Tuesday, 3 November 2015

ACHEH… SEBUAH CATATAN PERJALANAN.

Perjalanan kami ke Acheh dimulai dengan bacaan doa di KLIA 2 oleh En. Rizwan selaku wakil Kembara Salam. Alhamdulillah, Maha Suci Allah. Rombongan kami seramai 14 orang dari Lipis  tiba di Lapangan Terbang Sultan Muda, Acheh tepat jam 8.30 pagi waktu tempatan. Kami berlepas dari KLIA 2 pada pukul 8.30 pagi, tiba di Acheh juga jam 8.30 pagi. Aneh?? Tidak, hal ini kerana waktu Acheh lewat sejam dari waktu kita. Penerbangan hanya mengambil masa lebih kurang sejam sahaja.

Kali ini giliran si Yusuf (anak bongsu) mengikut saya menikmati keindahan bumi Acheh. Terima Kasih banyak-banyak kepada suami yang mengizinkan saya berkembara membawa si kecil Yusuf. Terima Kasih Kak Zainab Tan yang bersama-sama saya sepanjang perjalanan ke Acheh. Terima kasih Ngah Aziz yang sudi menghantar kami (saya, Yusuf, Mak Ngah Roziah dan Kak Asmah) ke KLIA 2. Kembara kali ini penuh pengertian, banyak ilmu yang saya pelajari. Perjalanan yang tidak sia-sia kerana banyak sekali pengalaman dan pengetahuan yang saya peroleh yang boleh dikongsikan bersama sahabat-sahabat.

Yusuf berlatarbelakangkan sebuah pantai di Aceh

        Di Lapangan Terbang, rezeki kami bertemu Ustaz Haslin Bollywood, Ustaz Abdullah Khairi dan kumpulan Raihan. Rombongan mereka juga akan ke Aceh untuk satu program keagamaan. Bertuah kami dapat mendengar hiburan santai mereka di airport. Kami mengerumuni mereka mendengar dengan lagu-lagu nasyid yang menghiburkan. Seronok tengok cik-cik Kiah sakan berposing dengan ustaz-ustaz yang sporting ini.

Sebelum berkembara ke Acheh melalui catatan dan tulisan ini, saya kongsikan makanan dan harganya di dalam penerbangan. Nasi lemak dan secawan nescafe berharga RM. 16.00, berbaloi untuk minuman dan makanan berpuluh-puluh ribu kaki di udara.

saja ngengada nak makan dalam flight..ngeh3


       Kawasan di sekitar lapangan terbang Sultan Iskandar Muda ialah Kampung Belang Bintang yang menghijau dengan sawah padi. Kawasan ini tidak terkena bencana Tsunami yang hebat melanda Acheh pada 26 Disember 2004.

kawasan sekitar lapangan terbang.

       Kami disambut oleh Mohd Eric Hidayat, pemandu pelancong yang akan menguruskan group kami sepanjang berada di sini. Pemandu bas pula ialah Pak Wan yang ramah sekali. Di dalam bas, kamu dijamu dengan makanan pertama dari Acheh iaitu Bingka Acheh. Waduh, nyaman sekali.

Bingka Aceh


       Destinasi pertama di Bumi Acheh ialah perkuburan Masal Tsunami (perkuburan beramai-ramai mangsa Tsunami) yang terletak di Kampung Siron. Seramai 46718 mangsa Tsunami disemadikan beramai-ramai di sini. Kuburan ini terlalu luas sehingga kelihatan seperti padang bola kerana sudah ditumbuhi rumput. Menurut Eric (panggilan saya kepada pemandu pelancong kami) Aceh terkenal dengan 1001 masjid kerana di bumi ini banyak sekali masjid didirikan. 

