Monday, 27 October 2014

ANEON HAI SAIYO...KOREA SELATAN DALAM KENANGAN

SUARA HATIKU

ANEON HAI SAIYO..KOREA SELATAN DALAM KENANGAN...

                “Aneon Hai Saiyo” ... hehe...nak sebut perkataan ini, anda kena melembutkan lidah, suara dan badan. Kalau tak, macam tak berapa nak jadi..dekat seminggu duduk Korea Selatan, baru boleh menyebutnya dengan agak betul.  Aneon hai saiyo ialah ucapan salam yang  popular di negara ini. Lebih kurang macam  ‘hello‘. Apabila menyebutnya, sekali gus kepala ditundukkan sedikit sebagai tanda hormat.

Alhamdulillah..segala puji bagi Allah yang telah mengizinkan kami menjejakkan kaki  ke bumi Korea Selatan yang sangat cantik. Perjalanan ini sangat menyeronokkan kerana  kali ini hero Tamil saya Mohd Aidil Mukhreez turut menemani. Di samping itu saya pergi bersama rakan-rakan sekerja yang sangat menyenangkan, selalu tertawa sepanjang perjalanan dan tidak banyak kerenah.

Kamsa Hamidaa ( bahasa Korea yang bermaksud terima kasih) kepada kak Rohiada yang mempelawa saya mengikuti trip ini..juga buat Mak Tam,  Marisha,  Faziah Jaafar, Adik Liza, Kak Rushuzaini, Kak Nita, dan Zilawati . Kamsa Hamidaa juga buat abang pupu, Aziz Zakaria yang sudi menghantar kami ke KLIA 2.
              
          Perjalanan kami hampir tidak jadi sebenarnya..di saat-saat akhir  ada beberapa orang yang menarik diri. Namun kalau dah rezeki memang tak ke mana..Walaupun terpaksa menambah bayaran, namun masing-masing bersetuju kerana aroma Korea Selatan memang mengujakan. Syukur Ya Allah.

Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada jam 3.25 petang. Rombongan kami disambut oleh Mr. Seven, pemandu pelancong berbangsa Korea. Waktu di Korea Selatan awal sejam berbanding Malaysia. Kami solat Jamak Awal  di lapangan terbang Incheon sebelum di bawa berjalan-jalan menikmati pemandangan di bandar Seoul.

Lawatan dimulakan dengan melawat ke Hello Kitty Cafe iaitu sebuah kafe berkonsepkan watak kartun yang popular. Walau bagaimanapun kami tidak lama di sini kerana pada saya tidak ada yang menariknya di sini. Kemudian kami ke Shinchon Ladies Street iaitu sebuah kawasan membeli-belah yang menawarkan pelbagai fesyen, aksesori, mekap, pelbagai aneka stoking dan gerai-gerai makanan di tepi-tepi jalan. Shinchon Ladies Street ini popular dalam kalangan wanita-wanita muda Korea Selatan yang begitu obses dengan fesyen, aksesori dan kosmetik. Di hujung jalan ini ada sebuah universiti khas untuk wanita sahaja..( ala tak tahu apa namanya )

Aneka stoking dijual di sin0


Saya biarkan saja Mukhreez mengambil gambar dengan telefon Lenovo yang tidak berapa cantik gambarnya. Suka sangat nampaknya anak teruna saya ni..Kami menikmati pemandangan malam di Seoul yang sesak. Pada saya, bandar ini tidak begitu bersih sebagaimana Beijing dan Istanbul. Mungkin kerana kehadiran pelancong luar yang begitu ramai. Peniaga Korea tidak begitu ramah dan mengalu-alukan pelancong. Menurut Mr. Seven budaya tawar-menawar tidak digemari peniaga Korea. Kawan saya si Faziah Jaafar tu beberapa kali dihalau oleh peniaga Korea sebab minta diskaun...haha..nasibla Zie..
Pada malam itu kami ‘check in’ di Coop City Hotel...hotel ni nampak simple dari luar tetapi biliknya...wow!!!  Namun macam biasalah... perjalanan yang panjang tanpa rehat menyebabkan saya sakit kepala..telan panadol..lepas solat..terus tidur.
Hari kedua di Seoul, perancangan kami bertukar. Nami Island yang dijadualkan pada hari keempat diawalkan pada pagi ini. Pulau Nami ini mengambil nama sempena seorang pahlawan Korea Selatan iaitu Jeneral Nami.  Jenaral Nami  ini meninggal dunia pada umur yang masih muda iaitu 26 tahun.
Jarak Pulau Nami dari Seoul kira-kira 63 km. Pulau Nami terletak di tengah-tengah Sungai Han, pulau ini seperti sehelai daun besar yang timbul di atas Tasik Cheongpyeong. Ya Allah, susahnya nak menyebut perkataan Korea ni..ejaan lain, sebutan pula lain.
Kami ke Pulau Nami dengan menaiki feri  menelusuri Sungai Han selama sepuluh minit sahaja lebih kurang. Pulau Nami ini adalah lokasi sebuah drama meletop Korea iaitu Winter Sonata. Pulau ini menjadi sangat terkenal ekoran dahsyatnya penangan drama Winter Sonata...entahlah apa yang bestnya sebab saya tidaklah mengikuti sangat cerita ni..adalah tertengok sesekali. Pada tahun 1965, beribu-ribu batang pokok ditanam di Pulau ini oleh Mr. Byeong –Do Minn.  Pulau Nami yang tidak mempunyai gunung ini mempunyai keluasan  460,000 meter persegi.

