
“ Kerana aku menghinamu, Allah menukarkan
kedudukan kita ”
Demikianlah secebis kisah sebagai ingatan khusus buat
diri saya sendiri dan sahabat pembaca semua supaya tidak sekali-kali menghina
orang-orang yang melakukan dosa terutama sekali jika pendosa-pendosa itu ingin
bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Tidak perlu diungkit-ungkit kembali
perlakuan silamnya, tetapi berilah jalan, ruang dan peluang kepada mereka untuk
berubah dan mencari jalan pulang.
Allah Maha Pengampun. Sebesar mana pun dosa kita,
marilah kita bersangka baik terhadap Allah yang Maha Penyayang. Allah sentiasa
mendengar rintihan hamba-hamba-Nya. Allah tidak jemu mendengar, kitalah yang
jemu meminta. Bertaubatlah selagi kita masih bernafas.
Saya menyeru diri saya dan saudara seagama di luar
sana, teruskan berbuat kebaikan tanpa mengharapkan pujian manusia. Teruskan
berbuat kebaikan walaupun dihina dan dicemuh manusia. Sesungguhnya kita tidak
mati atau tidak hidup kerana pujian atau celaan manusia.
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT sekiranya saya
dapat membantu anda mencari jalan pulang melalui tulisan yang tidak seberapa
ini. Marilah kita terus berpesan-pesan ke arah kebaikan. Ampun maaf daripada
saya hamba Allah yang kerdil.
“ Hai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu
kepada Allah dengan melakukan taubat yang sebenar-benarnya. Mudah-mudahan Allah
menghapuskan kesalahan kamu “
( Surah Al Tahrim : Ayat 8)
0 comments:
Post a Comment