Wednesday, 5 April 2017

KEMBARA

        Subhanallah! Lamanya dah tak menulis panjang-panjang...blog kita pun dah bersawang. Rasa mecam nak menceceh-ceceh sikit tentang betapa excitednya saya sekarang kalau dapat berjalan-jalan walaupun duit tak berapa ada...hukhukhuk...Ingat zaman kecik-kecik dulu, saat-saat hidup serba-serbi tak cukup, apabila ayah cakap minggu depan nak ke Kuala Krau, mmmm kita dah start membilang hari. Padahal Kuala Krau tu pekan kecil je pun...
Kenangan di Beijing

*********************************************************************************
Saya ada tahi lalat di tapak kaki kanan.  Ayah pernah berkata, “Tahi lalat kat kaki ni petanda orang tu suka berjalan jauh”.  Saya menjebik sahaja tanda tak bersetuju langsung dengan kata-kata ayah.  Mana tidaknya.  Sepanjang  bersekolah rendah semasa berada di Felda Jenderak Selatan, boleh dibilang dengan jari sahaja kami ke Temerloh.  Paling jauh saya pergi pun adalah ke Teluk Cempedak, ikut rombongan sekolah.
Seingat saya, masa di sekolah rendah hanya sekali sahaja ayah bawa kami ke Pekan Sehari Temerloh yang berada di sepanjang Sungai Temerloh.  Ayah belanja kami makan sate selepas dapat duit menjual getah sekerap.  Ayah membonceng kami berempat menaiki motosikal Scramblernya.  Saya masih ingal lagi nombor platnya. 
Pada masa itu jarang-jarang ada ‘road block’.  Selamba jer ayah membawa kami empat beranak menunggang motosikal (ayah, emak, saya dan adik perempuan saya Jina) walaupun hal  itu merupakan satu kesalahan.  Kalau pulang ke kampung di Kuala Medang, saya dan Jina suka ikut ayah membasuh motosikal ayah di Sungai Jelai.  Kami pura-pura saja nak tolong ayah, sebenarnya kami  seronok nak main air, nak mandi sungai.

HILANG
Motosikal ayah yang diletakkan di bawah rumah hilang pada suatu pagi.  Meraung ayah kerana motosikal kesayangannya dicuri orang.  Emak pula kelu, diam seribu bahasa.  Keadaan kami seolah-olah sudah jatuh ditimpa tangga.  Sudahlah hidup susah, motosikal buat mencari rezeki pula dikebas orang. 
Kami sekeluarga sedih tak terkata kerana motosikal itulah yang ayah gunakan untuk ke ladang getah menoreh, selain turut digunakan untuk balik ke kampung di Kuala Medang, menghantar kami ke sekolah, membeli barang makanan di kedai runcit felda dan hal-hal lain. 
Menurut ayah, dia tahu perbuatan orang yang mencuri motorsikalnya itu.  “Biarlah ALLAH ada”, kata ayah walaupun nadanya jelas kecewa.  Sudah menginjak remaja barulah  saya tahu orang yang mencuri motorsikal itu merupakan jiran dekat kami. 
Patutlah hidupnya susah sampai sekarang.  Memang tak berkat perbuatannya  menganiayai orang lain, tambahan pula jiran tetangga.  Selepas kehilangan motorsikal itu, Pak De Ibrahim, abang kepada ayah menghulurkan sebuah motor buruknya untuk kegunaan harian ayah.  Ya ALLAH, sedih betul mengenangkan zaman kemiskinan kami semasa di felda dulu.  Masa mula-mula berpindah, paip air di depan rumah dikongsi bersama lima enam jiran tetangga.  Aduh, seksa sungguh terpaksa bergilir-gilir menadah air!
Trak askar hampir saban bulan masuk ke sini kerana khabarnya masih ada saki-baki komunis di hutan.  Setiap kali mat-mat askar ini berkhemah di hutan getah bersebelahan rumah, kami selalu diberi biskut dan beberapa tin makanan dalam tin.  Jadi, saya dan kawan-kawan sebenarnya  teruja juga dengan kehadiran trak askar ini sebab kami pasti beroleh makanan percuma.
Masa kecil dulu, jangankan ke Temerloh, ke Pekan Sehari Kuala Krau yang jaraknya 12 km dari rumah pun jarang-jarang kami dapat pergi.  Tambah-tambah selepas ayah kehilangan motosikal Scrambler kesayangannya.  Motor buruk Pak De Ibrahim tak mampu membawa kami pergi jauh.