posing sebelum menaiki bot ke Pulau Nami

Jangkaan kami meleset sewaktu tiba di Pulau ini...ingatkan daun-daun Maple bertukar menjadi warna emas..rupa-rupanya baru pertengahan musim bunga. Saya membayangkan dedaunan berwarna kekuningan, jingga dan merah. Saya pula berlari-larian di atas timbunan dedaun berwarna emas sambil tersenyum gembira macam heroin dalam drama Winter Sonata tu..hahaha...( ada ke heroin cerita Korea yang kelabu asap macam kulit saya ni?) Oh,rupanya tidak! Impian tidak seperti dalam bayangan. Daun-daun masih kehijauan macam dalam ladang getah ayah saya kat Felda Jenderak Selatan 30 tahun dahulu. Iskk, bunyi macam tak bersyukur pulak..



Walau bagaimanapun, pemandangan di sini memang sangat romantik, tenang dan mendamaikan. Bagi pasangan yang bercinta, baru berkahwin dan masih dalam mood berbulan madu memang sesuailah ke sini. Banyaknya patung-patung di sini. Patung hero dan heroin drama Winter Sonata turut dibina di sini..begitulah terkesannya drama tersebut, tapi sayang saya hanya mendengar sahaja namanya. Cerita tersebut tidak saya ikuti.

berlatarbelakangkan hero dan heroin Winter Sonata

Hari kedua diteruskan dengan aktiviti membeli-belah di Itaewon Street. Di sini saya sempat membeli beberapa helai tshirt sebagai kenang-kenangan dan topi buat Mukhreez. Kami solat Jamak Taqdim di Masjid Seoul. Ada dua tiga orang kawan yang terlepas pandang waktu Asar. Mereka menunaikan Solat Jamak Akhir kerana menyangka waktu Asar sudah masuk. Usai solat, azan Asar berkumandang. Jadi, mereka terpaksa bersolat semula walaupun Mr. Seven sudah berkali-kali menyuruh kami bersegera kerana pada petang itu kami akan menaiki flight ke Pulau Jeju. Kami yang sudah solat, bergegas ke Little India untuk menikmati makan malam lebih awal.
Di dalam bas Kak Nita memberitahu ada hikmah rupanya mereka berlama-lama di dalam masjid Seoul kerana mengulang solat. Peristiwa itu menyebabkan dia berjumpa dengan kawan lamanya yang sudah berbelas-belas tahun tidak ditemui di masjid Seoul. Subhanallah memang setiap kejadian ada hikmah yang terselit.

Di Seoul makanan halal mudah didapati. Di sekitar Masjid Seoul banyak kedapatan kedai makan yang diusahakan oleh orang Turki dan Pakistan. Mereka sentiasa memberikan salam kepada pelancong-pelancong Muslim yang ditemui. Indahnya persaudaraan sesama Islam. Kami membeli makanan ringan seperti roti, biskut, dan air dalam tin di sebuah kedai runcit milik seorang lelaki Pakistan sebagai bekalan ke Pulau Jeju kerana khabarnya di sana makanan halal sukar didapati.

sebelum menaiki flight ke Pulau Jeju


Penerbangan domestik dari Lapangan Terbang Gimpo ke Pulau Jeju mengambil masa lebih kurang 50 minit. Di dalam kapal terbang,  kami telah terpesona dengan kejelitaan dan kekacakan pramugari dan pramugara berbangsa Korea. Subhanallah!  Allah  Maha Besar menjadikan manusia pelbagai bangsa, bahasa, rupa, dan warna kulit.