       Di sini terdapat Polis Syariah yang bertugas menangkap orang-orang Islam  yang melanggar syariat Islam mislanya berduaa-duaan tanpa ikatan, tidak menutup aurat dan sebagainya. Tapi sejujurnya saya lihat, wanita-wanita di sini tidaklah terlalu sempurna menjaga auratnya (terutama anak-anak muda yang terdedah dengan pelbagai fesyen yang tidak mengikuti syariat). Cuma yang tidak bertudung itu tidak kelihatan seperti di negara kita.Suka sekali saya membaca ‘moto’ polis di sini yang kelihatan di serata-rata tempat iaitu, 
                              “Aceh Aman, Ibadah Nyaman”

       99% penduduk Aceh ialah Muslim, selebihnya ialah Cina Tionghua. Menurut Eric lagi Kesultanan di Indonesia hanya tinggal di Jogjakarta sahaja lagi, di tempat lain termasuk Aceh, institusi kesultanan ini sudah berkubur. Oh! Baru saya tahu Sultan Aceh dahulu permah berkahwin dengan salah seorang puteri diraja Pahang.

     Destinasi kami seterusnya ialah Lampulo Gampong yang bermaksud Kampung Lampulo. Di sini banyak kawasan yang bermula dengan ‘ Lam’, misalnya Lambaru Gampong. Sepanjang-panjang perjalanan dalam Bandar Aceh, pokok  asam Jawa banyak sekali kelihatan. Lampulo Gampong adalah destinasi pelancongan yang wujud selepas Tsunami. Lampulo Gampong ini bermaksud kampung dalam pulau. Tsunami hebat yang melanda Aceh pada 26 Disember 2004 menyebabkan telah terdamparnya sebuah kapal kayu ke sebuah perumahan penduduk di kampung ini.

Kapal kayu yang terdampar ke atas sebuah rumah.

        Di sini, kami diperdengarkan cerita daripada salah seorang mangsa Tsunami yang masih hidup tentang pengalamannya berdepan dengan badai Tsunami yang sangat dahsyat. Beliau dan isterinya serta dua orang anak lelakinya diberi kesempatan oleh Allah untuk meneruskan kehidupan, manakala seorang anak lelakinya yang berusia 14 tahun tidak ditemui sehingga sekarang. Subhanallah, terharu sekali saya apabila beliau sangat pasrah dan reda dengan ketentuan Ilahi. Beliau mengakhiri ceritanya dengan seuntai kata-kata yang sangat menarik dan tersirat maknanya;
                      
“ Hidup kalau menanam padi, maka lalang akan ikut tumbuh, namun hidup jika  menanam lalang, pasti rumput tidak ikut tumbuh ”

Saya pulangkan kepada pembaca untuk menentukan tafsirannya.

Khusyuk, terharu, sedih, insaf..perasan bercampu-baur semasa mendengar salah seorang mangsa Tsunami menceritakan pengalamannya mengaharungi badai Tsunami.

     Ada sesuatu yang menarik di kampung ini iaitu ‘Halwa Sunti’. Halwa ini dibuat daripada belimbing buluh. Kalau di Pahang terutamanya di Lipis, belimbing buluh ini sangat popular dibuat sambal hitam.

Halwa Sunti daripada belimbing buluh.


     Makan Siang! ( makan tengah hari) Kami dibawa ke Restoran Aceh. Subhanallah, tersusun penuh di atas meja makanan Aceh yang enak dan lazat. Air timun dengan selasih yang nyaman. Nanti boleh cuba di rumah. Blend timun dengan air dan sedikit gula. Masukkan dalam jag yang tersedia biji selasih. Memang sedap dan sejuk. Satu lagi menu istimewa ialah ‘Ayam Tangkap’. Ayam ini digoreng kering bersama pelbagai jenis daun yang menerbitkan aroma istimewa.

Makan Siang di Specific Aceh. Nyaman Sungguh.


       Kami pulang ke hotel untuk berehat melepas lelah, mandi dan solat. Aktiviti seterusnya akan disambung selepas Asar. Kami menginap di Hotel Mekkah bersebelahan Masjid. Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran memang kerap kedengaran. Kata Eric, kami di Aceh nggak berani sudah buat jahat, takut Tsunami.

      Destinasi seterusnya ialah PLTD Apung, iaitu sebuah kapal yang membekalkan elektrik ke seluruh Aceh. PLTD Apung ini adalah satu bukti sejarah kekuatan Tsunami di Aceh. Kapal seberat 2600 tan ini terseret arus sejauh 5kilometer ke area daratan dan terdampar di kawasan permukiman, iaitu di Gampong Punge Blang Cut, Kecamatan Jaya Baru Kotamadya Banda Aceh. Begitulah kekuatan air yang mampu menyeret kapal seberat ini ke daratan. Maha Besar Allah yang menjadikan sesuatu dengan sebabnya yang tersendiri. Ada sesuatu untuk kita fikirkan dan hayati!