ROMBONGAN SEKOLAH
Semasa  saya darjah lima, Sekolah Kebangsaan Felda Jenderak Selatan mengadakan rombongan ke Teluk Cempedak, Kuantan.  Ya ALLAH, terujanya saya nak pergi.  Seumur hidup saya belum pernah melihat pantai dan laut.  Malangnya rombongan itu sudah penuh kerana pelajar-pelajar lain pantas  mendaftarkan nama dan membayar tambang.
Saya berasa kecewa.  Punah impian untuk menyaksikan laut yang membiru sebagaimana yang tergambar dalam buku-buku yang saya baca.  Dengki betul mendengar cerita kawan-kawan tentang persiapan dan keterujaan mereka untuk ke Teluk Cempedak.  Sibuk betul mereka bersembang dalam kelas perihal rombongan itu.
Namun suatu hari saya mendapat tahu ada seorang kawan bernama Fauzi yang ingin menarik diri dari rombongan tersebut kerana dia ada urusan.  Wah, saya masih ada peluang!  Saya segera bertemu seorang guru yang menguruskan rombongan tersebut.  Hasrat hati saya ingin menggantikan tempatnya,  pandai-pandai sahaja saya buat keputusan, padahal emak dan ayah belum tentu bersetuju.
Cikgu Karim meminta saya membayarkan sepuluh ringgit kepada Fauzi yang telah pun menarik diri jika saya betul-betul berminat untuk mengikuti rombongan tersebut.  Saya ternganga.  Sepuluh ringgit tersangat mahal.  Mana nak korek duit dalam masa yang terdekat ni.  Saya hanya berdoa supaya emak dan ayah bersetuju serta mengizinkan saya pergi walhal saya tahu mereka memang susah dan selalu tiada duit. 
Sepanjang hari di sekolah saya bermenung sambil berharap semoga emak dan ayah ada tiba-tiba ada lebihan duit.  “Ya ALLAH, bantulah aku, aku nak tengok laut”, doa saya di dalam hati.

TRICK
Sepanjang berada di rumah saya monyok saja dengan harapan mak dan ayah akan perasan perubahan saya dan bertanya sebabnya.  Saya tak mahu keluar bermain pada waktu petang, tak nak makan dan banyak berdiam.  Muka saya masam mencuka.  Ya, emak akhirnya sedar anak perempuan sulungnya  ini berkerenah sepanjang petang itu!
Sungguh tak diduga helah saya itu menjadi.  Apabila emak mengajukan permintaan saya kepada ayah, ayah tiba-tiba bersetuju membenarkan saya pergi sebagai upah kerana saya kerap mengikutnya mengutip getah sekerap di ladang setiap hujung minggu.  Sebagai anak sulung, ayah dan emak tak pernah memanjakan saya.  Saya diajar berkerja sejak kecil lagi. 
Ya ALLAH!  ALLAH SWT mendengar rayuan hati saya.  Saya gembira bukan kepalang.  Tercapai juga hasrat hati untuk ke Teluk Cempedak melihat laut yang membiru sebagaimana yang tergambar dalam buku.  Mulai saat itu saya menghitung hari.  Lambat pula rasanya masa berlalu.