Di Pulau Jeju, kami check in di Hotel Ciel Bleu. Penat seharian menyebabkan tidur malam yang lena usai solat. Mukhreez menjadi wakil saya melaporkan aktiviti harian di Seoul kepada ayahnya di Kuala Medang. Memang berbaloi bawak si Kutek ni..hehe...



Selamat pagi Pulau Jeju!  

Pulau Jeju yang merupakan pulau terbesar di Korea Selatan ini dinobatkan antara pulau yang tercantik di dunia. Pulau ini terletak di selatan  Semenanjung Korea, merupakan sebuah pulau vulkanik kira-kira 130 km dari pantai selatan Korea. Provinsi terkecil di Korea ini terbentuk daripada letusan Gunung Berapi Halasan ratusan tahun dahulu. Gunung Halla yang merupakan gunung tertinggi di Korea Selatan terletak di Pulau Jeju. Pulau ini sangat kaya  dengan floranya, terkenal dengan nama Pulau Botani kerana di sini terdapat lebih 1700 jenis tanaman.

Penduduk Pulau Jeju dikenali dengan gelaran ‘Yukgoyeok’ yang bermaksud enam jenis pekerja keras. Hal ini demikian kerana mereka melakukan pekerjaan yang sulit dan berat demi kelangsungan hidup. Mereka mencari abalon dan kerang dengan cara menyelam ke dasar laut, membangun pelabuhan, berternak, membuat kapal, dan bertani. ‘ Haenyo’ ialah penyelam wanita yang boleh menyelam ke dasar laut lebih kurang tiga minit tanpa oksigen. Menurut Mr. Seven mereka ini tahan lasak dan kuat kerana memakan tulang kuda. Penduduk Pulau Jeju terkenal dengan ketabahan, kerja keras dan mampu bertahan walaupun dalam kehidupan yang sulit. Ada satu peribahasa yang hebat untuk menggambarkan kehidupan penduduk Jeju ini iaitu;
‘ Kebahagiaan itu kecil seperti butir pasir, sementara kesedihan itu sebesar batu karang ‘
Peribahasa ini jelas menunjukkan betapa hidup mereka dahulu sentiasa dirundung malang, sentiasa perlu bekerja keras dan penuh penderitaan, jadi mereka sukar sekali untuk hidup bahagia. Tentu sekali saya tidak bersetuju dengan peribahasa ini. Pada pendapat saya hidup ini terlalu singkat untuk diisi dengan kesedihan. Carilah kebahagiaan setiap hari dan nikmatilah kebahagiaan itu dengan cara yang sederhana asal sahaja tidak bertentangan dengan agama dan budaya kita. Saya bahagia sekali dapat ,menikmati keindahan bumi Allah ini.

Pulau Jeju ini menjadi kebanggaan rakyat Korea kerana di sini terdapat satu kawah gunung berapi yang menjadi tarikan para pelancong. Jadi, hari ketiga kami  ini diteruskan dengan lawatan ke Songsan Sunrise Peak.  Sunrise Peak  dinobatkan oleh UNESCO sebagai salah satu  7 wonder of Nature di dunia. Seongsan Ilchulbong ini adalah kawah gunung berapi yang memiliki keluasan 99.000 km persegi, terletak di sebelah timur Jeju.  Pemandangannya memang memukau...udaranya nyaman. Sesekali macam terasa berada di Kundasang, Sabah. Tanah di sini berwarna hitam yang sangat sesuai unuk pertanian.

Saya melayani Mukhreez menunggang kuda di sini dengan bayaran 5 ribu woon..seronok sangat anak teruna ni. Kami bernasib baik dapat menyaksikan persembahan kebudayaan daripada penduduk tempatan. Usai persembahan, kami merakamkan gambar kenangan dengan penari tersebut. Mmmmm...sesekali datang rasa rindu terhadap aktiviti kebudayaan sebegini. 


