CIPTALAH KEBAHAGIAANMU SENDIRI.
![]() |
gambar hiasan |
As Salam...lamanya meninggalkan penulisan..kesibukan yang menghambat sentiasa tidak seharusnya menjadi alasan. Berbahagialah orang-orang yang pandai mengurusi waktunya. Cerita tentang kebahagian, Pendapat saya carilah kebahagiaan mengikut acuan sendiri asal sahaja tidak melanggar syariat.
Teringat saya akan suatu peristiwa semasa di sekolah menengah atas. Seorang guru saya selalu bercerita soal kebahagiaan. Biarlah saya namakannya Cikgu Razak sahaja. Daripada cara Cikgu Razak bercerita, beliau seolah-olah tidak dapat mentafsirkan apakah maksud kebahagiaan. Beliau selalu bertanya-tanya kepada kami apakah itu kebahagiaan? Cerita-cerita Cikgu Razak tentang kehidupannya membayangkan bahawa beliau tidak bahagia. Beliau juga kerap mengeluh, kadang-kadang seolah-olah berputus asa.
Pada usia 18 tahun saya sebenarnya masih mentah untuk membahaskan soal kebahagiaan, tambah-tambah pada waktu itu saya belum dapat menangkap dengan jelas maksud cikgu Razak. Bicara-bicara beliau tentang isu kebahagiaan tidak saya ambil serius.Maksud bahagia bagi saya pada ketika itu adalah terhadap perkara yang membuatkan saya seronok atau tidak seronok sahaja. Sekurang-kurangnya itulah definisi kebahagiaan saya ketika itu.
Saya rasa bahagia apabila ternampak cinta monyet saya ( uwekksss). Saya rasa tidak bahagia apabila Cikgu ekonomi kami yang garang masuk ke kelas. Kebahagiaan itu cuma berkisar kepada apa yang saya suka dan tidak suka sahaja. Lepak-lepak bersama Johana Johari (sahabat baik) di Teluk Cempedak adalah antara perkara yang membahagiakan ketika itu walaupun saya tahu perkara itu membuang masa sebagai pelajar sekolah.
Ponteng sekolah bersama gang-gang nakal ( Ita, Nuat, Zai dan Johana ) pun kadang-kadang menjadi perkara yang membahagiakan pada zaman nakal sebagai pelajar. Manakala tinggal di asrama dan dibuli oleh pelajar junior merupakan perkara yang tidak membahagiakan menyebabkan saya nekad keluar dari asrama dan menyewa di Batu Satu, sebuah perkampungan suku Kampar di Temerloh.
Pernah seorang pelajar di kelas kami menyuarakan kepada Cikgu Razak secara bergurau;
“Cikgu kahwinlah, mesti cikgu bahagia”,
Cikgu Razak tersenyum, kemudian bersuara;
“Memanglah, kahwin masa mula-mula memang bahagia, tapi lepas tu saya rasa keadaan kembali macam biasa...” demikianlah jawapan daripada Cikgu Razak yang masih saya ingat sampai sekarang. Semasa menulis bab ini, saya amat yakin bahawa Cikgu Razak tidak bahagia pada ketika itu. Oleh sebab itulah beliau tidak dapat mentafsirkan erti kebahagiaan mengikut acuannya tersendiri. Semoga Cikgu Razak menemui kebahagiaannya sekarang.
Kata-kata hikmat menyatakan; Hanya orang yang bahagia boleh membahagiakan orang lain ”
Seorang ibu yang pemurung dan stres tidak mampu membahagiakan anak-anaknya. Begitu juga seorang suami , guru , majikan, sahabat, jiran, hatta sesiapa sahaja yang tidak bahagia tidak akan mampu membahagiakan orang lain. Seronokkah kita masuk ke kedai makan yang mana muka taukenya masam mencuka semasa mengambil pesanan? Gembirakan kita berurusan di kaunter dengan pekerja yang berwajah kelat? Kesakitan kita pasti bertambah apabila terpandang muka jururawat yang menyinga. Pelajar-pelajar pula pasti meluat kalau guru yang masuk mengajar marah-marah sahaja dari mula smpai akhir pengajaran. Tentu sekali tidak bahagia berurusan dengan orang yang tidak bahagia.
Senyuman sukar sekali terpancar di wajah orang yang hatinya tidak bahagia. Tetapi senyumlah supaya kita bahagia. Hidup terlalu singkat untuk dipenuhi dengan kekecewaan, penderitaan, kesedihan, persengketaan dan air mata. Memanglah hidup tidak selalunya indah. Dalam kehidupan pasti ada ujian dan cabaran yang mendatang, tetapi usahlah diratapi kehidupan yang malang sehingga membawa mati.
Usahlah dikenang-kenang insan yang menyakiti hati kita sehingga kita membenci diri sendiri. Menjadi Kassim Selamat yang membutakan mata sendiri. Carilah kebahagiaan dengan cara kita yang tersendiri selagi tidak bercanggah dengan agama dan budaya. Oh malangnya jika kita tidak mampu mencipta kebahagiaan mengikut acuan kita tersendiri!