ROMBONGAN KE TELUK CEMPEDAK
Hari yang ditunggu akhirnya tiba.  Wah, bukan main suka lagi budak-budak yang akan mengikuti rombongan!  Seawal pagi kami sudah menunggu di tapak perhimpunan sekolah.  Bas rombongan sudah bersedia di luar sekolah.  Ibu bapa pelajar turut menghantar anak masing-masing siap dengan bekalan makanan.  Macamlah jauh sangat!  Begitulah terujanya masing-masing.
Emak juga macam orang lain.  Saya dibekalkan nasi putih dan ayam masak kicap.  Sewaktu bas mulai bergerak, saya nampak emak melambai-lambai sehinggalah kami hilang dari pandangan matanya.  Sayu pula hati saya kerana saya tidak tahu dari mana emak dan ayah mendapatkan duit membayar tambang.  Rasa bersalah terselit dalam diri kerana demi memenuhi impian hati, saya sudah menyusahkan emak dan ayah.  Maafkan saya emak!
Sepanjang perjalanan, sepicing pun saya tidak tidur, mata membulat melihat pemandangan di kiri dan kanan terutamanya sewaktu melintasi bandar Temerloh.  Amboi, banyaknya bangunan!
Akhirnya sampai juga kami ke Teluk Cempedak.  Oh, begini rupanya pantai dan laut!  Ternganga mulut saya melihat ombak menderu-deru menghempas pantai.  Saya jamah air laut untuk memastikan betul ke tidak airnya masin sebagaimana yang dikatakan oleh cikgu.  Saya juga sempat mengutip beberapa tapak sulaiman dan akhirnya kembali membuangnya  ke laut.  Saya gembira betul.  Hajat hati sudah tertunai.  Sepanjang di Kuantan, saya tidak membeli apa-apa pun.  Cukuplah sekadar saya dapat melihat laut.  Puas sudah rasanya hati.

LANGKAH SEMAKIN PANJANG
Semasa di tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krau, saya berpeluang ke daerah Pekan.  Pada waktu itu saya  terpilih mewakili daerah Temerloh ke pertandingan bola jaring peringkat negeri Pahang.  Latihan pusat selama dua minggu diadakan di Sekolah Menengah Vokasional Puteri di Temerloh.  Saya tahu bahawa Pekan ini merupakan Bandar diraja Pahang melalui buku Sejarah yang dibaca.
Seronok dan terujanya budak kampung macam saya ini dapat menumpang belajar sambil menjalani latihan bola jaring di sekolah bandar.  Banyak  kawan yang saya peroleh melalui sukan bola jaring ini.  Pergaulan saya semakin luas.  Peluang berjalan dan bermain bola jaring di daerah Pekan sangat menggembirakan kerana saya tak perlu mengeluarkan duit sendiri untuk berjalan-jalan.
Perlahan-lahan saya dapati yang saya ini memang suka berjalan-jalan melihat tempat orang.  Tambahan pula semasa subjek Geografi, guru India saya yang bernama Cikgu Sasuraja begitu banyak memperkenalkan kami dengan nama-nama negara yang tak pernah saya dengar.  Saya jadi teruja.  Amerika Syarikat, Britain, Kanada, Jepun, Norway, Australia, Switerzland, dan banyak lagi yang disebutkan oleh beliau.  Saya melopong! Kat manalah negara-negara ni?  Syoknya kalau dapat pergi ke sana.  Tapi orang miskin macam saya ini ada ke peluang?
Semasa di tingkatan lima dan enam, setiap kali bercuti panjang, saya akan ke Bentong untuk berkerja.  Saya ada seorang makcik yang mempunyai kedai makan di Bentong.  Peluang mencari duit di kedai makan tidak saya sia-siakan.  Macam-macam kerja saya buat di sana.  Basuh pinggan, cuci lantai, potong sayur, susun kerusi meja, kemas dapur, membantu ambil order, tolong memasak dan banyak lagi.  Macam-macam ilmu dan pengalaman yang saya peroleh.  Antaranya saya belajar mengelim karipap dan buat popia.  Saya belajar buat teh tarik.
 Di Bentong juga saya menyaksikan keluarga Makcik Ana (bukan nama sebenar) yang mengabaikan agama menjadi huru-hara.  Sedih kalau nak diceritakan perihal keluarga makcik Ana.  Saya jadi insaf melihat makcik Ana yang sudah tua tetapi tidak bersolat.  Anak-anaknya rosak kerana dadah dan pergaulan sosial.  Anak bongsunya mengandung luar nikah.  Sungguh saya jadi ngeri!  Maklumlah budak kampung.
Namun yang menyeronokkan saya adalah apabila keluarga makcik Ana membawa saya bercuti ke Melaka.  Amboi, seronoknya saya dapat melawat kota A’Famosa, berjalan-jalan di Tanjung Bidara dan pusing-pusing di sekitar bandar Melaka!  Mahal betul pengalaman ini!  Mana saya sangka dapat berjalan-jalan ke kota ini.  Nama Melaka ini banyak kali saya jumpa dalam buku Sejarah.  Kali ini saya sudah dapat menjejakkan kaki ke bumi Hang Tuah ini. 

