Wednesday, 19 April 2017

Aku ini manusia baran dan tidak sabar...ujian demi ujian akhirnya menyedarkanku..

KISAH KECILKU DI BUMI MEKAH
As Salam kawan-kawan yang dirahmati Allah, mudah-mudahan.
Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga kepada ALLAH SWT kerana saya berpeluang menunaikan ibadah umrah pada penghujung tahun 2014 membawa ayah dan anak sulung, Norrish. Sudah lama saya bercita-cita membawa ayah dan emak menunaikan umrah, namun kewangan belum berapa mengizinkan. 
ALLAH SWT mendengar rintihan saya saban waktu untuk membawa orang tua menjejakkan kaki ke Tanah Haram.  Rezeki yang ALLAH SWT titipkan buat kami membolehkan saya membawa ayah ke sana.  Emak pada saat-saat akhir  tidak jadi pergi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.  Perancangan awalnya adalah pada bulan Mei, namun tiga hari sebelum berangkat, Ustaz Mahiyudin menelefon saya memberitahu bahawa visa saya, ayah dan Norrish tidak diluluskan.  ALLAHU AKHBAR. 
Sedih dan kecewa tidak terkata, namun saya percaya ALLAH SWT adalah sebaik-baik perancang.  Walau kecewa serta sedikit terguris kerana ada mendengar pelbagai tohmahan daripada segelintir orang kampung yang bermulut jahat, saya pasrah dan reda.  Tentu ada hikmahnya.  Biarlah manusia berbicara.
 Bagaimana pun saya tidaklah  berniat menceritakan secara detail perihal ibadah saya di sana.  Cuma saya teringin berkongsi sedikit peristiwa kecil yang besar impaknya serta mendidik saya supaya sentiasa berlapang dada dengan apa-apa jua ujian yang mendatang.

HATI BERBICARA
Sewaktu di Madinah lagi, saya ditempatkan sebilik bersama anak saya Norrish dan seorang makcik tua yang tidak saya kenali.  Biarlah saya namakannya Makcik Sarah sahaja.  Dia tidak ditemani  oleh ahli keluarga atau sanak saudara.  Hanya berharap pada ihsan kawan-kawan serombongan.  Keadaan ini berlanjutan sehingga di Mekah.  Kami ditempatkan dalam bilik yang sama.
Keterujaan menjalankan ibadah umrah menyebabkan saya ingin memaksimumkan amal ibadah.  Saya ingin berlama-lama di Masjid Nabawi, terutamanya di Raudhah.  Sewaktu di Mekah pula saya bertekad untuk memperbanyakkan tawaf dan ibadah-ibadah yang lain sama seperti jemaah yang lain.
Namun kehadiran Makcik Sarah sedikit mengganggu tumpuan dan fokus saya.  Hati mulai berbicara kerana rasa terbeban mulai menyelinap dalam diri.  Astagfirullahaladzim!  Sampai ke satu tahap saya rasa makcik ini sudah menyusahkan saya.  Tidurnya terpaksa dikejutkan.  Saya terpaksa menunggu dia bersiap, pergerakannya pula sangat lambat.  Maklumlah orang tua.  Makan minumnya juga perlu ditemani di ruang makan.  Naik turun lif pun kena bertunggu sebab Makcik Sarah tak tahu guna lif.  Ke masjid juga kena menunggu dia sebab sebagai orang tua dia tidak tahu arah jalan.  Dia takut tersesat macam yang banyak didengarnya daripada jemaah lain.  ALLAHU AKHBAR.  Hati berbisik,
“Kenapa pulak aku yang kena jaga orang tua yang tidak dikenali ini?”
Ya ALLAH, aku lupa bahawa ini perancangan-MU.  Ditempatkan sebilik dengan Makcik Sarah yang tidak dikenali itu adalah rencana ALLAH SWT yang tidak saya ketahui.  Tentu ALLAH SWT tidak menjadikannya tanpa sebab-musabab yang tertentu.  Namun keterujaan menjalani ibadah umrah menyebabkan saya lupa, berbuat kebajikan kepada orang tua ini juga adalah ibadah yang besar ganjarannya.  ALLAH Ya ALLAH!  Saya rasa sangat berdosa.  Walaupun bermanis muka, hati mendengus kerana tidak ikhlas berbakti kepada orang tua itu.

TONG SAMPAH
Suatu petang saya agak hilang sabar.  Waktu maghrib sudah hampir.  Kami sudah terlambat ke masjid kerana menunggu Makcik Sarah bersiap.  Sudah berkali-kali saya memanggilnya untuk turun ke lobi.  Hendak ditinggal tak sampai hati sebab dia memang mengharap pada saya.  Lagi pun Makcik Sarah tak pandai menggunakan lif.
Hati merengus-rengus menahan marah.  Kesabaran saya mulai menipis.  Saya lampiaskan kemarahan dengan membebel-bebel kepada anak saya Norrish;  “Kalau lambat nanti memang kita solat kat tepi tong sampahlah jawabnya”.
Si anak hanya berdiam tak berani menjolok sarang tebuan.  Makcik Sarah baru selesai mandi dan menyarung telekung dengan kalutnya.  Dari riak mukanya tidak ada tanda-tanda dia rasa bersalah.  Makin menebal rasa sebal saya.  Kami bergegas berjalan kaki menuuju ke masjid.  Di pertengahan jalan, azan maghrib sudah berkumandang.  ALLAHU AKHBAR.  Orang ramai pasti sudah bersesak-sesak di dalam masjid.  Pasti sukar mendapatkan saf untuk solat.  Kami masih terhegeh-hegeh di jalanan.
Akhirnya apabila imam sudah memulakan solat, seperti yang telah saya lafazkan kepada Norrish, kami betul-betul bersolat bersebelahan tong sampah.  ALLAHHU AKHBAR!  Air mata saya tidak tahu sebanyak mana tumpah.  Saya rasa sangat terhina dan kerdil.  Berkali-kali saya beristighfar memohon keampunan ALLAH SWT.
Usai solat, saya merenung Makcik Sarah yang tidak tahu apa-apa.  Saya rasa berdosa yang amat sangat terhadap orang tua yang polos itu.  Di saat dia mengharapkan saya untuk membantu, saya pula merasakan dia sebagai beban yang menghalang ibadah saya.
“Ya ALLAH, ampunkan aku, ampunkan aku!  Kenapa di Mekah pun saya boleh berkelakuan menjengkelkan seperti ini?  Anak  saya seolah-olah mengerti apa yang terbuku di dada.  Kami berjalan memasuki dada masjid mencari ruang untuk solat isyak. 
Air mata saya tidak berhenti mengalir.  Rasa menyesal terbit perlahan-lahan kerana menganggap Makcik Sarah mengganggu urusan ibadah saya.  Juga kerana keceluparan mulut saya menyebabkan kami benar-benar bersolat bersebelahan tong sampah.

IKTIBAR
Saya tidak malu berkongsi kisah ini sebagai pengajaran kepada pembaca.  Di saat kebanyakan jemaah menceritakan kehebatan ibadah umrah mereka, biarlah saya buka sedikit kisah kecil saya ini sebagai iktibar kita bersama.  Apa yang baik jadikan teladan, apa yang buruk jadikan sempadan.
Walau bagaimanapun, saya sangat berbahagia dapat membawa ayah dan anak sulung, Norrish  menunaikan umrah.  ALLAH SWT mendengar doa saya selama ini.  Insha ALLAH, semoga kita semua dijemput pula mengerjakan ibadah haji.  Amiin.




Ayah yang saya kasihi.



            

0 comments:

Post a Comment