Sunday, 9 November 2014

sabar dan solat


SUARA HATIKU

SABAR DAN SOLAT



gambar sekadar hiasan


As Salam sahabat-sahabatku…semoga sihat sejahtera hendaknya. Alhamdulillah Allah masih meminjamkan kita masa, ruang, dan kesempatan untuk terus bernafas di bumi ini. Izinkan saya bercerita tentang kesabaran. Hal ini kerana inilah perjuangan paling panjang dalam hidup saya iaitu mendidik hati dan sikap panas baran saya untuk bersabar.

Pada suatu hari,  secara tidak dirancang saya masuk ke sebuah kedai buku di Kuala Lipis. Apabila terpandang sebuah Al-Quran yang lengkap dengan panduan tajwid berserta terjemahan, saya tergerak hati untuk membelinya. Harga mushaf tersebut kira-kira RM150. Selama ini saya belum pernah membaca terjemahan Al-Quran. Astagfirullah!!

Boleh dikatakan saya ibarat burung belatuk yang tahu bercakap tanpa mengetahui apa-apa. Begitulah saya ! Saya mengaji tanpa ingin mendalami makna, cerita dan maksud tersirat di sebalik bacaan ayat-ayat Al-Quran.

Apabila saya mula membaca terjemahan Al-Baqarah, saya terhenti pada satu ayat di dalam surah tersebut. Saya mengulang-ulang bacaan ayat ke-45 dalam surah Al-Baqarah berserta terjemahannya kerana ayat itu membuatkan saya begitu sedih, sebak terkesan dan mula memikirkan sesuatu. Ayat tersebut saya hafal .

“ Dan mohonlah pertolongan kepada Allah dengan jalan sabar dan mengerjakan solat. Sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk ”
( Surah Al-Baqarah: 45 )

Ayat ini menyebabkan saya kembali memikirkan kesilapan-kesilapan diri. Astaghfirullahaladzim! Apabila kita jahil dan tidak mengetahui, pastinya kita terdorong melakukan sesuatu yang bercanggahan dengan tuntutan agama. Semoga Allah mengampunkan saya dan sesiapa sahaja di luar sana yang selama ini asyik menyalahkan takdir apabila ditimpa kesusahan. Semoga Allah mengampunkan saya dan kita semua yang tidak bersangka baik kepada Allah apabila dilanda musibah.

Setelah bertahun-tahun berlalu, akhirnya baru mata hati saya celik setelah saya merasai hikmah di sebalik setiap kejadian yang berlaku di sepanjang kehidupan. Kesakitan jiwa, hati, minda dan perasaan kerana cinta yang ditolak, kasih sayang dan pengorbanan yang tidak dihargai menyebabkan saya menderita bertahun-tahun. Tetapi rupa-rupanya kerana penolakan tersebut, ada seorang lelaki baik yang menunggu kita di hujung jalan. Kerana penolakan tersebut, kita bertemu dengan insan lain yang jauh lebih baik. Itulah lelaki yang bergelar suami saya sekarang.

Peristiwa ditikam oleh kawan baik sendiri turut menyebabkan saya marah, memendam rasa berbulan-bulan menahan kesakitan , berdendam dan sukar tidur malam. Betapa sia-sianya masa yang berlalu apabila kita gagal memaafkan seseorang kerana kegagalan untuk memaafkan akan memakan diri sendiri. Rupa-rupanya itulah detik yang membawa saya kembali mencari jalan pulang. Saya melupakan kesakitan dengan menghafal ayat-ayat Al - Quran.
Setiap kali kebencian timbul kerana teringatkan perbuatannya, saya cepat-cepat memadam kemarahan itu dengan membaca Al-Quran. Tidak ada ubat mujarab yang lain selain bersabar dan bergantung kepada Allah.

Itulah hikmahnya. Kemarahan, rasa benci, dendam itu berlalu begitu sahaja. Akhirnya saya sedar peristiwa dikhianati oleh kawan membawa saya mencari jalan menenangkan diri sendiri dengan bermuhasabah diri dan mendekati Allah yang Maha Penyayang.

Itulah keindahan pelangi yang saya nikmati setelah mendengar guruh berdentum saban waktu. Saya juga mampu mendoakan sahabat saya itu di dalam sujud. Sesuatu yang tidak pernah saya buat selama saya berkawan dengannya. Pesan seorang sahabat, syaitan akan memasuki ruang hati orang yang dalam kemarahan dan sedang membenci seseorang. Jadi, padamkan kebencian dan kemarahan itu dengan zikir dan menyebut;

“ Saya maafkan dia kerana Allah Taala...saya maafkan dia kerana Allah Taala...saya maafkan dia kerana Allah Taala.”

Demi Allah, sukar sekali mengikis rasa marah, dendam dan sakit hati. Namun itulah jihad.  Apabila kita memaafkan, segunung beban akan terlepas dari dalam kepala. Sebab itulah besar ganjarannya di sisi Allah apabila kita mampu memaafkan orang lain. Buang ego jauh-jauh. Memaafkan orang bererti kita memerdekakan diri sendiri. Tak percaya? Cubalah...

Benarlah kata seorang sahabat yang saya panggil Cik Sham ; (seorang kaunselor yang kini bertugas di IPG Kuala Lipis).

“ Kadang-kadang Allah memperdengarkan kita guruh dan kilat yang berdentum-dentam yang membuatkan kita rasa takut dan terkejut. Namun apabila guruh itu hilang, kita dapat menikmati betapa cantiknya warna pelangi yang muncul ”

Subhanallah. Saya belajar sesuatu. Apabila ditimpa sesuatu musibah, kesusahan, kesedihan atau apa-apa sahaja, Allah SWT hanya meminta kita supaya bersabar, bersolat, melakukan solat-solat sunat dan berserah kepada-Nya. Pertolongan yang paling tepat adalah kepada Allah semata-mata. Setiap ujian yang dikirimkan oleh Allah SWT pastinya untuk menguji tahap keimanan hamba-Nya. Alangkah baiknya jika kita bersangka baik dengan setiap ujian dan dugaan daripada Allah. Dan alangkah beruntungnya kita jika ujian tersebut secara tidak kita sedari mendekatkan kita kepada Allah SWT.

Tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Kebanyakan daripada kita jarang-jarang sekali bersangka baik terhadap Allah apabila ditimpa musibah. Apa yang kita buat apabila ditimpa musibah? Kita bukan sahaja tidak mampu bersabar atau mengerjakan solat atau memohon pertolongan daripada Allah. Sebaliknya kita meraung meratapi diri, meratap menyalahkan takdir, kita menuding jari kepada orang-orang di sekeliling. Musibah menjadikan kita semakin jauh daripada Allah SWT. Nauzubillah!

Paling teruk kita meluahkan kesakitan hati kita kepada orang yang tidak sepatutnya atau di tempat yang tidak sepatutnya. Kita tulis luahan-luahan hati kita, sumpah seranah, caci-maki di facebook yang boleh dibaca oleh orang lain. Apabila luahan atau tulisan kita
disambut pula oleh orang lain, maka bersambung-sambung pulalah komen-komen yang menyemarakkan dosa-dosa kita di dalam faceebook. Kita menjadikan facebook tempat kita mencerca orang lain dengan harapan sakit hati kita akan terlepas. Adakah hakikatnya begitu?

Pernahkah kita menangis berhari-hari kerana ditinggalkan kekasih, putus tunang, bercerai, ditikam oleh kawan baik sendiri, diumpat atau dikeji? Tidak salah kita menangis. Menangislah untuk meredakan kesakitan...menangislah untuk melapangkan dada yang sesak. Namun jangan berlarut-larutan dalam kesedihan.

Alangkah ruginya kita menangis melampau-melampau sehingga merosakkan diri sendiri kerana manusia. Kita menjadi Kassim Selamat yang menangis sehingga buta matanya. Oh sia-sianya! Bertambah malang musibah menyebabkan kita terus terputus rahmat Allah dengan mencabut nyawa sendiri. Nauzubillah!

Alangkah baiknya jika kita menangis di hadapan Allah kerana bermuhasabah diri, menangis kerana mengenangkan dosa-dosa kita yang bertimbun, menangis memikirkan sedikitnya bekalan yang akan kita bawa jika nafas kita terhenti pada hari ini. Menangislah di dunia kerana Allah SWT kerana di akhirat air mata dan tangisan sudah tidak berguna lagi.
Rasulullah SAW pernah memberi ingatan;

“ Orang yang menangis kerana takut kepada Allah tidak akan masuk ke neraka seperti air susu tidak akan kembali ke dada, dan debu berterbangan saat pertempuran di jalan Allah tidak akan menyatu dengan asap api neraka “
( Riwayat al Tirmizi )

Jom bersangka baik terhadap ujian Allah!

“....dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang yang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.”

                                                                                                        ( An Nahl : 96 )

0 comments:

Post a Comment