TERHINA ITU HIKMAH
Saya semakin sedar bahawa saya mempunyai keinginan yang kuat untuk mengembara bukan sekadar dalam negara.  Angan-angan saya sudah jauh merentasi sempadan.  Justeru itu, saya harus mengubah nasib. 
Kemiskinan tidak akan membawa saya ke mana-mana.  Keinginan untuk belajar bersungguh-sungguh bukan sekadar untuk mengubah nasib keluarga, tetapi didorong oleh keinginan untuk berjalan-jalan.  Namun saya buntu.  Saya akan kekal miskin selagi belum berkerja.
Perasaan terhina sewaktu menumpang sebuah kereta jiran untuk ke bandar Temerloh kekal dalam lipatan kenangan dan menjadi pembakar semangat saya untuk memperbaiki keadaan diri dan keluarga.  Kerana berasa terhina, ayah, emak  dan saya turun dari kereta jiran itu, lalu menunggu bas di simpang tiga jalan.  Saya rasa sangat sebak melihat muka ayah yang merah padam menahan penghinaan.  Ayah berkali-kali berpesan;
 “Tengoklah Tun, orang hina kita sebab kita miskin.  Nak menumpang kereta pun orang tak suka.   Belajarlah sungguh-sungguh, dapat kerja baik-baik.  Jangan miskin macam ayah, ayah tak ada harta”. 
Saya rasa macam nak meraung masa itu.  Hati rasa terbuku kerana hidup miskin menyebabkan kami selalu dan terpaksa  menumpang orang.  Saya berjanji suatu hari  nanti, saya akan keluar dari kepompong kemiskinan ini.  Saya nak membanggakan ayah dan emak.
Niat saya untuk masuk universiti tercapai jua.  Saya berasa bangga kerana  langkah pertama untuk  keluar dari belenggu kesusahan sudah nampak jalannya.  Namun perasaan bangga sekejap sahaja bertandang.  Akhirnya saya kembali bersedih.  Saya hampir-hampir gagal mendaftar di universiti kerana tiada duit.  Emak bergolok bergadai untuk memastikan impian saya belajar di universiti tercapai.  Ayah pula ke sana ke mari menebal muka meminta pinjam duit.

USM, PULAU PINANG
Akhirnya saya berjaya juga mendaftarkan diri sebagai pelajar Komunikasi Massa di Pulau Pinang.  Keterujaan menjadikan USM sebagai destinasi menuntut ilmu disebabkan terpengaruhnya saya dengan cerita Ali Setan.  Melalui filem yang sangat meletup pada zaman itu, saya mengenali Bukit Bendera, Padang Kota, USM, dan Pulau Pinang secara umum. 
Terujanya saya dengan nama Pulau Pinang.  Semasa di sekolah rendah di Felda Jenderak Selatan, Cikgu Osman Kechik telah menubuhkan pasukan boria di kelas saya.  Setiap kali Hari Anugerah diadakan, saya dan kawan-kawan lain bersemangat menyampaikan persembahan boria.  Khairuddin Mamat ialah penyanyi utama kumpulan boria kami.  Dari situ saya tahu bahawa Boria ini merupakan kebudayaan orang Penang. 
Saya turut berangan-angan untuk menjadi pelajar ‘Masscom’ sebagaimana watak Ogy Ahmad Daud dan Azmil Mustapha dalam filem berkenaan.  ALLAHU AKHBAR.  Demikianlah jiwa remaja.  Namun ALLAH SWT memperkenankan niat saya itu.  Saya berjaya  ke USM sebagaimana yang diimpikan. 
Kemudiannya saya mendaftar penginapan  di Desa Siswa Aman.  Bermulalah kehidupan saya sebagai mahasiswa selama empat tahun.  Bahkan  selama itu, saya tidak berhenti mencari duit poket sendiri untuk meringankan beban keluarga.  Alhamdulillah, kerana  saya juga ditawarkan biasisiwa JPA.