Yusf di hadapan PLTD Apung.

     Seterusnya, Eric membawa kami ke tepi pantai iaitu Pantai Lampu’uk (macam Padang Kota di Pulau Pinang) untuk minum E-U (air kelapa). Kami merasai jagung bakar dibubuh sos pedas dan Maggie berkuah). Lebih kurang 100 meter di depan, ada benteng pemecah ombak yang dibina oleh kerajaan Jepun dan Korea selepas Tsunami. Pernah dengar tak sebuah lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee,

                              “Ule –le, di kota raya, boleh tak boleh, ikut sahaja”

     Oh, rupanya lagu itu mengambil nama sebuah perkampungan nelayan di sini iaitu Kampung Ule-le! Laaa, koknya baru tau! Gitu sih???

     Menurut Eric lagi, Aceh cepat membangun kerana banyak mendapat bantuan dari pelbagai negara. Ada sebuah hospital yang dibina oleh Jerman, sehingga dinamakan Hospital Jerman. Manakala sebuah masjid yang didirikan oleh Turki pula digelar masjid Turki. Kerajaan Malaysia pula banyak membina rumah-rumah bantuan kepada mangsa Tsunami. Ada sebuah pesantren di Aceh yang dinamai Serambi Malaysia. Hal ini kerana pesantren ini dibina atas biaya dan sumbangan daripada rakyat Malaysia yang berbudi luhur, membantu saudara seagama yang ditimpa musibah.

     Kami solat jamak Maghrib dan Isyak di Masjid Baitul Rohman. Masjid ini sangat memeranjatkan seisi dunia kerana langsung tidak terkesan dengan dahsyatnya Tsunami, sedangkan kawasan sekelilingnya hancur menjadi padang jarak padang tekukur. Demikianlah kekuasaan Allah SWT bagi hamba-hambaNya yang mahu berfikir. Subhanallah! Secara peribadinya masjid ini mengingatkan saya kepada Masjid Nabawi di Madinah. Terubat jua kerinduan apabila melangkah masuk ke sini.

Perkarangan Masjid Baiturrohman


      Selepas solat, kami dibawa makan malam di Restoran Wong Songo. Buat pertama kalinya saya menjamah Nasi Ayam Penyet. Kat Malaysia tak terasa pun nak makan walau banyak sekali restoran ayam penyet.

     Alhamdulillah, selesai sudah hari pertama di Aceh. Kami balik ke hotel. Yusuf tidur dengan nyenyaknya selepas seharian berjalan dan bernyanyi riang dalam bas dengan lagu “Sehati Sejiwa”. Syukur, Yusuf tak meragam sangat.

HARI KEDUA DI ACEH (12 SEPTEMBER 2015)

     Destinasi pertama kami adalah ke ‘Rumoh Aceh’ sebuah istana kesultanan Aceh. Berhampiran kawasan ini terdapat Muzium dan Cakra Donya Bell. Pada abad ke-15, Laksamana Cheng Ho telah menyerahkan Cakra Donya iaitu sebuah loceng yang besar kepada Sultan Pasai dalam satu ekspedisinya ke Aceh. Cakra Donya ini menjadi koleksi Muzium Aceh sejak Disember 1915. Cakra Donya ini adalah bukti kewujudan hubungan di antara Kesultanan Pasai dengan Dinasti Ming.

Rumoh Aceh.

Cakra Donya, bukti hubungan diplomatik kerajaan China dan Aceh.

    Usai di Rumoh Aceh dan Muzium, kami meneruskan perjalanan. Bas kami hanya melepasi rumah Cut Nyak Dien, seorang wira wanita Aceh yang tersohor melawan Belanda. Pada tanggal 6 November 1905, Cut Nyak Dhien ditangkap oleh pasukan Belanda di bawah pimpinan Letnan Van Vuuraen dan Kapten Veltmen. Khabarnya beliau mati dalam penjara dan biji matanya dicungkil oleh Belanda. Beliau dikebumikan di tanah Priangan, Sumedang, Jawa Barat. Saya ada melihat gambar pejuang hebat ini di Muzium Aceh. Subhanallah! Hebatnya jiwa seorang patriot wanita Aceh yang tak pernah ragu untuk mempertaruhkan nyawanya dalam mempertahankan apa yang dipandangnya sebagai prinsip dalam kebangsaan dan keagamaannya .

