Subhanallah! Lamanya dah tak menulis panjang-panjang...blog kita pun dah bersawang. Rasa mecam nak menceceh-ceceh sikit tentang betapa excitednya saya sekarang kalau dapat berjalan-jalan walaupun duit tak berapa ada...hukhukhuk...Ingat zaman kecik-kecik dulu, saat-saat hidup serba-serbi tak cukup, apabila ayah cakap minggu depan nak ke Kuala Krau, mmmm kita dah start membilang hari. Padahal Kuala Krau tu pekan kecil je pun...
 |
Kenangan di Beijing |
*********************************************************************************
Saya ada tahi lalat di tapak kaki
kanan. Ayah pernah berkata, “Tahi
lalat kat kaki ni petanda orang tu suka berjalan jauh”. Saya menjebik sahaja tanda tak bersetuju
langsung dengan kata-kata ayah. Mana
tidaknya. Sepanjang bersekolah rendah semasa berada di Felda
Jenderak Selatan, boleh dibilang dengan jari sahaja kami ke Temerloh. Paling jauh saya pergi pun adalah ke Teluk Cempedak,
ikut rombongan sekolah.
Seingat saya, masa di sekolah
rendah hanya sekali sahaja ayah bawa kami ke Pekan Sehari Temerloh yang berada
di sepanjang Sungai Temerloh. Ayah
belanja kami makan sate selepas dapat duit menjual getah sekerap. Ayah membonceng kami berempat menaiki
motosikal Scramblernya. Saya masih ingal
lagi nombor platnya.
Pada masa itu jarang-jarang ada
‘road block’. Selamba jer ayah membawa
kami empat beranak menunggang motosikal (ayah, emak, saya dan adik perempuan
saya Jina) walaupun hal itu merupakan
satu kesalahan. Kalau pulang ke kampung
di Kuala Medang, saya dan Jina suka ikut ayah membasuh motosikal ayah di Sungai
Jelai. Kami pura-pura saja nak tolong
ayah, sebenarnya kami seronok nak main
air, nak mandi sungai.
HILANG
Motosikal ayah yang diletakkan di
bawah rumah hilang pada suatu pagi.
Meraung ayah kerana motosikal kesayangannya dicuri orang. Emak pula kelu, diam seribu bahasa. Keadaan kami seolah-olah sudah jatuh ditimpa
tangga. Sudahlah hidup susah, motosikal
buat mencari rezeki pula dikebas orang.
Kami sekeluarga sedih tak terkata
kerana motosikal itulah yang ayah gunakan untuk ke ladang getah menoreh, selain
turut digunakan untuk balik ke kampung di Kuala Medang, menghantar kami ke
sekolah, membeli barang makanan di kedai runcit felda dan hal-hal lain.
Menurut ayah, dia tahu perbuatan
orang yang mencuri motorsikalnya itu. “Biarlah
ALLAH ada”, kata ayah walaupun nadanya jelas kecewa. Sudah menginjak remaja barulah saya tahu orang yang mencuri motorsikal itu
merupakan jiran dekat kami.
Patutlah hidupnya susah sampai
sekarang. Memang tak berkat
perbuatannya menganiayai orang lain,
tambahan pula jiran tetangga. Selepas
kehilangan motorsikal itu, Pak De Ibrahim, abang kepada ayah menghulurkan
sebuah motor buruknya untuk kegunaan harian ayah. Ya ALLAH, sedih betul mengenangkan zaman
kemiskinan kami semasa di felda dulu. Masa
mula-mula berpindah, paip air di depan rumah dikongsi bersama lima enam jiran
tetangga. Aduh, seksa sungguh terpaksa
bergilir-gilir menadah air!
Trak askar hampir saban bulan
masuk ke sini kerana khabarnya masih ada saki-baki komunis di hutan. Setiap kali mat-mat askar ini berkhemah di
hutan getah bersebelahan rumah, kami selalu diberi biskut dan beberapa tin
makanan dalam tin. Jadi, saya dan
kawan-kawan sebenarnya teruja juga
dengan kehadiran trak askar ini sebab kami pasti beroleh makanan percuma.