MENJELAJAH SELURUH MALAYSIA
 Sewaktu di USM, niat saya untuk menjejakkan kaki ke semua negeri di Malaysia telah tertunai.  Bukan sebab saya berduit, tetapi disebabkan pelbagai faktor lain. Paling jauh saya pergi semasa belajar di sini adalah ke Universiti Prince of Songkhla, Narathiwat.  Pada masa itu saya mengikuti persembahan kebudayaan di bawah bimbingan Istana Budaya USM, Pulau Pinang.  Seronok tak terkata dapat menjejakkan kaki ke Thailand.  Saya mengenali beberapa orang pelajar Thailand yang belajar di situ.  Mereka sangat peramah dan berbudi bahasa, malah mudah menghulurkan bantuan.
Saya juga berpeluang mengikuti projek bakti siswa di Kundasang, Ranau yang dianjurkan oleh Desa Siswa Aman.  Pengalaman mendaki puncak Kinabalu tidak ternilai harganya.  Malangnya semua gambar kenangan sewaktu di Gunung Kinabalu musnah.  Sedikit-sebanyak saya mengenali kaum Kadazan Dusun, pertanian di sekitar Kundasang, tarian Sumazau, makanan tempatan dan bahasa Dusun yang sangat asing dan pertama kali didengari.  Wah, seronoknya berjalan!  Banyak yang saya pelajari.
“Tinggi-tinggi Gunung Kinabalu, tinggi lagi sayang pada kamu”.
Suatu ketika semasa musim buah-buahan, seorang abang senior dalam kelas kami mempelawa kami ke rumahnya.  Oh, pucuk  dicita ulam mendatang!  Saya, Hasnita dan  Idora ibarat kecil  tapak tangan, nyiru ditadahkan.  Rumah abang Jamsari terletak di sebuah kampung di Perlis.  Kami menikmati pemandangan sawah padi  menguning yang sangat mendamaikan.  Keluarga abang Jamsari melayani kami dengan sangat baik, malah kami dibawa berjalan-jalan ke Gua Gelam. 
Pada tahun 1997, saya berpeluang ke negeri Trengganu menyertai sebuah pementasan teater di bawah pimpinan abang Helmi.  Pelakon utama teater yang bertajuk ‘Kena Main’ itu ialah Raja Azura yang kami panggil Kak Engku.  Saya juga pernah ke Johor Baharu kerana mengikuti persembahan kebudayaan.
Demikianlah kisah ‘berjalan-jalan’ saya pada awalnya.  Pada zaman remaja, kisah kembara itu tidak saya terjemahkan melalui sudut agama.  Saya hanya berseronok melihat tempat orang.  Hanya seronok sajalah yang saya dapat.

ERTI KEMBARA YANG SEBENARNYA
Travel while you’re young and able,
Don’t worry about the money, just make it work,
Experience is far more valuable than money will ever be.
Saya suka sekali dengan falsafah di atasPengalaman jauh lebih berharga daripada wang ringgit.  Dalam usia yang sudah menginjak asar ini, saya masih suka berjalan-jalan, suka mengembara dan melihat-lihat  tempat orang. 
Banyak juga tempat yang sudah saya lawati.  Sungguh saya bersyukur  tinggal di bumi Malaysia ini apabila meihatkan penderitaan dan kesusahan orang Muslim di Kemboja.  Sungguh saya bersyukur dengan kehidupan ini apabila ada lagi umat yang susah hidupnya di tempat lain.
Ada juga  suara-suara sumbang mengatakan hobi saya ini membazir, dan membuang-buang duit.  Terpulanglah!  Masing-masing ada pegangan dan pendapat sendiri.  Saya memang suka memberitahu anak-anak dan pelajar-pelajar saya supaya belajar bersungguh-sungguh, dapatkan kerja yang baik, kumpul duit dan mengembaralah untuk melihat keindahan ciptaan ALLAH SWT ini.
Kembara di saat ini hanya bertujuan supaya saya lebih dekat dengan Yang Maha Mencipta. Kembara ini supaya bertambah ilmu, pengetahuan dan pengalaman saya. Kembara ini supaya bertambah keimanan dan ketakwaanku kepada-MU Ya Rabbi.

Namun yang  pasti, suatu hari kita akan berkembara ke tempat yang paling abadi.  ALLAHU AKHBAR!

1 comment: