Thursday, 23 July 2015

LUPAKAN KEBAIKAN YANG KITA BUAT


LUPAKAN KEBAIKAN YANG KITA BUAT

Salam Lebaran…Maaf Zahir Batin....pada  musim perayaan ini pastinya ramai yang mengambil peluang untuk bersedekah dalam bentuk memberikan duit raya

Saya percaya semua orang Islam tahu perihal bersedekah yang sangat besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Bagi golongan berada, mereka boleh menghulurkan sumbangan dalam bentuk wang ringgit dan harta benda. Bagi golongan yang kurang berkemampuan, kita masih boleh menghulurkan bantuan dalam bentuk tenaga, kudrat, mempermudah urusan orang lain, memberi salam, dan yang paling murah mampu mengukir senyum sebagai satu sedekah. Kata - kata yang baik juga sedekah.

Alangkah malangnya jika untuk tersenyum pun kita tidak mampu sebagai satu jalan bersedekah. Ada orang sangat berkira untuk membantu orang lain. Bukankah tangan yang memberi itu lebih mulia daripada tangan yang menerima?
Hukum alam, apabila kita memberi, kita akan menerima kembali. Sebagai contoh mudah, apabila kita tersenyum, secara logiknya orang akan membalas senyuman kita. Bukankah itu sesuatu yang menggembirakan?

Bagaimana pun apabila membuat kebaikan atau menghulurkan bantuan kepada seseorang, kita perlu cepat-cepat melupakannya. Segelintir manusia apabila melakukan kebaikan mengharapkan penghargaan manusia. Kita mengharapkan orang yang kita bantu akan berbuat baik kepada kita. Keadaan ini menyebabkan kita mudah tersinggung apabila orang yang kita bantu tidak menghargai, tidak mengenang budi atau lebih teruk mengkhianati kita.

Oleh itu kita tidak perlu mengharapkan pengiktirafan manusia. Cukuplah Allah SWT yang membalasnya. Dengan melupakan kebaikan yang kita lakukan, kita melatih diri untuk tidak mengharapkan pujian manusia, tidak meminta jasa baik kita dibalas dan disebut-sebut.
Ini pendapat saya sendiri berdasarkan pengalaman peribadi saya. Sudah tentu ada cerita di sebaliknya. Sebelum itu saya mohon ampun Ya Allah, mohon dijauhkan saya daripada perasaan riak semasa menulis pengalaman ini. Semoga kita semua dapat berkongsi pengajaran dan iktibar.

Penghujung 2012, rezeki suami agak murah dan melimpah ruah. Hal ini menyebabkan kami dapat membantu kaum keluarga dan jiran tetangga yang susah. Kami juga mampu membayar zakat wang simpanan dengan agak banyak. Rezeki yang kami dapat, kami hulurkan kepada kaum keluarga dan saudara mara yang susah. Selama ini saya tidak mampu pun untuk mengeluarkan zakat kecuali zakat pendapatan yang dipotong secara berkala melalui gaji saya sahaja.

Semasa mula-mula berkahwin dengan suami, keadaan hidup kami cukup-cukup makan sahaja. Tengah-tengah bulan selalu sahaja kami mengorek saki-baki duit di bank. Saya selalu mengingatkan suami supaya tidak mempamerkan kesusahan kami kepada keluarga.
Berlagak sahaja seperti kita berduit supaya tidak menyusahkan hati emak dan ayah. Biarlah kami berdua sahaja yang tahu susah senang kami.

Alhamdulillah, kehidupan kami beransur baik. Saya pernah terbaca suatu kata-kata yang sangat indah dan begitu mengesankan ;

“Jangan tunggu kaya untuk bersedekah, tetapi sentiasalah bersedekah supaya kita kaya.‟

Walau bagaimanapun, kekayaan bukanlah bermaksud kaya harta benda dan wang ringgit semata-mata. Kekayaan yang sebenarnya ialah memiliki sifat bersyukur, hati yang tenang dan lapang, nikmat kesihatan, bersifat memaafkan, merasai kelazatan beribadah, kaya dengan kasih sayang ahli keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga kaya (banyak lagi contoh yang lain).

