CERITA DARI KUNDASANG
As Salam sahabat-sahabat semua..sekejap sahaja masa berlalu..pejam celik pejam celik, kita sudah di penghujung tahun..teringat pula saat saya mula-mula mengajar di Ranau. Izinkan saya berkongsi cerita ini sebagai iktibar kita bersama, kebetulan pula saya baru balik dari genting Highlands dan sangat terkesan dengan ceramah berkaitan Hifzuddin iaitu memelihara agama.
Pada tahun 2000, saya mengikuti
Kursus Perguruan Lepasan Ijazah di Maktab Gaya, Kota Kinabalu. Setahun setelah
menamatkan kursus , iaitu pada tahun 2001, saya ditempatkan di SMK Agama Ranau.
Saya menyewa rumah di Kundasang, sebuah pekan kecil yang memiliki pemandangan
yang sangat mengagumkan. Gunung Kinabalu yang merupakan gunung tertinggi di
Malaysia itu letaknya di pekan Kundasang.
Setiap kali membuka jendela,
tersergamlah puncak Gunung Kinabalu berdiri megah. Setiap hari saya berulang
-alik dari Kundasang ke SMK Agama Ranau yang mengambil masa kira-kira 20 minit
perjalanan. Masyarakat di sini menanam sayur-sayuran sebagai pekerjaan utama. Sepanjang berada di Kundasang,
saya mengenali seorang budak perempuan comel berbangsa Dusun berusia dalam
sembilan tahun. Biarlah saya namakannya Hazira sahaja. Orang Dusun comel-comel,
badan mereka kecil-kecil sahaja. Mereka berkulit putih melepak dengan pipi
kemerah-merahan. Hazira agak kerap berkunjung ke rumah saya.
Dia sangat menyukai sambal
lodek petai iaitu sejenis masakan tradisional Lipis, Pahang. Kalau musim petai,
Hazira tanpa segan silu meminta saya memasak sambal lodek petai. Saya memberi
syarat supaya dia menyediakan semua bahan. Saya hanya akan memasaknya sahaja.
Hazira agak rajin. Dia akan mengupas petai, ikan bilis , bawang serta menumbuk
lada.
Latar belakang keluarga Hazira
agak merungsingkan hati saya. Ibunya beragama Islam. Bapanya memeluk Islam
ketika mengahwini ibunya. Setelah adik lelaki Hazira lahir, bapanya berkahwin
kali kedua dengan perempuan beragama Kristian di gereja. Status agama bapanya
sangat meragukan. Ibunya tidak pula merujuk perkara tersebut kepada pihak agama
Sejak berkahwin baru, bapa Hazira jarang-jarang pulang ke Kundasang. Apabila
sesekali pulang, mereka tinggal serumah seperti suami isteri biasa.
Olah sebab agak rapat juga
dengan ibu Hazira, saya pernah menyuarakan kepada ibunya yang saya panggil
Kakak supaya membawa hal tersebut ke pengetahuan pejabat agama Ranau. Pada
pandangan saya, hubungan mereka suami isteri sudah terbatal kerana suaminya
telah kembali ke agama asal apabila dia berkahwin dengan perempuan Kristian di
gereja. Ibu Hazira pernah memberitahu saya bahawa suaminya telah memakai rantai
salib semula apabila pulang ke rumahnya. Justeru saya kuat mengatakan bahawa
suaminya telah kembali ke agama asalnya.
Namun usul saya supaya
mengadukan hal pembubaran perkahwinan mereka itu ke pejabat agama itu ibarat
angin berlalu. Bertahun-tahun lamanya ibu Hazira hanya mendiamkan diri dan
tidak mengambil apa-apa tindakan. Walau bagaimanapun hubungan kami tetap baik.
Anak-anaknya terutama Hazira masih kerap bertandang ke rumah saya.
Kerinduan
saya terhadap masakan Melayu terutamanya kuih-muih tempatan menyebabkan saya
rajin juga membuat kuih, misalnya lepat pisang, kuih Tangguk dan buah Melaka
kukus. Hazira pula memang gemar akan kuih-kuih manis tersebut.
Suatu hari entah bagaimana saya
boleh bertanyakan Hazira soalan berkenaan agama. Mungkin kurang sopan soalan
tersebut bagi seorang budak mentah sepertinya. Namun saya melihat persoalan
agama sangat longgar di sini. Pertanyaan tersebut terluncur begitu sahaja di
mulut saya.
“ Nanti besar, kau mahu ikut ibu atau bapak kau ”, duga saya
kepada Hazira.
“Belum tau bah..Islam
ka..Kristian ka, sama saja bah...mana-mana pun boleh!”, demikianlah jawapan santai dan jujur Hazira yang
membuatkan saya terkedu. Jawapan seorang anak kecil yang memandang semua agama
itu sama. Isu murtad merupakan perkara biasa di sana tetapi tidak diuar-uarkan
oleh pihak berkuasa.
Pada waktu itu, seorang wanita
yang kurang ilmu seperti saya tidak mampu berbuat apa-apa kecuali mengeluh dan
paling teruk saya merasakan perkara tersebut bukan tanggungjawab saya. Saya
kesal kerana tidak langsung cuba berdakwah kepada anak kecil itu. Hal ini
kerana kecetekan saya sendiri dalam mencari kehidupan beragama. Seingat saya,
saya hanya mengajar ibu Hazira menghafal ayat Qursi sahaja. Allah Hu Akhbar.
Sekarang
hampir sebelas tahun saya meninggalkan bumi Kundasang . Hazira kini berusia
lebih kurang 20 tahun. Kami sudah terputus sama sekali sejak saya kembali ke
Pahang. Namun saya berharap dan berdoa agar Hazira masih kekal dalam Nur Islam. Amin.
0 comments:
Post a Comment