SUARA HATIKU….
" JAUHNYA MEREKA BERJALAN "
As Salam sahabat-sahabat…kita masih lagi
dalam mood Syawal..Maaf Zahir Batin daripada saya hamba Allah yang hina
ini...sekalung tahniah kepada sahabat-sahabat yang berjaya berpuasa enam…budaya bertadarus nampaknya
sudah reda..tidak lagi rancak seperti di bulan Ramadan…sepatutnya budaya
mengaji..menyemak bacaan tajwid dan bertadarus ini perlu dikekalkan bukan
sekadar di bulan puasa sahaja…jangan malu untuk terus belajar..proses belajar
tidak pernah berhenti sehinggalah kita menutup mata..
Kali ini ini saya ingin berkongsi kisah
tentang dua orang wanita gigih yang berusaha untuk belajar mengaji..Kisah
mereka sarat dengan motivasi dan iktibar bagi yang ingin mengambil pengajaran.
Saya menyertai kumpulan mengaji di masjid kampung saya
pada penghujung tahun 2012. Kelas mengaji al-Quran untuk kaum ibu ini
diadakan pada hari Isnin, Selasa dan Rabu, manakala kelas Tajwid diadakan pada hari Jumaat.
Pada hari Khamis pula kaum-kaum ibu akan belajar marhaban. Kelas mengaji ini
kebanyakannya dihadiri oleh makcik-makcik yang berumur 50 , 60 dan 70 tahun ke atas. Kelas mengaji ini bermula pukul 2.30 petang sehingga
waktu Asar. Kemudian mereka akan solat Asar berjemaah di masjid.
Bilangan
makmum lelaki sangat menyedihkan. Tidak ramai yang menyedari atau buat-buat tidak sedar
tentang kepentingan solat berjemaah sedangkan jika mereka mengetahui ganjarannya, mungkin
mereka akan datang walaupun terpaksa merangkak ke masjid.
Saya bukanlah begitu konsisten menghadiri kelas ini. Ada
kalanya dalam seminggu saya langsung tidak dapat hadir kerana tuntutan kerja
di sekolah. Ada kalanya jika ada mesyuarat atau aktiviti di sekolah, saya sampai ke
rumah pada pukul 6.00 petang. Adakalanya saya tidak datang mengaji bukan kerana ada
apa-apa urusan di sekolah, tetapi dek kerana melayan perasaan letih, mengantuk dan malas
menyebabkan saya lebih selesa terbongkang di dalam bilik.
Terselit juga rasa rugi sebab tidak pergi mengaji
tetapi nafsu tidur lebih besar. Begitulah lemahnya iman. Melayan tidur dirasakan lebih
enak daripada belajar mengaji. Syaitan pun tersenyum gembira kerana seorang hamba
Allah telah terpedaya. Walau bagaimanapun ada sesuatu yang menyebabkan saya
begitu kagum. Kegigihan dan komitmen yang tinggi seorang makcik tua iaitu Mak
Long Seripah bersama anak perempuannya yang kami panggil kak Ngah berjalan kaki
ke masjid sewajarnya dijadikan iktibar bagi yang celik mata hatinya.
Kedua-dua beranak ini tinggal di sebuah kampung
terpencil iaitu Kampung Ketuyung. Jarak dari kampung Ketuyung ke masjid Kuala
Medang lebih kurang 3 km. Setiap hari tanpa mengira panas dan hujan mereka akan
berjalan kaki untuk belajar mengaji di masjid. Biasanya Mak Long Seripah dan Kak Ngah
menolak jika ada sesiapa yang ingin menghantar mereka ke masjid atau menghantar pulang
dari masjid. Seakan-akan mereka tidak mahu terhutang budi atau menyusahkan sesiapa.
Benarlah kata peribahasa;
“Kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu
dalih.”
Kesungguhan untuk mengaji al-Quran menggerakkan Mak
Long Seripah untuk berjalan kaki dalam jarak yang agak jauh dengan kudrat
tuanya. Dia dan anaknya tidak menjadikan jarak yang jauh atau usia tuanya sebagai
penghalang atau alasan untuk mencari ilmu. Saya pasti usaha mereka berjalan kaki ke masjid
akan diberi ganjaran yang besar oleh Allah SWT. Setiap kali bertembung dengan mereka berdua
sewaktu pulang dari sekolah, hati saya segera berbisik;
“ Subhanallah, gigihnya mereka, sanggup berjalan kaki
belajar mengaji ”
Sungguhlah kasihan kepada orang-orang yang hatinya
terhijab daripada mencari ilmu. Seribu satu alasan berbaur keduniaan diberi untuk
menipu hati sendiri. Letih, penat, banyak kerja, tidak ada masa, malu sebab tidak pandai
mengaji, tidak minat, jaga cucu, sibuk cari duit, muda lagi belum nak mati, dan macam-macam lagi
alasan. Lebih malang ada golongan yang bukan sahaja tidak
berusaha mencari ilmu malah memperlekeh pula orang lain yang ingin berbuat
kebaikan. Ada orang yang rumahnya hanya di kiri , kanan , di depan dan di belakang masjid
sahaja., namun jika kesedaran tiada, maka tidaklah mereka terpanggil untuk belajar mengaji. Ada
yang tiada masa untuk mencari ilmu, tetapi banyak pula masa bertunggu- tangga di hadapan
rumah orang. Kasihan!
Kisah Mak Long Seripah dan Kak Ngah membuka mata saya
setiap kali saya berura -ura memberi alasan remeh untuk ponteng kelas mengaji.
Mereka sanggup berjalan kaki, saya pula memandu kereta. Saya jauh lebih muda berbanding
mereka. Jika saya kepenatan, mereka jauh lebih penat kerana bekerja kampung. Tambahan pula
mereka hanya berjalan kaki ke masjid. Setiap kali pulang dari sekolah, hati saya segera
sahaja memberi isyarat;
“Rehat, pasang pendingin hawa dan tidur...kan baru
balik dari sekolah...mata
mengantuk, badan penat.”
Tanpa disedari kedua-dua anak-beranak itu sebenarnya menjadi
sumber inspirasi kepada saya tatkala ada bisikan-bisikan halus supaya
santai - santai sahaja di rumah selepas pulang dari sekolah.
Sesungguhnya dunia ini bukanlah tempat kita untuk
berehat-rehat dan bersantai-santai. Sesungguhnya amatlah rugi seandainya kita membiarkan
masa yang berlalu begitu sahaja tanpa pengisian ilmu, amalan dan bekalan untuk
akhirat. Sesungguhnya sangatlah sia sia jika sepanjang masa kita sentiasa memberikan alasan;
“Saya
tidak ada masa”
Maka berbahagialah orang yang sentiasa belajar, sentiasa mencari ilmu dan menghadiri majlis-majlis ilmu. Hal ini kerana;
“ Sesiapa yang menempuh satu jalan kerana mencari
ilmu, maka Allah akan
memudahkan baginya jalan ke syurga ”
( Riwayat Muslim )
usaha meletakkan diri sendiri dalam majlis ilmu ada tangunggjawan kita ke atas diri kita sendiri... moga kita direzkikan untuk istiqomah menghadiri mana2 majlis ilmu.
ReplyDeletekeberadaan kita didalam majlis ilmu itu juga merupakan rahmat Allah yang tidak tehingga nilainya. kita harus syukur kerana allah pilih kita untuk berada didalamnya.
... serta mari kita doakan moga2 allah ya fatah membuka jalan kepada sahabat2 kita yang lain untuk turut serta hadir dlm majlis ilmu...
ReplyDeleteBetul jasmin..
ReplyDelete