Masa kecil dulu, jangankan ke
Temerloh, ke Pekan Sehari Kuala Krau yang jaraknya 12 km dari rumah pun
jarang-jarang kami dapat pergi. Tambah-tambah
selepas ayah kehilangan motosikal Scrambler kesayangannya. Motor buruk Pak De Ibrahim tak mampu membawa
kami pergi jauh.
ROMBONGAN
SEKOLAH
Semasa saya darjah lima, Sekolah Kebangsaan Felda
Jenderak Selatan mengadakan rombongan ke Teluk Cempedak, Kuantan. Ya ALLAH, terujanya saya nak pergi. Seumur hidup saya belum pernah melihat pantai
dan laut. Malangnya rombongan itu sudah
penuh kerana pelajar-pelajar lain pantas
mendaftarkan nama dan membayar tambang.
Saya berasa kecewa. Punah impian untuk menyaksikan laut yang
membiru sebagaimana yang tergambar dalam buku-buku yang saya baca. Dengki betul mendengar cerita kawan-kawan
tentang persiapan dan keterujaan mereka untuk ke Teluk Cempedak. Sibuk betul mereka bersembang dalam kelas
perihal rombongan itu.
Namun suatu hari saya mendapat
tahu ada seorang kawan bernama Fauzi yang ingin menarik diri dari rombongan
tersebut kerana dia ada urusan. Wah,
saya masih ada peluang! Saya segera
bertemu seorang guru yang menguruskan rombongan tersebut. Hasrat hati saya ingin menggantikan
tempatnya, pandai-pandai sahaja saya
buat keputusan, padahal emak dan ayah belum tentu bersetuju.
Cikgu Karim meminta saya
membayarkan sepuluh ringgit kepada Fauzi yang telah pun menarik diri jika saya
betul-betul berminat untuk mengikuti rombongan tersebut. Saya ternganga. Sepuluh ringgit tersangat mahal. Mana nak korek duit dalam masa yang terdekat
ni. Saya hanya berdoa supaya emak dan
ayah bersetuju serta mengizinkan saya pergi walhal saya tahu mereka memang
susah dan selalu tiada duit.
Sepanjang hari di sekolah saya
bermenung sambil berharap semoga emak dan ayah ada tiba-tiba ada lebihan
duit. “Ya ALLAH, bantulah aku, aku nak
tengok laut”, doa saya di dalam hati.
TRICK
Sepanjang berada di rumah saya
monyok saja dengan harapan mak dan ayah akan perasan perubahan saya dan
bertanya sebabnya. Saya tak mahu keluar
bermain pada waktu petang, tak nak makan dan banyak berdiam. Muka saya masam mencuka. Ya, emak akhirnya sedar anak perempuan
sulungnya ini berkerenah sepanjang
petang itu!
Sungguh tak diduga helah saya itu
menjadi. Apabila emak mengajukan
permintaan saya kepada ayah, ayah tiba-tiba bersetuju membenarkan saya pergi
sebagai upah kerana saya kerap mengikutnya mengutip getah sekerap di ladang
setiap hujung minggu. Sebagai anak
sulung, ayah dan emak tak pernah memanjakan saya. Saya diajar berkerja sejak kecil lagi.
Ya ALLAH! ALLAH SWT mendengar rayuan hati saya. Saya gembira bukan kepalang. Tercapai juga hasrat hati untuk ke Teluk
Cempedak melihat laut yang membiru sebagaimana yang tergambar dalam buku. Mulai saat itu saya menghitung hari. Lambat pula rasanya masa berlalu.
ROMBONGAN KE
TELUK CEMPEDAK
Hari yang ditunggu akhirnya
tiba. Wah, bukan main suka lagi
budak-budak yang akan mengikuti rombongan!
Seawal pagi kami sudah menunggu di tapak perhimpunan sekolah. Bas rombongan sudah bersedia di luar
sekolah. Ibu bapa pelajar turut
menghantar anak masing-masing siap dengan bekalan makanan. Macamlah jauh sangat! Begitulah terujanya masing-masing.
Emak juga macam orang lain. Saya dibekalkan nasi putih dan ayam masak
kicap. Sewaktu bas mulai bergerak, saya
nampak emak melambai-lambai sehinggalah kami hilang dari pandangan
matanya. Sayu pula hati saya kerana saya
tidak tahu dari mana emak dan ayah mendapatkan duit membayar tambang. Rasa bersalah terselit dalam diri kerana demi
memenuhi impian hati, saya sudah menyusahkan emak dan ayah. Maafkan saya emak!
Sepanjang perjalanan, sepicing
pun saya tidak tidur, mata membulat melihat pemandangan di kiri dan kanan
terutamanya sewaktu melintasi bandar Temerloh.
Amboi, banyaknya bangunan!
Akhirnya sampai juga kami ke
Teluk Cempedak. Oh, begini rupanya pantai
dan laut! Ternganga mulut saya melihat
ombak menderu-deru menghempas pantai.
Saya jamah air laut untuk memastikan betul ke tidak airnya masin sebagaimana
yang dikatakan oleh cikgu. Saya juga
sempat mengutip beberapa tapak sulaiman dan akhirnya kembali membuangnya ke laut.
Saya gembira betul. Hajat hati
sudah tertunai. Sepanjang di Kuantan,
saya tidak membeli apa-apa pun. Cukuplah
sekadar saya dapat melihat laut. Puas
sudah rasanya hati.
LANGKAH SEMAKIN
PANJANG
Semasa di tingkatan tiga di
Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krau, saya berpeluang ke daerah Pekan. Pada waktu itu saya terpilih mewakili daerah Temerloh ke
pertandingan bola jaring peringkat negeri Pahang. Latihan pusat selama dua minggu diadakan di
Sekolah Menengah Vokasional Puteri di Temerloh.
Saya tahu bahawa Pekan ini merupakan Bandar diraja Pahang melalui buku
Sejarah yang dibaca.
Seronok dan terujanya budak
kampung macam saya ini dapat menumpang belajar sambil menjalani latihan bola
jaring di sekolah bandar. Banyak kawan yang saya peroleh melalui sukan bola jaring
ini. Pergaulan saya semakin luas. Peluang berjalan dan bermain bola jaring di
daerah Pekan sangat menggembirakan kerana saya tak perlu mengeluarkan duit
sendiri untuk berjalan-jalan.
Perlahan-lahan saya dapati yang
saya ini memang suka berjalan-jalan melihat tempat orang. Tambahan pula semasa subjek Geografi, guru
India saya yang bernama Cikgu Sasuraja begitu banyak memperkenalkan kami dengan
nama-nama negara yang tak pernah saya dengar.
Saya jadi teruja. Amerika
Syarikat, Britain, Kanada, Jepun, Norway, Australia, Switerzland, dan banyak
lagi yang disebutkan oleh beliau. Saya
melopong! Kat manalah negara-negara ni?
Syoknya kalau dapat pergi ke sana.
Tapi orang miskin macam saya ini ada ke peluang?
Semasa di tingkatan lima dan enam,
setiap kali bercuti panjang, saya akan ke Bentong untuk berkerja. Saya ada seorang makcik yang mempunyai kedai
makan di Bentong. Peluang mencari duit
di kedai makan tidak saya sia-siakan.
Macam-macam kerja saya buat di sana.
Basuh pinggan, cuci lantai, potong sayur, susun kerusi meja, kemas
dapur, membantu ambil order, tolong memasak dan banyak lagi. Macam-macam ilmu dan pengalaman yang saya
peroleh. Antaranya saya belajar mengelim
karipap dan buat popia. Saya belajar
buat teh tarik.
Di Bentong juga saya menyaksikan keluarga Makcik
Ana (bukan nama sebenar) yang mengabaikan agama menjadi huru-hara. Sedih kalau nak diceritakan perihal keluarga
makcik Ana. Saya jadi insaf melihat
makcik Ana yang sudah tua tetapi tidak bersolat. Anak-anaknya rosak kerana dadah dan pergaulan
sosial. Anak bongsunya mengandung luar
nikah. Sungguh saya jadi ngeri! Maklumlah budak kampung.
Namun yang menyeronokkan saya
adalah apabila keluarga makcik Ana membawa saya bercuti ke Melaka. Amboi, seronoknya saya dapat melawat kota
A’Famosa, berjalan-jalan di Tanjung Bidara dan pusing-pusing di sekitar bandar
Melaka! Mahal betul pengalaman ini! Mana saya sangka dapat berjalan-jalan ke kota
ini. Nama Melaka ini banyak kali saya
jumpa dalam buku Sejarah. Kali ini saya
sudah dapat menjejakkan kaki ke bumi Hang Tuah ini.
TERHINA ITU
HIKMAH
Saya semakin sedar bahawa saya
mempunyai keinginan yang kuat untuk mengembara bukan sekadar dalam negara. Angan-angan saya sudah jauh merentasi
sempadan. Justeru itu, saya harus
mengubah nasib.
Kemiskinan tidak akan membawa
saya ke mana-mana. Keinginan untuk
belajar bersungguh-sungguh bukan sekadar untuk mengubah nasib keluarga, tetapi
didorong oleh keinginan untuk berjalan-jalan.
Namun saya buntu. Saya akan kekal
miskin selagi belum berkerja.
Perasaan terhina sewaktu
menumpang sebuah kereta jiran untuk ke bandar Temerloh kekal dalam lipatan
kenangan dan menjadi pembakar semangat saya untuk memperbaiki keadaan diri dan
keluarga. Kerana berasa terhina, ayah,
emak dan saya turun dari kereta jiran
itu, lalu menunggu bas di simpang tiga jalan.
Saya rasa sangat sebak melihat muka ayah yang merah padam menahan penghinaan. Ayah berkali-kali berpesan;
“Tengoklah Tun, orang hina kita sebab kita
miskin. Nak menumpang kereta pun orang
tak suka. Belajarlah sungguh-sungguh, dapat kerja
baik-baik. Jangan miskin macam ayah,
ayah tak ada harta”.
Saya rasa macam nak meraung masa
itu. Hati rasa terbuku kerana hidup
miskin menyebabkan kami selalu dan terpaksa
menumpang orang. Saya berjanji
suatu hari nanti, saya akan keluar dari
kepompong kemiskinan ini. Saya nak
membanggakan ayah dan emak.
Niat saya untuk masuk universiti
tercapai jua. Saya berasa bangga
kerana langkah pertama untuk keluar dari belenggu kesusahan sudah nampak
jalannya. Namun perasaan bangga sekejap
sahaja bertandang. Akhirnya saya kembali
bersedih. Saya hampir-hampir gagal
mendaftar di universiti kerana tiada duit.
Emak bergolok bergadai untuk memastikan impian saya belajar di
universiti tercapai. Ayah pula ke sana
ke mari menebal muka meminta pinjam duit.
USM, PULAU
PINANG
Akhirnya saya berjaya juga mendaftarkan
diri sebagai pelajar Komunikasi Massa di Pulau Pinang. Keterujaan menjadikan USM sebagai destinasi
menuntut ilmu disebabkan terpengaruhnya saya dengan cerita Ali Setan. Melalui filem yang sangat meletup pada zaman
itu, saya mengenali Bukit Bendera, Padang Kota, USM, dan Pulau Pinang secara
umum.
Terujanya saya dengan nama Pulau
Pinang. Semasa di sekolah rendah di
Felda Jenderak Selatan, Cikgu Osman Kechik telah menubuhkan pasukan boria di
kelas saya. Setiap kali Hari Anugerah
diadakan, saya dan kawan-kawan lain bersemangat menyampaikan persembahan boria. Khairuddin Mamat ialah penyanyi utama
kumpulan boria kami. Dari situ saya tahu
bahawa Boria ini merupakan kebudayaan orang Penang.
Saya turut berangan-angan untuk
menjadi pelajar ‘Masscom’ sebagaimana watak Ogy Ahmad Daud dan Azmil Mustapha
dalam filem berkenaan. ALLAHU AKHBAR. Demikianlah jiwa remaja. Namun ALLAH SWT memperkenankan niat saya
itu. Saya berjaya ke USM sebagaimana yang diimpikan.
Kemudiannya saya mendaftar
penginapan di Desa Siswa Aman. Bermulalah kehidupan saya sebagai mahasiswa
selama empat tahun. Bahkan selama itu, saya tidak berhenti mencari duit
poket sendiri untuk meringankan beban keluarga.
Alhamdulillah, kerana saya juga
ditawarkan biasisiwa JPA.
MENJELAJAH
SELURUH MALAYSIA
Sewaktu di USM, niat saya untuk menjejakkan
kaki ke semua negeri di Malaysia telah tertunai. Bukan sebab saya berduit, tetapi disebabkan
pelbagai faktor lain. Paling jauh saya pergi semasa belajar di sini adalah ke Universiti
Prince of Songkhla, Narathiwat.
Pada masa itu saya mengikuti persembahan kebudayaan di bawah bimbingan
Istana Budaya USM, Pulau Pinang. Seronok
tak terkata dapat menjejakkan kaki ke Thailand.
Saya mengenali beberapa orang pelajar Thailand yang belajar di
situ. Mereka sangat peramah dan berbudi
bahasa, malah mudah menghulurkan bantuan.
Saya juga berpeluang mengikuti
projek bakti siswa di Kundasang, Ranau yang dianjurkan oleh Desa Siswa
Aman. Pengalaman mendaki puncak Kinabalu
tidak ternilai harganya. Malangnya semua
gambar kenangan sewaktu di Gunung Kinabalu musnah. Sedikit-sebanyak saya mengenali kaum Kadazan
Dusun, pertanian di sekitar Kundasang, tarian Sumazau, makanan tempatan dan
bahasa Dusun yang sangat asing dan pertama kali didengari. Wah, seronoknya berjalan! Banyak yang saya pelajari.
“Tinggi-tinggi Gunung Kinabalu, tinggi
lagi sayang pada kamu”.
Suatu ketika semasa musim
buah-buahan, seorang abang senior dalam kelas kami mempelawa kami ke
rumahnya. Oh, pucuk dicita ulam mendatang! Saya, Hasnita dan Idora ibarat kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan. Rumah abang Jamsari terletak di sebuah
kampung di Perlis. Kami menikmati
pemandangan sawah padi menguning yang
sangat mendamaikan. Keluarga abang
Jamsari melayani kami dengan sangat baik, malah kami dibawa berjalan-jalan ke
Gua Gelam.
Pada tahun 1997, saya berpeluang
ke negeri Trengganu menyertai sebuah pementasan teater di bawah pimpinan abang
Helmi. Pelakon utama teater yang
bertajuk ‘Kena Main’ itu ialah Raja
Azura yang kami panggil Kak Engku. Saya
juga pernah ke Johor Baharu kerana mengikuti persembahan kebudayaan.
Demikianlah kisah ‘berjalan-jalan’
saya pada awalnya. Pada zaman remaja,
kisah kembara itu tidak saya terjemahkan melalui sudut agama. Saya hanya berseronok melihat tempat
orang. Hanya seronok sajalah yang saya
dapat.
ERTI KEMBARA
YANG SEBENARNYA
Travel
while you’re young and able,
Don’t
worry about the money, just make it work,
Experience
is far more valuable than money will ever be.
Saya suka sekali dengan falsafah
di atas.
Pengalaman jauh lebih berharga daripada wang ringgit. Dalam usia yang sudah menginjak asar ini,
saya masih suka berjalan-jalan, suka mengembara dan melihat-lihat tempat orang.
Banyak juga tempat yang sudah
saya lawati. Sungguh saya bersyukur tinggal di bumi Malaysia ini apabila
meihatkan penderitaan dan kesusahan orang Muslim di Kemboja. Sungguh saya bersyukur dengan kehidupan ini
apabila ada lagi umat yang susah hidupnya di tempat lain.
Ada juga suara-suara sumbang mengatakan hobi saya ini
membazir, dan membuang-buang duit.
Terpulanglah! Masing-masing ada
pegangan dan pendapat sendiri. Saya
memang suka memberitahu anak-anak dan pelajar-pelajar saya supaya belajar
bersungguh-sungguh, dapatkan kerja yang baik, kumpul duit dan mengembaralah
untuk melihat keindahan ciptaan ALLAH SWT ini.
Kembara di saat ini hanya
bertujuan supaya saya lebih dekat dengan Yang Maha Mencipta. Kembara ini supaya
bertambah ilmu, pengetahuan dan pengalaman saya. Kembara ini supaya bertambah
keimanan dan ketakwaanku kepada-MU Ya Rabbi.
Namun yang pasti, suatu hari kita akan berkembara ke
tempat yang paling abadi. ALLAHU AKHBAR!