Kebahagiaan barangkali muncul apabila kita berkongsi senyuman dengan orang lain. Mungkin kebahagiaan boleh diraih dengan cara memberikan sesuatu kepada orang lain. Hulurkan bantuan kepada insan yang memerlukan, kemudian lihatlah matanya yang memancar sinar kebahagiaan apabila menerima pertolongan kita yang ikhlas. Masaklah sesuatu yang disukai suami dan anak-anak , kemudian lihatlah bagaimana mereka makan dengan berselera. Berkongsilah makanan anda dengan jiran-jiran tetangga. Pinjamkan buku-buku anda kepada sahabat-sahabat di sekeliling. Di sekolah, saya ada beberapa orang sahabat baik,kami saling berkongsi cerita motivasi daripada buku-buku yang dibaca.
Memperdengarkan cerita motivasi yang baik juga mampu menyukakan orang yang mendengarnya. Sedekahkan pakaian anda kepada orang-orang miskin. Ringankan tulang anda membantu rakan sekerja.Tentu seronok berkongsi sesuatu dengan orang-orang sekeliling.Pimpinlah orang buta yang melintasi jalan, kemudian renungilah wajahnya yang bersyukur dengan bantuan yang datang. Tolonglah rakan-rakan kita yang lemah dalam pelajaran dan perhatikan bagaimana gembiranya mereka apabila memahami topik tersebut. Atau sekurang-kurangnya pinjamkan telinga anda supaya seorang sahabat dapat meluahkan masalahnya.Sekalipun kita tidak mampu menyelesaikan masalahnya, namun kita mampu menjadi pendengar setia.
Saya bukan ibu yang baik, namun tidak ada istilah terlambat untuk berusaha menjadi ibu yang baik selagi kita belum menutup mata. Kebahagiaan bukan diraih dengan cara memaksa anak kita belajar separuh mati semata-mata untuk memperoleh kecemerlangan akademik. Kebahagiaan ibu bapa yang sebenar adalah apabila anak itu menjadi insan kamil yang seimbang dunia akhiratnya.
Kita selalu menetapkan sesuatu had untuk mencapai kebahagiaan. Apabila ada duit sejuta baru aku bahagia. Apabila dapat pakai kereta BMW, baru aku bahagia. Apabila duduk di rumah banglo, baru aku bahagia. Konsep kebahagiaan kita diukur dengan ukuran kebendaan. Kalau memang itu ukurannya, sampai mati pun kita tidak akan bahagia kerana nafsu manusia tidak pernah puas dan cukup. Sudah ada duit sejuta, nak disimpan dan ditambah lagi jadi dua juta. Sudah dapat pakai BMW, teringin pula merasai kereta Mercedes, Ferarri, atau Porche. Sudah ada sebuah banglo, hati teringin pula menginap di kondominium mewah di hujung kota.
Malangnya apabila sudah memiliki duit sejuta, kita ditimpa sakit sehingga tidak sempat merasai duit tersebut. Ada rumah di sana - sini, tapi akhirnya kita menginap di hospital berbulan-bulan. Sudah memiliki berderet-deret kereta mewah, yang kita bawa ke hulu ke hilir sebuah sahaja. Yang lain-lain tersimpan tidak berusik di parkir.
Kata pujangga;
“ Jika kita tidak mampu memiliki sesuatu, maka bersyukurlah dengan apa yang kita miliki ”
Bersifat qanaah adalah sifat insan yang bersyukur dan berbahagia. Orang yang bahagia ialah orang yang bersyukur dengan apa-apa yang dimilikinya. Dia tidak meminta-minta, meratapi takdir atau mempertikaikan kejadian Allah kepadanya.
Pernah seorang budak lelaki buta yang menghafal al - Quran ditanya, apakah dia tidak menyesal kerana dilahirkan buta. Jawapannya menyebabkan semua orang yang mendengarnya termasuk ustaz yang menyoalnya menangis.
Kata budak itu;
“ Saya bersyukur kerana Allah SWT menjadikan saya buta. Disebabkan itu saya tidak perlu risau akan dosa-dosa penglihatan. Lagipun tanpa melihat sesuatu menyebabkan saya sibuk dengan menghafal Al - Quran ”
Subhanallah! Begitulah jawapan seorang insan yang celik akalnya dan berbaik sangka dengan PenciptaNya. Budak lelaki itu sudah pasti seorang yang berbahagia kerana dia menerima takdir Allah SWT dengan hati yang redha.(saya pula suat ketika menyoal-yoal Allah kerana takdir,Astagfirullah, ampunkan hambaMu yang jahil ini Allah)
Jadi salah satu cara untuk meraih kebahagiaan adalah dengan sentiasa bersyukur kepada Yang Maha Mencipta. Manusia yang hampir dengan PenciptaNya, In Sha Allah, pasti menemui kebahagiaan. Hidup sudah terlalu singkat untuk disia - siakan. Jom cipta kebahagiaan kita setiap hari!
0 comments:
Post a Comment