    Bas rombongan bergerak ke destinasi yang selanjutnya iaitu ke Kampung Gurah. Setibanya kami ke kampung tersebut, begitu banyak wanita membonceng motosikal menanti. Mereka menawarkan perkhidmatan membawa pelancong ke Monumen Kubah Masjid Jamek Lamteungoh. Bayaran terserah saja kepada para pelancong seikhlas mungkin. Seronok juga saya dan Yusuf dibonceng oleh wanita di sana meniti batas kecil. Pemandangan kampung tersebut mengembalikan nostalgia saya ke tahun-tahun 80an di kampung Kuala Medang yang ketika itu masih berhutan.


Berebut-rebut wanita di sini mahu membonceng kami ke Kampung Gurah.

      Istimewanya kampung Gurah ini adalah kerana hanyutnya kubah masjid tua yang berasal dari Gampong Lam Teungoh akibat gelombang besar Tsunami. Kubah ini terdampar di Kampung Guroh sejauh 2.5 km dari kedudukan asalnya. Maha Besar Allah!

Kubah yang terdampar di Kampung Gurah.

     Seterusnya rombongan kami ke Taman Gunongan. Taman Gunongan ini merupakan simbol cinta Sultan Iskandar Muda kepada  permaisurinya yang cantik jelita iaitu Putri Phang yang berasal dari Pahang. Dikatakan Taman Gunongan ini dibina untuk menghilangkan rasa sepi dan rindu Permaisuri akan kampung halamannya di Pahang.

Mak Ngah Rozi dan Kak Rohaida di hadapan Taman Gunongan/


     Lawatan seterusnya ke Pasar Aceh. Tidak banyak yang saya beli, hanyalah dua helai jubah dan empat helai kain batik. Untuk Yusuf, saya patrikan namanya di atas sebuah papan kecil berharga RM 23.00 sebagai kenang-kenangan dari Aceh.

Ole-ole untuk Yusuf.

     Destinasi terakhir dalam sesi lawatan kali ini ialah ke Pesantren anak-anak yatim di sebuah pondok yang dinamai Serambi Malaysia. Kami disambut oleh barisan anak-anak yatim yang begitu polos.

Pesantren Anak-anak yatim yang dinamai Serambi Malaysia.


Anak-anak yang berbaris menunggu kehadiran kami.

     Sambil menantikan ustaz Bakri yang menguruskan anak-anak ini datang, kami dihidangkan juadah yang nampak sederhana tetapi rupanya sedap sekali. Usai makan, barulah nampak kelibat ustaz Bakri, beliau memulakan majlis dengan doa yang begitu menyentuh sanubari. Subhanallah! Sudahlah dapat makan percuma, dapat lagi mendengar tazkirah yang menyegarkan rohani berkaitan keistimewaan menerima tetamu.

    Sebelum pulang, ustaz Bakri menitipkan seuntai doa untuk kami amalkan dalam kehidupan. Saya menghulurkan buku catatan saya memohon Ustaz Bakri menulisnya di dalam buku tersebut. Saya kongsikan di sini sebagai perkongsian kita bersama. Mudah-mudahan bermanfaat.

Tulisan tangan Ustaz Bakri, jom kita amalkan.
     Alhamdulillah, catatan perjalanan saya di Bumi Aceh sudah berakhir. Insha Allah, jika umur panjang,murah rezeki, badan sihat dan diizinkan Allah, saya bercadang membawa Aisyah Nabilla ke Surabaya lewat November nanti.

     Jutaan Terima Kasih kepada Arfandi Zaini, Ikmal Hisham, dan Sabki yang banyak membantu. Budimu dikenang.

Assalamualaikum!

2 comments:

  1. Tahniah Tun. Nanti kak pun ni mengembara ke Acheh.

    ReplyDelete
  2. tq kak..elok la tu ke sana..banyak perkara yang boleh dipelajari..

    ReplyDelete