ALLAH BAYAR TUNAI
![]() |
Sekadar gambar hiasan |
Maha suci Allah Yang Maha Agung. Segala
puji bagi-Mu. Ampunkan segala dosa-dosaku. Ya Allah, bantulah kami untuk mencari
jalan pulang walaupun secara merangkak dan bertatih-tatih. Semakin mencuba
untuk berada di atas landasan,semakin banyak pula ujian yang kadangkala
menghalang perjalanan. Cepat pula diri terasa lelah.Tidak terfikir ganjaran
menanti di sana, hati sentiasa dipagut was-was, curiga.
Wahai sahabat pembaca sekalian, Allah SWT
mendidik kita melalui pelbagai cara.
Sekiranya kita celik mata hati dan melihat dengan
pandangan mata lebah, kita akan sentiasa
mengambil iktibar atas pengalaman-pengalaman yang
berlaku itu di sekeliling kita. Kadangkadang Allah mendatangkan kita amaran,
tetapi kita gagal memahami isyaratnya kerana mata hati kita terhijab.
Suatu ketika saya mengalami penyakit hati
yang dahsyat kerana gagal memaafkan
kesilapan seorang teman. Hampir bertahun-tahun saya
terperangkap dalam kebencian dan
dendam yang membara. Walau pernah bermaaf-maafaan
dengannya, namun kerana kurang
ikhlas , saya masih belum dapat melupakan sepenuhnya
dendam dan kemarahan yang bersisa.
Tambahan pula kami masih dicucuk oleh insan-insan yang
tidak menyenangi perdamaian antara dua orang saudara seagama. Maka, hubungan
tersebut kembali bermasalah.
Kadang-kadang saya tidak mengerti mengapa
ada orang yang suka melihat pergaduhan orang lain. Besarnya dosa kita kerana
memutuskan silaturahim antara sesama
saudara. Apabila ada dua pihak yang bersengketa, kita
sepatutnya membantu mendamaikan
pihak yang bertelingkah itu, bukannya melaga-lagakan
sehingga mereka saling bermusuhan.
Malah ada pula yang menjadi batu api, mengadu-domba
sehinggakan dua pihak yang sudah
berdamai kembali bermusuhan.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat
ayat kesembilan yang bermaksud;
“ Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara, maka
damaikanlah antara
dua saudara kamu ( yang bertelingkah ) itu; dan
bertakwalah kamu kepada
Allah supaya kamu beroleh rahmat “
Masyaallah! Saya membencinya sehingga untuk
memandang wajahnya pun saya
tidak mampu. Amaran dan peringatan Allah hadir
membuatkan saya menangis teresak-esak
di atas sejadah mengenangkan ego yang menggunung tidak
akan membawa saya ke mana-mana malah akan mencampakkan saya ke neraka jahanam.
Nauzubillahhiminzalik!
Terima kasih Ya Allah! Aku ini pendosa,
namun kasih sayang-Mu melimpah ruah.
Kau titipkan rasa berdosa dalam diriku kerana
memutuskan silaturahim. Kau tiupkan angin
kemaafan untuk meredakan kemarahanku selama
bertahun-tahun.
Suatu hari saya terpandangkan kelibatnya.
Perasaan marah yang meluap-meluap
menyebabkan hadir lintasan yang jahat di hati. Zasss!!!! Terdetik di hati begitu sahaja;
“ Kenapa rumah dia tak terbakar saja. Memang bagus
kalau dia ditimpa kesusahan.”,
Demikianlah tipu daya syaitan yang menyelinap masuk
melalui perasaan amarah, dendam dan sakit hati.
Saya tidak boleh menerima perbuatannya yang
saya kira tidak masuk akal sebagai
seorang kawan. Sepanjang petang itu sebaik ternampak
kelibatnya, saya memang mendoa-doakan agar rumahnya terbakar. Api yang marak
menyala-nyala dalam dada saya yang sememangnya terbakar dengan kemarahan.
Apabila sampai ke rumah, waktu itu sudah
hampir Maghrib. Saya ke halaman
rumah memasang paip air untuk menyiram bunga di
halaman rumah. Masih ada masa
sebelum masuk waktu Maghrib, fikir saya dalam hati.
