SUARA HATIKU
PERTEMUAN-PERTEMUAN YANG BAIK
![]() |
gambar sekadar hiasan |
As Salam sahabat-sahabat...semoga hari ini kita mendapat pertemuan-pertemuan yang baik. Insha Allah. Saya ingin berkongsi cerita hari ini sebagai perkongsian kita bersama.
Sewaktu
makan bersama Ustazah Norzilah di kantin sekolah, beliau telah memberikan beberapa
untai nasihat yang sangat berguna kepada saya sebagai panduan. Saya tidak
pernah pun memikirkan tentang perkara tersebut sebelum ini. Malah mendoakan
orang yang tiada kaitan dalam hidup saya tidak pernah menjadi sesuatu yang
difikirkan perlu. Kata Ustazah Norzilah;
“ Tun,
apabila kita berazam untuk mencari kebaikan dalam hidup, berhijrah dan
beriktikad untuk menjalani kehidupan beragama dalam erti kata yang sebenarnya,
mohonlah kepada Allah SWT supaya kita dipertemukan dengan pertemuan - pertemuan
yang baik ”
Secara
jujurnya saya kurang faham dengan penjelasan beliau itu. Apa yang dimaksudkan
dengan pertemuan-pertemuan yang baik itu saya kurang mengerti. Namun
saya tidak mengajukan sebarang pertanyaan kepadanya meminta beliau mengulas
lebih lanjut.
Ustazah
Norzilah ialah seorang rakan sekerja yang pernah menegur cara saya berpakaian
dengan penuh berhikmah dan bijaksana. Saya menyenangi beliau dan pernah
menyuarakan niat hati untuk menutup aurat dengan baik. Beliau menyarankan saya
supaya berubah secara perlahan-lahan, jangan terlalu drastik. Sehinggalah
akhirnya saya benar-benar berasa lega, selesa dan bahagia apabila berpakaian
sewajarnya sebagai wanita Islam. Namun saya selalu mengingatkan diri bahawa
sebaik-baik pakaian ialah pakaian takwa. Jangan cepat sangat perasan bahawa
apabila kita berjilbab, hati kita boleh berkata-kata…”oh, hebatnya saya…”
Umumnya
kita selalu memandang bahawa apabila
seorang wanita itu bertudung labuh dan berjubah, maksudnya dia mesti sempurna
dalam segala hal. Selalu sangat kita dengar;
“ Dia tu
nama saja bertudung, mulut macam longkang ”
“Tak ada
gunanya pakai jubah, bertudung, perangai macam orang tak sekolah”
“ Tutup
aurat pun tak guna juga kalau hati busuk”
Demikianlah
sebahagian tanggapan negatif terhadap wanita yang benar-benar menjaga auratnya.
Kita bersikap tidak adil dalam membuat penilaian. Menutup aurat adalah suatu perkara,
manakala bab hati pula adalah suatu perkara lain. Kalau pun wanita yang menutup
aurat itu bermulut longkang, namun sekurang-kurangnya dia sudah beres bab
menutup auratnya berbanding wanita yang sudahlah tidak menutup aurat, malah
tidak pula menjaga mulutnya. Bukanlah maksud saya wanita yang menutup aurat ini
boleh bercakap sesuka hati pula. Jangan tersalah tafsir!
Alangkah
moleknya kalau wanita-wanita di luar sana (dituju khas buat diri sendiri) boleh
menjaga auratnya dalam masa yang sama boleh menjaga mulut dan hatinya.
Sememangnya pun kita wajib menjaga mulut dan hati. Menutup aurat dengan
sempurna jauh lebih mudah daripada menjaga mulut dan hati. Inilah
sebenar-sebenarnya jihad iaitu berjihad dengan diri sendiri memerangi
penyakit-penyakit hati. Akhirnya nasihat Ustazah Norzilah itu saya mengerti.
Kita tidak boleh berseorangan dalam usaha untuk berubah. Kita memerlukan
orang-orang sekeliling yang boleh memandu ke arah kebaikan. Persekitaran yang
baik sangat-sangat mempengaruhi. Oleh sebab itulah hukama ada berpesan; “ Untuk
melihat siapa kamu, lihatlah siapa sahabat -sahabat di sekeliling kamu ”
Al-Hassan Al-Basri berkata;
“
Perbanyakkanlah sahabat-sahabat mukminmu kerana mereka memiliki syafaat pada
hari kiamat nanti “
Kesimpulannya,
pertemuan-pertemuan yang baik itu saya fahami sebagai persekitaran yang baik, perkerjaan
yang baik, sahabat-sahabat yang baik, rakan sekerja yang baik, suami yang baik,
anak-anak yang baik, jiran tetangga yang baik dan sebagainya. Kita perlu berdoa
tanpa putus mengharapkan pertemuan –pertemuan yang baik dalam usaha kita untuk
menjadi orang yang baik.
Sebagai
orang Islam, matlamat kita yang utama ialah menjadi hamba Allah yang terbaik.
Adalah sangat sukar dan agak mustahil untuk menjadi orang baik atau kekal baik
dalam persekitaran manusia yang kurang baik. Sebagai contoh yang mudah, kita
pasti tidak dapat mengelak mendengar gosip-gosip murahan sekiranya kita
berkawan dengan orang-orang yang gemar berbual-bual tentang perihal manusia.
Berpesan-pesan tidak beerti kita sudah sempurna, tetapi kita sekurang-kurangnya kita sedang berusaha ke arah mencari kesempurnaan. Jadi, janganlah berhenti berdoa supaya kita dipertemukan dengan
pertemuan-pertemuan yang baik yang boleh membantu jihad kita menjadi mukmin
yang bertakwa. In sha Allah.
0 comments:
Post a Comment