Wednesday, 19 November 2014


NIKMAT KETAWA

GAMBAR SEKADAR HIASAN




          As Salam…sibuknya semua cikgu hujung-hujung tahun ini…tapi oleh sebab minat menulis yang terlalu mendalam walaupun untuk tujuan suka-suka, saya tetap meluangkan masa. Dalam keadaan sibuk dan kerja-kerja yang tidak pernah habis, sahabat-sahabat guru di sini  tetap happy..pandai mengurus waktu untuk kerja, dan yang penting waktu untuk makan-makan tetap ada. Yang penting jangan merungut tentang kerja, bak kata kawan lama saya..merungut hanya menambahkan beban kerja.

Jadi, marilah kita meneruskan kerja dalam suasana yang santai-santai. Jangan terlalu stres. Dalam keadaan stress, macam-macam boleh berlaku..tikam-menikam, kurang bertolak-ansur, bajet bagus, melekehkan orang lain semua ada. Semoga kita dijauhi daripada sikap-sikap buruk ini. Alangkah moleknya kita hidup bahu-membahu. Jom teruskan kerja dengan tenang!

Kawan-kawan, kali ini saya nak berkongsi cerita tentang  ‘KETAWA’

Pada tahun 2003, saya bertukar sekolah dari Sabah ke Pahang. Pada waktu itu keadaan ekonomi saya sangat mendukacitakan. Saya sangat-sangat kesempitan duit kerana kejahilan merancang kewangan sewaktu bekerja di Sabah. Saya berulang alik dari rumah ke sekolah yang jaraknya lebih kurang 7 KM dengan menaiki motosikal sahaja.

Saya langsung tiada duit untuk membayar duit muka membeli kereta. Berbulan-bulan lamanya motosikal buruk itu berkhidmat untuk saya sehinggalah saya mampu membeli Kancil terpakai dengan duit pendahuluan sebanyak dua ribu ringgit.

Keadaan kewangan yang agak kritikal memang kadang-kadang memeningkan kepala. Tengah-tengah bulan saja, memang terpaksa mengorek saki-baki duit yang ada dalam bank. Simpanan memang langsung tiada. Saya sangat jahil tentang pengurusan kewangan dan konsep menabung. Duit gaji bukan sahaja tidak sempat ditabung, malah kadang-kadang tidak cukup untuk perbelanjaan sebulan. Namun keluarga tidak mengetahui hal kewangan saya. Saya sememangnya tidak mahu berkongsi masalah duit dengan ibu bapa dan adik-beradik. Susah senang biarlah saya tanggung sendiri.

Tabung Haji Raub adalah tempat saya mengorek saki-baki duit apabila duit gaji tidak cukup menampung perbelanjaan sebulan. Yang lucunya saya tidak berseorangan. Setiap kali ingin mengorek duit, saya akan terjumpa seorang rakan yang sama-sama  ‘sengkek’ di tempat yang sama.

Pada mulanya kami tidak mengendahkan antara satu sama lain, tetapi apabila hampir saban bulan terjumpa, akhirnya kami ketawa berdekah-dekah kerana berkongsi makna yang sama iaitu  ‘sengkek’. Kami akan ketawa kadang-kadang sampai berair mata. Anehnya kami ketawa kerana saling mengetahui bahawa kami sama-sama tak berduit walaupun tidak pernah diterjemahkan melalui kata-kata.

Saya dan dia tidak pernah saling memberitahu tentang masalah kewangan kami. Namun dek kerana kerap sangat berjumpa, akhirnya kami saling faham bahawa kami berkongsi masalah yang sama iaitu masalah kewangan. Dan yang menghubungkan perasaan kami tentang masalah itu ialah ‘ketawa’ apabila terjumpa di Tabung Haji. Biasanya ketawa kami itu akan bersambung pula di sekolah, atau setidak-tidaknya kami tersenyum-senyum kambing.

Sekarang, saya masih lagi bukan dalam golongan orang kaya, tetapi Alhamdulillah, saya tidak memiliki masalah kewangan yang kritikal, begitu juga dengan sahabat saya itu. Kami kerap juga berkongsi pendapat, cerita dan luahan perasaan tetapi bukan tentang kewangan, biasanya lebih kepada falsafah hidup.


Saya bersyukur kerana dalam waktu kesempitan hidup dan saat menghadapi masalah kewangan, kami masih memiliki nikmat ketawa. Tentu malang bagi manusia yang sudah hilang nikmat ketawa dalam hidupnya, malah untuk tersenyum pun sudah tidak mampu lagi.

0 comments:

Post a Comment