Sedang asyik melayan kerja, hidung
saya terbau sesuatu yang hangit. Namun saya teruskan
juga menyiram bunga.
Tiba-tiba saya terpandang percikan api di
syiling beranda rumah saya. Hati berdegup
kencang. Wayar elektrik itu di atas syiling rumah saya
mengeluarkan percikan api yang
berdetap-detap bunyinya. Syiling putih itu kelihatan
berasap dan terbakar. Dalam keadaan
separuh panik saya menjerit memanggil suami.
Suami saya pantas menutup suis utama. Rumah
kami gelap buat seketika. Muka saya
pucat lesi. Saya menggigil mengingatkan betapa
berdosanya saya mendoakan kejahatan buat
seseorang yang saya benci. Namun Allah SWT segera
menunjukkan amarannya kepada saya.
Niat buruk saya dibalas segera oleh Allah SWT. Saya
beristighfar berkali-kali. Ya Allah!
Betapa songsangnya pemikiran saya. Ampunkan aku Ya
Allah!
Usai solat Maghrib, seorang jiran datang
membantu. Rupa-rupanya pendawaian
elektrik di syiling itu kurang sempurna . Beliau
menawarkan pertolongan membaiki wayar
elektrik yang kurang kemas itu. Tidak dapat saya
bayangkan andainya rumah saya yang
terbakar petang itu. Ya Allah! Pengajaran dan iktibar
yang cukup besar buat saya. Allah SWT
mengasihi saya dan mahu saya memikirkan sesuatu.
Peristiwa itu perlu saya lihat dengan
pandangan mata lebah iaitu Allah SWT mahu
saya membereskan hubungan yang tidak harmonis dengan
seseorang. Kejadian tersebut saya
kongsikan dengan seorang sahabat dalam perjalanan ke
Kuala Lipis pada suatu hari. Kami
sama-sama bersedih dan bermuhasabah diri.
Namun bersyukur kerana Allah SWT menggerakkan
saya untuk terus berfikir, berfikir dan berfikir. Saya perlu membaiki hubungan
saya dengan manusia di sekeliling saya. Permusuhan, dendam dan kemarahan ini
hanya akan membinasakan hati saya. Paling teruk jika saya membawa penyakit hati
ini sehingga ke mati.
Ramainya orang yang bermusuhan dan tidak
bertegur sapa sehingga mereka meninggal dunia. Tidak boleh dibayangkan kita
menemui Tuhan dalam keadaan hati kita yang berpenyakit membenci saudara seagama
hanya kerana sebab-sebab yang remeh. Nauzubillahhiminzalik.
Hubungan silaturahim itu sangat penting
sehinggakan Nabi SAW bersabda dalam satu
hadis;
“Tidak sempurna iman seseorang kamu
sehingga kamu mengasihi saudara
seagama kamu sebagaimana kamu mengasihi
diri kamu sendiri.”
( Riwayat Muslim dan Bukhari)
Saya perlu berjuang melawan penyakit hati.
Itulah jihad yang paling utama. Saya
perlu membuang penyakit-penyakit hati yang bersarang
dalam hati. Penyakit dendam,
amarah, kemarahan, benci- membenci dan permusuhan.
Saya belajar tentang satu perkara
iaitu kepentingan menjaga silaturahim.
Alhamdulillah, apabila saya mengalah,
memohon kemaafan buat kali kedua dengan
tulus ikhlas pada bulan Ramadan, sudah tidak ada rasa
dendam dan kemarahan. Kami sama-sama saling mengakui kesilapan diri, sama-sama
beriktikad untuk berubah mencari jalan
pulang.
Walaupun masih ada suara-suara sumbang
untuk melaga-lagakan kami, Alhamdulillah saya sudah mampu mendengarnya dengan
senyuman. Sedikit demi sedikit
secara bertatih-tatih saya belajar untuk bersabar,
rasional, menahan kemarahan, membuang
sikap ego dan mengikis sikap panas baran.
Subhanallah. Allah bayar tunai atas niat saya
mendoakan rumahnya terbakar.
0 comments:
Post a Comment