Tuesday, 5 August 2014

" JAUHNYA MEREKA BERJALAN "

SUARA HATIKU….

" JAUHNYA MEREKA BERJALAN "

As Salam sahabat-sahabat…kita masih lagi dalam mood Syawal..Maaf Zahir Batin daripada saya hamba Allah yang hina ini...sekalung tahniah kepada sahabat-sahabat yang berjaya  berpuasa enam…budaya bertadarus nampaknya sudah reda..tidak lagi rancak seperti di bulan Ramadan…sepatutnya budaya mengaji..menyemak bacaan tajwid dan bertadarus ini perlu dikekalkan bukan sekadar di bulan puasa sahaja…jangan malu untuk terus belajar..proses belajar tidak pernah berhenti sehinggalah kita menutup mata..

Kali ini ini saya ingin berkongsi kisah tentang dua orang wanita gigih yang berusaha untuk belajar mengaji..Kisah mereka sarat dengan motivasi dan iktibar bagi yang ingin mengambil pengajaran.  

           Saya menyertai kumpulan mengaji di masjid kampung saya pada penghujung tahun 2012. Kelas mengaji al-Quran untuk kaum ibu ini diadakan pada hari Isnin, Selasa dan Rabu, manakala kelas Tajwid diadakan pada hari Jumaat. Pada hari Khamis pula kaum-kaum ibu akan belajar marhaban. Kelas mengaji ini kebanyakannya dihadiri oleh makcik-makcik yang berumur 50 , 60 dan 70 tahun ke atas. Kelas mengaji ini bermula pukul 2.30 petang sehingga waktu Asar. Kemudian mereka akan solat Asar berjemaah di masjid. 

          Bilangan makmum lelaki sangat menyedihkan. Tidak ramai yang menyedari atau buat-buat tidak sedar tentang kepentingan solat berjemaah sedangkan jika mereka mengetahui ganjarannya, mungkin mereka akan datang walaupun terpaksa merangkak ke masjid.

        Saya bukanlah begitu konsisten menghadiri kelas ini. Ada kalanya dalam seminggu saya langsung tidak dapat hadir kerana tuntutan kerja di sekolah. Ada kalanya jika ada mesyuarat atau aktiviti di sekolah, saya sampai ke rumah pada pukul 6.00 petang. Adakalanya saya tidak datang mengaji bukan kerana ada apa-apa urusan di sekolah, tetapi dek kerana melayan perasaan letih, mengantuk dan malas menyebabkan saya lebih selesa terbongkang di dalam bilik.

          Terselit juga rasa rugi sebab tidak pergi mengaji tetapi nafsu tidur lebih besar. Begitulah lemahnya iman. Melayan tidur dirasakan lebih enak daripada belajar mengaji. Syaitan pun tersenyum gembira kerana seorang hamba Allah telah terpedaya. Walau bagaimanapun ada sesuatu yang menyebabkan saya begitu kagum. Kegigihan dan komitmen yang tinggi seorang makcik tua iaitu Mak Long Seripah bersama anak perempuannya yang kami panggil kak Ngah berjalan kaki ke masjid sewajarnya dijadikan iktibar bagi yang celik mata hatinya.

        Kedua-dua beranak ini tinggal di sebuah kampung terpencil iaitu Kampung Ketuyung. Jarak dari kampung Ketuyung ke masjid Kuala Medang lebih kurang 3 km. Setiap hari tanpa mengira panas dan hujan mereka akan berjalan kaki untuk belajar mengaji di masjid. Biasanya Mak Long Seripah dan Kak Ngah menolak jika ada sesiapa yang ingin menghantar mereka ke masjid atau menghantar pulang dari masjid. Seakan-akan mereka tidak mahu terhutang budi atau menyusahkan sesiapa.

Benarlah kata peribahasa;
“Kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih.”
Kesungguhan untuk mengaji al-Quran menggerakkan Mak Long Seripah untuk berjalan kaki dalam jarak yang agak jauh dengan kudrat tuanya. Dia dan anaknya tidak menjadikan jarak yang jauh atau usia tuanya sebagai penghalang atau alasan untuk mencari ilmu. Saya pasti usaha mereka berjalan kaki ke masjid akan diberi ganjaran yang besar oleh Allah SWT. Setiap kali bertembung dengan mereka berdua sewaktu pulang dari sekolah, hati saya segera berbisik;

             “ Subhanallah, gigihnya mereka, sanggup berjalan kaki belajar mengaji ”

       Sungguhlah kasihan kepada orang-orang yang hatinya terhijab daripada mencari ilmu. Seribu satu alasan berbaur keduniaan diberi untuk menipu hati sendiri. Letih, penat, banyak kerja, tidak ada masa, malu sebab tidak pandai mengaji, tidak minat, jaga cucu, sibuk cari duit, muda lagi belum nak mati, dan macam-macam lagi alasan. Lebih malang ada golongan yang bukan sahaja tidak berusaha mencari ilmu malah memperlekeh pula orang lain yang ingin berbuat kebaikan. Ada orang yang rumahnya hanya di kiri , kanan , di depan dan di belakang masjid sahaja., namun jika kesedaran tiada, maka tidaklah mereka terpanggil untuk belajar mengaji. Ada yang tiada masa untuk mencari ilmu, tetapi banyak pula masa bertunggu- tangga di hadapan rumah orang. Kasihan!

       Kisah Mak Long Seripah dan Kak Ngah membuka mata saya setiap kali saya berura -ura memberi alasan remeh untuk ponteng kelas mengaji. Mereka sanggup berjalan kaki, saya pula memandu kereta. Saya jauh lebih muda berbanding mereka. Jika saya kepenatan, mereka jauh lebih penat kerana bekerja kampung. Tambahan pula mereka hanya berjalan kaki ke masjid. Setiap kali pulang dari sekolah, hati saya segera sahaja memberi isyarat;

“Rehat, pasang pendingin hawa dan tidur...kan baru balik dari sekolah...mata
mengantuk, badan penat.”

         Tanpa disedari kedua-dua anak-beranak itu sebenarnya menjadi sumber inspirasi kepada saya tatkala ada bisikan-bisikan halus supaya santai - santai sahaja di rumah selepas pulang dari sekolah.
Sesungguhnya dunia ini bukanlah tempat kita untuk berehat-rehat dan bersantai-santai. Sesungguhnya amatlah rugi seandainya kita membiarkan masa yang berlalu begitu sahaja tanpa pengisian ilmu, amalan dan bekalan untuk akhirat. Sesungguhnya sangatlah sia sia jika sepanjang masa kita sentiasa memberikan alasan; 
                                  “Saya tidak ada masa”

       Maka berbahagialah orang yang sentiasa belajar, sentiasa mencari ilmu dan menghadiri majlis-majlis ilmu. Hal ini kerana;

“ Sesiapa yang menempuh satu jalan kerana mencari ilmu, maka Allah akan
memudahkan baginya jalan ke syurga ”

                                                                                                                       ( Riwayat Muslim )

3 comments:

  1. usaha meletakkan diri sendiri dalam majlis ilmu ada tangunggjawan kita ke atas diri kita sendiri... moga kita direzkikan untuk istiqomah menghadiri mana2 majlis ilmu.

    keberadaan kita didalam majlis ilmu itu juga merupakan rahmat Allah yang tidak tehingga nilainya. kita harus syukur kerana allah pilih kita untuk berada didalamnya.

    ReplyDelete
  2. ... serta mari kita doakan moga2 allah ya fatah membuka jalan kepada sahabat2 kita yang lain untuk turut serta hadir dlm majlis ilmu...

    ReplyDelete