Terdapat sebuah perkampungan berdekatan Songsan Sunrise Peak ini. Kampung ini terkenal dengan sotong kering yang dijempur di pinggir pantai. Kampung ini turut menjadi lokasi penggambaran drama-drama terkenal Korea. Ada sesuatu yang unik di Jeju iaitu batu-batu hitam di sini dijadikan pagar batu. Memang sangat cantik, unik dan kreatif. Hampir kesemua tempat dan rumah menggunakan batu-batu ini sebagai pagar.
( antara pagar batu hitam yang unik, kreatif, dan menjimatkan )

Lawatan diteruskan ke Songup Folklore Village  iaitu sebuah perkampungan tradisional yang  kuat mempertahankan gaya hidup khas masyarakat Jeju. Di sini tidak ada penjara, pencuri dan orang bergelandangan. Masyarakat Korea memang terkenal dengan nilai intergritinya. Menurut Mr. Seven di Korea, jika kedapatan warganya yang ditangkap kerana mencuri, maka namanya akan disenaraihitamkan daripada menerima sebarang pekerjaan. Begitulah nilai intergriti begitu dipertahankan di sebuah negara bukan Islam. Bandingkan pula dengan negara kita????? Huh, antiklimaks kalau saya ceritakan di ruang ini.


( Mukhreez berlatarbelakangkan sebuah rumah tradisional )

Aktiviti seterusnya ke Osulloc Tea Museum, kemudian ke Dragon Head Rock atau batu kepala Naga. Sakan kami bergambar di sini. Banyaknya gerai  limau di sini. Limau Korea sangat manis dan lembut isinya. Kami dibawa pula ke Ghost Road atau Mysterious Road. Jalan ini terletak di bawah kaki gunung dan menghubungkan dua jalan utama di Pulau Jeju.  Apa  yang misterinya??
Kenderaan boleh bergerak  sendiri menaiki bukit  walaupun sudah dimatikan enjinnya. Sebenarnya fenomena ini hanyalah ilusi optikal  kerana jalan ini dikelilingi dataran tinggi. Mata kita seolah-olah melihat jalan itu menaik, padahal sebenarnya tidak.


( Mysterious Road atau Ghost Road )

Di Jeju memang agak sukar mencari makanan halal. Mujurlah ramai dalam kalangan kami membawa bekalan sambal hitam, sambal kentang, sambal bilis, makanan ringan seperti biskut dan roti. Apabila Mr. Seven membawa kami ke sebuah restauran Korea kononnya untuk menikmati makanan laut, namun kami terpaksa menolak kerana was-was. Ngeri juga nak makan makanan laut sedangkan bersebelahannya terhidang....???? Masakan terkenal di Jeju ialah Jeonbokju iaitu bubur berasaskan abalon. Kebanyakan makanan penduduk Jeju berasaskan sumber laut.

Kami singgah solat Jamak Akhir  di Learning Centre. Alhamdulillah, walaupun hanya dibenarkan menumpang solat di lobi sahaja. Ada satu perkara yang saya pelajari apabila kita suka melancong. Pakailah pakaian yang boleh dibawa bersolat supaya mudah kita bersolat tanpa perlu memberatkan beg membawa telekung. Mr. Seven yang kurang pengetahuan tentang Islam itu sangat hairan mengapa kami  mengambil berat soal solat.  Walau bagaimanapun beliau sangat prihatin dan berusaha mencarikan tempat untuk kami berhenti solat.

Lucu juga apabila Mr. Seven membuat analisis mudah tentang group kami melalui pengamatannya. Pertama beliau nampak kami suka solat. Mana-mana pergi pasti bertanya tentang waktu solat dan di mana tempat kami boleh bersolat. Yang  kedua suka makan,sebab setiap kali beliau membawa kami ke tempat makan kami akan bertepuk tangan gembira. Ketiga suka bunga, pantang nampak bunga, mesti ambil gambar. Keempat..jeng..jeng..jeng..suka tengok lelaki handsome...hahaha... padahal ada sorang berdua je dalam grup yang pantang nampak lelaki Korea handsome...kerayan benoo. ‘Epoyo’ ialah bahasa Korea yang bermaksud cantik. Jadi apabila sahaja ternampak kelibat wanita atau lelaki Korea yang comel... sebut Epoyo...hehe

Mr Seven pelik kerana kami ketawa sepanjang masa... ” You are always hahaha”....Menurut Mr Seven orang Korea sangat stress . Pada hari minggu mereka akan menghabiskan duit untuk minum-minum. Saya dapati budaya merokok sangat tebal di sini sama ada lelaki mahupun perempuan. Baru saya tahu orang Korea tidak ada budaya menabung atau menyimpan duit macam kita. Gaji bulanan banyak dihabiskan untuk membeli kosmetik, hiburan, bertukar-tukar fesyen, minum-minum. Tiada peruntukan gaji untuk menyimpan wang melainkan mereka membeli insurans.

