Monday, 27 July 2015

sindiran yang menginsafkan


 SINDIRAN YANG MENGINSAFKAN




sekadar gambar hiasan


Assalamualaikum wbt…

Saya percaya dalam kehidupan ini kita tentu pernah menyindir dan disindir…agaknya bagaimana kita bereaksi apabila disindir? Sekarang ini budaya sindir-menyindir ini berleluasa dalam laman sosial, kadangkala sehingga menerbitkan sengketa dan permusuhan…

Pada suatu ketika saya bersama beberapa orang AJK Persatuan wanita di kampung telah berjaya menganjurkan satu majlis khatam al-Quran secara agak meriah juga. Maka adalah kawan-kawan yang memuat naik gambar program tersebut ke dalam facebook.

Program yang baik ini mendapat reaksi yang positif daripada beberapa individu. Saya menerima ucapan tahniah dan rangsangan daripada rakan-rakan di facebook. Penghargaan, pujian dan ucapan tahniah tersebut tanpa sedar mungkin menimbulkan sedikit bunga-bunga rasa bangga di dalam jiwa kerana program itu terlaksana dengan baik.

Dalam banyak-banyak penghargaan di laman facebook, tanpa saya duga ada tulisan yang menggugah hati ditujukan kepada saya. Sindiran yang berbunyi lebih kurang begini maksudnya;

“ Buat sesuatu tidak payahlah menunjuk-nunjuk, buatlah dengan ikhlas. ”

Begitulah lebih kurang bunyinya!

Saya tiba-tiba berasa kurang enak dan sebal. Sepanjang hari itu saya mengelamun memikirkan alangkah jahatnya prasangka manusia kepada apa-apa sahaja kebaikan yang ingin dibuat oleh orang lain. Sindiran itu tidak saya sambut. Saya membuat keputusan untuk mendiamkan diri dan bersabar sahaja.

Namun hati tidak dapat ditipu, saya jadi sedih, bingung dan kecewa. Puasa sunat hari Isnin pada hari itu gagal menghalang saya daripada bersedih kerana tersindir. Sebenarnya bukan sekali itu sahaja saya dicemuh apabila berjaya melakukan sesuatu program. Ada sahaja kritikan dan cacian yang kadangkala membuatkan saya berlinangan air mata. Memang saya tak layak jadi pemimpin pun sebab tidak tahan dikritik. Akhirnya saya buat keputusan untuk berhenti berpersatuan dan fokus pada kerjaya dan keluarga sahaja.

Alangkah dangkalnya iman saya. Sewaktu diucap puji-pujian, kata-kata rangsangan, dihulur tahniah, bukan main melambung-melambung hati saya seronok. Apabila ada sedikit celaan , sepanjang hari saya bersedih. Betapa kerdilnya saya jika dibandingkan dengan perjuangan sahabat-sahabat Nabi SAW yang bukan sahaja didera mental, tetapi juga didera secara fizikal dalam usaha memperjuangkan agama Islam. Cepat benar saya tersentuh hanya dengan sedikit cemuhan.
Benarlah maksud ayat kedua dalam surah Al’Ankabut;
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan; “Kami beriman” dan mereka tidak diuji.”
Alahai, setakat kena perli pun tak keruan. Saya berkongsi kesedihan itu dengan memberitahu seorang sahabat. Dia memujuk saya dengan seuntai kata-kata yang sangat mudah, mujarab dan menenangkan;
“ Sayidina Ali sekiranya tidak ada musibah melanda, dia akan menangis bersedih dengan mengatakan bahawa Allah tidak mempedulikan dirinya ”

Saya membalas dengan hanya mengatakan;

“ Kata-kata yang baik daripada seorang sahabat pun suatu sedekah , terima kasih ”

Keesokannya, saya ke sekolah seperti biasa dengan dada yang lapang. Apabila fikiran tenang, saya merenung semula sindiran tersebut. Masya Allah! Lihatlah sesuatu dengan pandangan mata lebah yang sentiasa mencari kebaikan.

Mungkin itu adalah amaran Allah yang disampaikan melalui sindiran teman facebook. Mungkin Allah mengingatkan saya supaya tidak mencanangkan apa-apa jua aktiviti atau program di facebook kerana itu akan mendatangkan sangkaan buruk kepada segelintir manusia.

Mungkin Allah mengingatkan saya supaya tidak terpedaya dengan pujian-pujian yang melalaikan. Mungkin Allah ingin menjauhkan saya daripada perasaan riak dengan penghargaan manusia. Allah mendidik saya supaya tahan lantun (istilah budak-budak sekolah yang bermaksud tabah). Ejen penyampai amaran Allah adalah melalui sindiran manusia.

Tiba-tiba hati saya jadi sejuk. Hilang perasaan sebal dan geram. Saya perlu berterima kasih sebenarnya kepada penulis sindiran itu kerana mesej tersiratnya yang dapat dilihat melalui pandangan mata lebah. Seandainya saya melihat melalui mata lalat, pastilah syaitan ketawa berdekah-dekah kerana mungkin sahaja tangan saya akan membalas sindiran tersebut di laman facebook. Lalu bersahut-sahutanlah komen yang mencipta ruang dosa, fitnah, caci-mencaci, cela-mencela yang tidak membawa kebaikan pun. Benarlah kesabaran itu manis hasilnya.

Kadang-kadang sengaja Allah menjengkelkan kita dengan segala sesuatu supaya tidak ada sesuatu pun yang melupakan kita terhadap Allah SWT. Benarlah sesungguhnya jika ada musuh yang mendekatkan kita kepada Allah, itu adalah lebih baik daripada sahabat yang melalaikan kita daripada Allah SWT.

        Sahabat-sahabat, saya mengambil kesempatan memohon maaf dari hujung rambut sampai ke hujung kaki jika sepanjang pertemuan kita, saya ada tersindir sesiapa sehingga melukakan hati..kadangkala kita ingatkan kita ni bergurau tetapi rupa-rupanya menyakiti dan melukai orang lain. Kalau ada anggaplah saya sangat jahil dan naif ketika itu...


Terima kasih! Sindiran yang menginsafkan.

0 comments:

Post a Comment