“ Kaya bukanlah diukur dengan dengan banyaknya kemewahan dunia, namun kaya (ghina) ialah kaya hati ”
                                                                                     ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )

Berbalik kepada cerita saya tadi, ada seorang wanita lewat 30an di tempat kami yang sangat susah. Biar saya namakannya Seri (bukan nama sebenar). Anaknya ramai. Saya menyaksikan kesusahannya saban waktu. Pada waktu pagi dia bergegas menghantar anak-anak ke sekolah menaiki motosikal. Kemudian ke pasar berjual sayur-sayuran. Pada waktu petang bekerja pula di kedai makan. Kadang-kadang Seri membuat nasi lemak untuk diletakkan di kedai-kedai tertentu. Dia punya suami yang masih muda dan gagah, tetapi sang suami sering saya lihat bermain terup di belakang rumah kedai.

Sayangnya anak-anak Seri bukanlah jenis yang minat belajar. Anaknya yang sulung yang pernah menjadi anak didik saya sangat kerap ponteng sekolah kerana terpaksa menjaga adik-adik apabila si ibu keluar bekerja. Anak kedua juga kurang motivasi diri dan tidak minat untuk belajar. Anak ketiga kerana kekurangan perhatian keluarga melepaskan kemarahan dengan cara yang salah, misalnya pernah ditangkap kerana memancitkan tayar kereta orang. Anak keempat Seri ialah satu-satunya anak perempuan dan yang bongsu juga lelaki.

Seri adalah antara orang yang ingin saya bantu setakat yang termampu. Pada saya Seri adalah lambang wanita yang gigih dan tidak meminta-minta. Alangkah indahnya dapat menatap mata dan merasai kegembiraan orang susah yang kita bantu. Setiap kali dapat menghulurkan sumbangan, saya berasa begitu gembira walaupun sumbangan itu kecil sahaja.
Teringat pesanan ustazah Faeizah, seorang teman rapat bahawa begitu besarnya pahala jika kita dapat melapangkan dan meringankan beban orang lain. Di sekolah ada beberapa orang guru yang sangat ringan tulang. Suruhlah apa-apa sahaja berkaitan tugasan sekolah. Jawapannya pasti menyenangkan dan melegakan orang yang mendengarnya.

Sebagai manusia yang lemah, walaupun tidaklah mengharapkan sesiapa yang saya bantu untuk membalas pertolongan saya terutamanya Seri, namun jauh di sudut hati saya
berharap mereka akan menghormati saya sekurang-kurangnya. Inilah kesilapan saya sehingga Allah SWT yang Maha Mengetahui menyedarkan saya melalui suatu kejadian kecil.

Pada suatu hari Seri datang ke sekolah kerana perlu berjumpa pihak pentadbir sekolah berkaitan hal anak-anaknya. Kami bertembung di pejabat sekolah. Saya memandang Seri dengan harapan dia akan tersenyum dan menegur saya. Maklumlah saya sudah banyak membantunya, maka pada saya dia haruslah menghormati saya. Sebaliknya apa yang berlaku ialah dia langsung tidak ingin memandang saya, apatah lagi menghulurkan senyuman atau menyapa. Mukanya masam sahaja. Cepat benar hati saya tersinggung, lantas terbit hasutan halus di dalam hati;

“ Huh, kita dah tolong dia, jangankan nak tegur, senyum pun tidak! ”

Saya terus berlalu keluar dari pejabat sekolah dengan perasaan yang sebal. Apabila pulang ke rumah, saya kembali memikirkan perkara tersebut dengan dada yang lapang dan cuba untuk bersangka baik. Mungkin Seri ada masalah sehingga tidak mampu untuk tersenyum, atau mungkin dia malu kerana terpaksa datang ke sekolah disebabkan anaknya yang bermasalah.

Kejadian itu memberi saya pengajaran yang cukup besar. Kesimpulan saya yang tetap ialah saya tidak perlu mengenang, mengungkit-ngungkit kebaikan yang dilakukan, meminta sanjungan manusia, atau mengharapkan balasan meskipun sekadar ucapan terima kasih. Kalau ingin menghulur bantuan, buat sahaja kerana Allah. Itulah kesimpulan yang menenangkan hati saya.

Kesimpulan itu melegakan dan memerdekakan saya. Konsepnya mudah sahaja. Buat baik dan lupakan.

0 comments:

Post a Comment