Orang Korea belum begitu terbuka menerima pelancong luar. Peniaga-peniaga Korea kurang peramah dan sama sekali tidak suka budaya tawar-menawar sewaktu jual-beli. Sepanjang enam hari di sini saya jarang-jarang sekali ternampak kelibat pelancong dari barat, yang ramai ialah pelancong Cina dari Malaysia, Taiwan, China serta pelancong Muslim dari Malayisa dan Indonesia. Orang Korea keseluruhannya tidak boleh berbahasa Inggeris.

Namun yang menarik tentang orang Korea ialah mereka memiliki jati diri dan nilai intergriti yang tinggi. Mereka sangat berbangga dengan kereta nasional Korea iaitu Hyundai dan KIA. Kereta import tidak banyak di jalan raya. Toyota hampir tiada saya kira. Aduh, sayang sekali melihat Hyundai Sonata dijadikan teksi di sini. Saya juga terlupa untuk merakamkan gambar deretan kereta Hyundai Sonata yang dibuat teksi.

Dari Pulau Jeju,  kami kembali ke Seoul. Apabila dibawa ke sebuah restoran vegetarian, kami merasai pengalaman baharu menikmati makanan tradisional masyarakat Korea iaitu ‘Bimbimbap’. Pada awalnya saya kurang seronok apabila dibawa ke restoran vegetarian sebab saya bukan penggemar sayur. Apabila dihidangkan nasi yang penuh dengan sayur-sayuran, kemudian ada telur yang dipecahkan di atas nasi tersebut, termenung juga saya memikirkan bagaimanalah hendak menikmati juadah ini.
Bimbimbap

Mr. Seven menunjukkan kami cara untuk menikmati Bimbimbap iaitu menggaulkkan nasi dan sayuran, dan telur cair yang berada dalam mangkuk yang panas itu. Telur cair itu masak apabila digaulkan dengan nasi panas di dalam mangkuk yang panas. Wowww!! Rupanya seperi nasi goreng la pula...saya ubah suai sedikit hidangan tersebut iaitu menggaulkannya dengan sambal hitam dari Lipis ( makanan tradisional orang Pahang). Mmmm...memang sedap. Tak Kenal Maka Tak Cinta. Dah menjamah, baru tau kesedapannya. Jadi, apabila berkunjung ke negara orang, cuba-cubalah merasai masakan bangsa lain supaya kita beroleh pengalaman baharu.

Kembara hari keempat ini diteruskan ke Istana Kyongbok ( Kyongbok Palace ) iaitu istana Maharaja Korea pada masa dahulu. Apabila Dinasti Joseon bermula pada tahun 1392, kerja-kerja pembinaan istana ini dilaksanakan dengan segera. Istana hebat ini terletak di kawasan Namsan dan Gunung Bugaksan, dianggap berpotesi serta mempunyai daya tarikan yang tinggi . Kira-kira lewat kurun ke-16, istana ini telah dimusnahkan oleh Jepun. Setelah terbiar hampir dua setengah dekad, istana ini kemudian dipulihara dan ditambah baik secara besar-besaran sehingga ia kelihatan seolah-olah sebuah kota kecil. Namun sejarah hitam kembali berulang apabila Jepun sekali lagi kembali memusnahkan kawasan tersebut.



Tambah memalukan penduduk Korea kerana sebuah bangunan pentadbiran Jeneral Jepun yang besar telah dibina berhadapan istana tersebut sehingga menyekat pandangan ke arah istana. Namun sejak 1990, kerja-kerja pemuliharaan kembali dimulakan secara berperingkat-peringkat.

 Kini Kyongbok Palace menjadi tumpuan pelancong yang berkunjung ke Seoul kerana seni binanya yang unik. Sakit juga betis kami berjalan mengelilingi sekitar kawasan istana ini. Saya tidak melepaskan peluang untuk merakamkan beberapa sudut yang menarik tentang istana yang menggambarkan kehebatan Maharaja Korea ini. Menurut seorang petugas di istana tersebut, kebanyakan waris dan kerabat Maharaja Korea kini tidak suka dikenali. Ada dalam kalangan mereka yang berhijrah dan menetap di luar negara.



Lawatan diteruskan ke National Folk Museum dan Presidential Blue House. Seterusnya kami ke Namsan Hanok Village Traditional, iaitu sebuah perkampungan yang menjadi tarikan pelancongan. Kami menyaksikan keunikan kampung dan seni bina tradisional Korea. Semasa era Dinasti Joseon, kampung Hanok ini terletak di daerah Pil-dong arah utara Gunung Namsan. Lembah-lembah dan Cheonwoo-gak telah menjadikan perkampungan Hanok ini sebagai tempat yang ideal untuk dilawati semasa musim panas.


Untuk mengekalkan sejarah dan cara hidup nenek moyang mereka dahulu supaya dapat dilihat oleh generasi kini, maka lima buah rumah Hanok telah dipindahkan ke Namsangol Hanok Village ini. Lima buah rumah tersebut ialah Carpenter Yi Seung-eops’s House, Kim Choon-Yeong’s House, Min Family’s House, Yoon Taek-yeong’s Jaesil dan Yun Family’s House.

Di  Namsan Folk Village ini, kami solat Jamak Akhir. Kami dimarahi kerana menumpang berwuduk di dalam tandas di situ. Garang betul makcik-makcik Korea ni...

Dinner time! Semua orang gembira. Kami dibawa ke Little India menikmati nasi Beriani yang sedap dan teh tarik...mmmm aroma teh tarik memang mengujakan, tapi tehnya tidak sehebat teh tarik asli dari Malaysia.

Aktiviti seterusnya ialah membeli-belah di Doota Mall  yang menjual 100% barangan Korea. Saya hanya membeli sehelai jaket berharga 99 ribu woon. Mr. Seven membawa kami melihat sebatang sungai kecil yang telah dibaik pulih oleh kerajaan Korea. Menurutnya, sungai ini dahulu tersangat kotor dan tercemar dengan sampah sarap , namun kesungguhan pemerintah untuk menjernihkan sungai ini berbaloi kerana kini Cheyong Yecheon Stream mengalir jernih airnya dan menjadi tumpuan untuk berekreasi. Oh, saya terbayangkan Sungai Kelang! Airnya mengalir lesu. Selesu mata yang memandang.

Hari kelima di Seoul, kami melawat National Ginseng Outlet. Masing-masing ternganga kerana harga ginseng yang sangat mahal bagi seorang guru macam saya. Jenuh juga jurujual memujuk kami untuk membeli ubat-ubatan berasaskan ginseng tetapi hanya gelengan sebagai jawapan. Lawatan diteruskan ke Cosmetic Duty Free Shop. Terbelilah juga beberapa kosmetik berasakan bahan organik kot-kot la boleh gebu macam kulit orang Korea ( hehe..koyaa).

Kemudian kami ke Seaweed Museum. Untuk pertama kalinya saya menikmati sejenis makanan bernama ‘ Sushi ‘. Boleh tahan juga rasanya. Paling best di sini kami boleh menggayakan pakaian tradisional Korea iaitu Han – Bok. Bukan main masing-masing berposing dengan gaya ala-ala ayu. Saya memilih sepasang Han – Bok berwarna biru. Sejujurnya pakaian tradisional ini jauh lebih sopan daripada kebaya ketat Malaysia yang dipakai pramugari MAS. Pada waktu petang, aktiviti membeli-belah diteruskan lagi di Namdaemun Market dan Myeong – Dong Fashion Street. Namun saya sudah tidak berminat lagi. Kaki sudah sakit dan badan sudah terasa sangat lesu.

kami menggayakan Han Bok iaitu pakaian tradisional Wanita Korea

              
Demikianlah secebis catatan pengalaman saya di bumi Korea Selatan. Terima kasih buat kawan-kawan yang turut menyumbang idea untuk penulisan ini. Kamsa Hamida buat sahabat-sahabat kesayanganku Khairun Nisa, Zilawati Mohd Zain, Azuraihan, Faziah Jaafar, Noor Hazrah, Ikmal Hisham, Arfandi dan Ikram. ( korang memanggggg rakan sekerja yang baik )

Hari keenam, kami pulang dengan kenangan yang indah. Selamat tinggal Korea Selatan! Selamat tinggal Mr. Seven yang baik hati. Sewaktu menjejakkan kami di KLIA 2, saya sudah terbayangkan destinasi percutian yang seterusnya....hehe...

Terima Kasih Ya Allah!


               





3 comments: