SUARA HATIKU
ANEON HAI
SAIYO..KOREA SELATAN DALAM KENANGAN...
“Aneon Hai Saiyo” ... hehe...nak
sebut perkataan ini, anda kena melembutkan lidah, suara dan badan. Kalau tak,
macam tak berapa nak jadi..dekat seminggu duduk Korea Selatan, baru boleh
menyebutnya dengan agak betul. Aneon hai
saiyo ialah ucapan salam yang popular di
negara ini. Lebih kurang macam ‘hello‘.
Apabila menyebutnya, sekali gus kepala ditundukkan sedikit sebagai tanda
hormat.
Alhamdulillah..segala
puji bagi Allah yang telah mengizinkan kami menjejakkan kaki ke bumi Korea Selatan yang sangat cantik. Perjalanan
ini sangat menyeronokkan kerana kali ini
hero Tamil saya Mohd Aidil Mukhreez turut menemani. Di samping itu saya
pergi bersama rakan-rakan sekerja yang sangat menyenangkan, selalu tertawa
sepanjang perjalanan dan tidak banyak kerenah.
Kamsa Hamidaa ( bahasa Korea yang bermaksud
terima kasih) kepada kak Rohiada yang mempelawa saya mengikuti trip ini..juga
buat Mak Tam, Marisha, Faziah Jaafar, Adik Liza, Kak Rushuzaini, Kak
Nita, dan Zilawati . Kamsa Hamidaa juga buat abang pupu, Aziz Zakaria yang sudi
menghantar kami ke KLIA 2.
Perjalanan kami hampir tidak
jadi sebenarnya..di saat-saat akhir ada
beberapa orang yang menarik diri. Namun kalau dah rezeki memang tak ke
mana..Walaupun terpaksa menambah bayaran, namun masing-masing bersetuju kerana
aroma Korea Selatan memang mengujakan. Syukur Ya Allah.
Kami
tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada jam 3.25 petang. Rombongan
kami disambut oleh Mr. Seven, pemandu pelancong berbangsa Korea. Waktu di Korea
Selatan awal sejam berbanding Malaysia. Kami solat Jamak Awal di lapangan terbang Incheon sebelum di bawa
berjalan-jalan menikmati pemandangan di bandar Seoul.
Lawatan
dimulakan dengan melawat ke Hello Kitty Cafe iaitu sebuah kafe
berkonsepkan watak kartun yang popular. Walau bagaimanapun kami tidak lama di
sini kerana pada saya tidak ada yang menariknya di sini. Kemudian kami ke Shinchon
Ladies Street iaitu sebuah kawasan membeli-belah yang menawarkan pelbagai
fesyen, aksesori, mekap, pelbagai aneka stoking dan gerai-gerai makanan di
tepi-tepi jalan. Shinchon Ladies Street ini popular dalam kalangan
wanita-wanita muda Korea Selatan yang begitu obses dengan fesyen, aksesori dan
kosmetik. Di hujung jalan ini ada sebuah universiti khas untuk wanita sahaja..(
ala tak tahu apa namanya )
![]() |
Aneka stoking dijual di sin0 |
Saya
biarkan saja Mukhreez mengambil gambar dengan telefon Lenovo yang tidak berapa
cantik gambarnya. Suka sangat nampaknya anak teruna saya ni..Kami menikmati
pemandangan malam di Seoul yang sesak. Pada saya, bandar ini tidak begitu
bersih sebagaimana Beijing dan Istanbul. Mungkin kerana kehadiran pelancong
luar yang begitu ramai. Peniaga Korea tidak begitu ramah dan mengalu-alukan
pelancong. Menurut Mr. Seven budaya tawar-menawar tidak digemari peniaga Korea.
Kawan saya si Faziah Jaafar tu beberapa kali dihalau oleh peniaga Korea sebab
minta diskaun...haha..nasibla Zie..
Pada
malam itu kami ‘check in’ di Coop City Hotel...hotel ni nampak simple
dari luar tetapi biliknya...wow!!! Namun
macam biasalah... perjalanan yang panjang tanpa rehat menyebabkan saya sakit
kepala..telan panadol..lepas solat..terus tidur.
Hari
kedua di Seoul, perancangan kami bertukar. Nami Island yang dijadualkan pada
hari keempat diawalkan pada pagi ini. Pulau Nami ini mengambil nama sempena
seorang pahlawan Korea Selatan iaitu Jeneral Nami. Jenaral Nami
ini meninggal dunia pada umur yang masih muda iaitu 26 tahun.
Jarak
Pulau Nami dari Seoul kira-kira 63 km. Pulau Nami terletak di tengah-tengah Sungai
Han, pulau ini seperti sehelai daun besar yang timbul di atas Tasik
Cheongpyeong. Ya Allah, susahnya nak menyebut perkataan Korea ni..ejaan lain,
sebutan pula lain.
Kami
ke Pulau Nami dengan menaiki feri menelusuri Sungai Han selama sepuluh minit
sahaja lebih kurang. Pulau Nami ini adalah lokasi sebuah drama meletop Korea
iaitu Winter Sonata. Pulau ini menjadi sangat terkenal ekoran dahsyatnya
penangan drama Winter Sonata...entahlah apa yang bestnya sebab saya tidaklah
mengikuti sangat cerita ni..adalah tertengok sesekali. Pada tahun 1965,
beribu-ribu batang pokok ditanam di Pulau ini oleh Mr. Byeong –Do Minn. Pulau Nami yang tidak mempunyai gunung ini
mempunyai keluasan 460,000 meter
persegi.
![]() |
posing sebelum menaiki bot ke Pulau Nami |
Jangkaan
kami meleset sewaktu tiba di Pulau ini...ingatkan daun-daun Maple bertukar
menjadi warna emas..rupa-rupanya baru pertengahan musim bunga. Saya
membayangkan dedaunan berwarna kekuningan, jingga dan merah. Saya pula berlari-larian
di atas timbunan dedaun berwarna emas sambil tersenyum gembira macam heroin
dalam drama Winter Sonata tu..hahaha...( ada ke heroin cerita Korea yang kelabu
asap macam kulit saya ni?) Oh,rupanya tidak! Impian tidak seperti dalam
bayangan. Daun-daun masih kehijauan macam dalam ladang getah ayah saya kat Felda
Jenderak Selatan 30 tahun dahulu. Iskk, bunyi macam tak bersyukur pulak..
Walau
bagaimanapun, pemandangan di sini memang sangat romantik, tenang dan mendamaikan.
Bagi pasangan yang bercinta, baru berkahwin dan masih dalam mood berbulan madu
memang sesuailah ke sini. Banyaknya patung-patung di sini. Patung hero dan
heroin drama Winter Sonata turut dibina di sini..begitulah terkesannya drama
tersebut, tapi sayang saya hanya mendengar sahaja namanya. Cerita tersebut
tidak saya ikuti.
![]() |
berlatarbelakangkan hero dan heroin Winter Sonata |
Hari
kedua diteruskan dengan aktiviti membeli-belah di Itaewon Street. Di
sini saya sempat membeli beberapa helai tshirt sebagai kenang-kenangan dan topi
buat Mukhreez. Kami solat Jamak Taqdim di Masjid Seoul. Ada dua tiga orang
kawan yang terlepas pandang waktu Asar. Mereka menunaikan Solat Jamak Akhir
kerana menyangka waktu Asar sudah masuk. Usai solat, azan Asar berkumandang.
Jadi, mereka terpaksa bersolat semula walaupun Mr. Seven sudah berkali-kali
menyuruh kami bersegera kerana pada petang itu kami akan menaiki flight ke
Pulau Jeju. Kami yang sudah solat, bergegas ke Little India untuk menikmati
makan malam lebih awal.
Di
dalam bas Kak Nita memberitahu ada hikmah rupanya mereka berlama-lama di dalam
masjid Seoul kerana mengulang solat. Peristiwa itu menyebabkan dia berjumpa
dengan kawan lamanya yang sudah berbelas-belas tahun tidak ditemui di masjid
Seoul. Subhanallah memang setiap kejadian ada hikmah yang terselit.
Di
Seoul makanan halal mudah didapati. Di sekitar Masjid Seoul banyak kedapatan
kedai makan yang diusahakan oleh orang Turki dan Pakistan. Mereka sentiasa
memberikan salam kepada pelancong-pelancong Muslim yang ditemui. Indahnya
persaudaraan sesama Islam. Kami membeli makanan ringan seperti roti, biskut,
dan air dalam tin di sebuah kedai runcit milik seorang lelaki Pakistan sebagai
bekalan ke Pulau Jeju kerana khabarnya di sana makanan halal sukar didapati.
![]() |
sebelum menaiki flight ke Pulau Jeju |
Penerbangan
domestik dari Lapangan Terbang Gimpo ke Pulau Jeju mengambil masa lebih
kurang 50 minit. Di dalam kapal terbang,
kami telah terpesona dengan kejelitaan dan kekacakan pramugari dan
pramugara berbangsa Korea. Subhanallah! Allah
Maha Besar menjadikan manusia pelbagai bangsa, bahasa, rupa, dan warna
kulit.
Di Pulau Jeju, kami check in di Hotel Ciel Bleu. Penat seharian
menyebabkan tidur malam yang lena usai solat. Mukhreez menjadi wakil saya
melaporkan aktiviti harian di Seoul kepada ayahnya di Kuala Medang. Memang
berbaloi bawak si Kutek ni..hehe...
Selamat
pagi Pulau Jeju!
Pulau Jeju yang merupakan pulau terbesar di
Korea Selatan ini dinobatkan antara pulau yang tercantik di dunia. Pulau ini
terletak di selatan Semenanjung Korea,
merupakan sebuah pulau vulkanik kira-kira 130 km dari pantai selatan Korea.
Provinsi terkecil di Korea ini terbentuk daripada letusan Gunung Berapi Halasan
ratusan tahun dahulu. Gunung Halla yang merupakan gunung tertinggi di Korea
Selatan terletak di Pulau Jeju. Pulau ini sangat kaya dengan floranya, terkenal dengan nama Pulau
Botani kerana di sini terdapat lebih 1700 jenis tanaman.
Penduduk
Pulau Jeju dikenali dengan gelaran ‘Yukgoyeok’ yang bermaksud enam jenis
pekerja keras. Hal ini demikian kerana mereka melakukan pekerjaan yang sulit
dan berat demi kelangsungan hidup. Mereka mencari abalon dan kerang dengan cara
menyelam ke dasar laut, membangun pelabuhan, berternak, membuat kapal, dan
bertani. ‘ Haenyo’ ialah penyelam wanita yang boleh menyelam ke dasar
laut lebih kurang tiga minit tanpa oksigen. Menurut Mr. Seven mereka ini tahan
lasak dan kuat kerana memakan tulang kuda. Penduduk Pulau Jeju terkenal dengan
ketabahan, kerja keras dan mampu bertahan walaupun dalam kehidupan yang sulit.
Ada satu peribahasa yang hebat untuk menggambarkan kehidupan penduduk Jeju ini
iaitu;
‘ Kebahagiaan itu kecil seperti butir pasir, sementara kesedihan itu
sebesar batu karang ‘
Peribahasa
ini jelas menunjukkan betapa hidup mereka dahulu sentiasa dirundung malang,
sentiasa perlu bekerja keras dan penuh penderitaan, jadi mereka sukar sekali
untuk hidup bahagia. Tentu sekali saya tidak bersetuju dengan peribahasa ini.
Pada pendapat saya hidup ini terlalu singkat untuk diisi dengan kesedihan.
Carilah kebahagiaan setiap hari dan nikmatilah kebahagiaan itu dengan cara yang
sederhana asal sahaja tidak bertentangan dengan agama dan budaya kita. Saya
bahagia sekali dapat ,menikmati keindahan bumi Allah ini.
Pulau
Jeju ini menjadi kebanggaan rakyat Korea kerana di sini terdapat satu kawah
gunung berapi yang menjadi tarikan para pelancong. Jadi, hari ketiga kami ini diteruskan dengan lawatan ke Songsan
Sunrise Peak. Sunrise Peak dinobatkan oleh UNESCO sebagai salah
satu 7 wonder of Nature di dunia. Seongsan
Ilchulbong ini adalah kawah gunung berapi yang memiliki keluasan 99.000 km
persegi, terletak di sebelah timur Jeju. Pemandangannya memang memukau...udaranya
nyaman. Sesekali macam terasa berada di Kundasang, Sabah. Tanah di sini
berwarna hitam yang sangat sesuai unuk pertanian.
Saya
melayani Mukhreez menunggang kuda di sini dengan bayaran 5 ribu woon..seronok
sangat anak teruna ni. Kami bernasib baik dapat menyaksikan persembahan
kebudayaan daripada penduduk tempatan. Usai persembahan, kami merakamkan gambar
kenangan dengan penari tersebut. Mmmmm...sesekali datang rasa rindu terhadap
aktiviti kebudayaan sebegini.
Terdapat
sebuah perkampungan berdekatan Songsan Sunrise Peak ini. Kampung ini terkenal
dengan sotong kering yang dijempur di pinggir pantai. Kampung ini turut menjadi
lokasi penggambaran drama-drama terkenal Korea. Ada sesuatu yang unik di Jeju
iaitu batu-batu hitam di sini dijadikan pagar batu. Memang sangat cantik, unik
dan kreatif. Hampir kesemua tempat dan rumah menggunakan batu-batu ini sebagai
pagar.
( antara pagar batu hitam yang unik, kreatif, dan menjimatkan )
Lawatan
diteruskan ke Songup Folklore Village
iaitu sebuah perkampungan tradisional yang kuat mempertahankan gaya hidup khas
masyarakat Jeju. Di sini tidak ada penjara, pencuri dan orang bergelandangan.
Masyarakat Korea memang terkenal dengan nilai intergritinya. Menurut Mr. Seven
di Korea, jika kedapatan warganya yang ditangkap kerana mencuri, maka namanya
akan disenaraihitamkan daripada menerima sebarang pekerjaan. Begitulah nilai
intergriti begitu dipertahankan di sebuah negara bukan Islam. Bandingkan pula
dengan negara kita????? Huh, antiklimaks kalau saya ceritakan di ruang ini.
( Mukhreez berlatarbelakangkan sebuah rumah tradisional )
Aktiviti
seterusnya ke Osulloc Tea Museum, kemudian ke Dragon Head Rock
atau batu kepala Naga. Sakan kami bergambar di sini. Banyaknya gerai limau di sini. Limau Korea sangat manis dan
lembut isinya. Kami dibawa pula ke Ghost Road atau Mysterious Road.
Jalan ini terletak di bawah kaki gunung dan menghubungkan dua jalan utama di
Pulau Jeju. Apa yang misterinya??
Kenderaan
boleh bergerak sendiri menaiki
bukit walaupun sudah dimatikan enjinnya.
Sebenarnya fenomena ini hanyalah ilusi optikal
kerana jalan ini dikelilingi dataran tinggi. Mata kita seolah-olah
melihat jalan itu menaik, padahal sebenarnya tidak.
( Mysterious Road atau Ghost Road )
Di
Jeju memang agak sukar mencari makanan halal. Mujurlah ramai dalam kalangan
kami membawa bekalan sambal hitam, sambal kentang, sambal bilis, makanan ringan
seperti biskut dan roti. Apabila Mr. Seven membawa kami ke sebuah restauran
Korea kononnya untuk menikmati makanan laut, namun kami terpaksa menolak kerana
was-was. Ngeri juga nak makan makanan laut sedangkan bersebelahannya
terhidang....???? Masakan terkenal di Jeju ialah Jeonbokju iaitu bubur
berasaskan abalon. Kebanyakan makanan penduduk Jeju berasaskan sumber laut.
Kami
singgah solat Jamak Akhir di Learning
Centre. Alhamdulillah, walaupun hanya dibenarkan menumpang solat di lobi
sahaja. Ada satu perkara yang saya pelajari apabila kita suka melancong.
Pakailah pakaian yang boleh dibawa bersolat supaya mudah kita bersolat tanpa
perlu memberatkan beg membawa telekung. Mr. Seven yang kurang pengetahuan
tentang Islam itu sangat hairan mengapa kami
mengambil berat soal solat. Walau
bagaimanapun beliau sangat prihatin dan berusaha mencarikan tempat untuk kami
berhenti solat.
Lucu
juga apabila Mr. Seven membuat analisis mudah tentang group kami melalui
pengamatannya. Pertama beliau nampak kami suka solat. Mana-mana pergi pasti
bertanya tentang waktu solat dan di mana tempat kami boleh bersolat. Yang kedua suka makan,sebab setiap kali beliau
membawa kami ke tempat makan kami akan bertepuk tangan gembira. Ketiga suka
bunga, pantang nampak bunga, mesti ambil gambar. Keempat..jeng..jeng..jeng..suka
tengok lelaki handsome...hahaha... padahal ada sorang berdua je dalam grup yang
pantang nampak lelaki Korea handsome...kerayan benoo. ‘Epoyo’ ialah
bahasa Korea yang bermaksud cantik. Jadi apabila sahaja ternampak kelibat
wanita atau lelaki Korea yang comel... sebut Epoyo...hehe
Mr
Seven pelik kerana kami ketawa sepanjang masa... ” You are always hahaha”....Menurut
Mr Seven orang Korea sangat stress . Pada hari minggu mereka akan menghabiskan
duit untuk minum-minum. Saya dapati budaya merokok sangat tebal di sini sama
ada lelaki mahupun perempuan. Baru saya tahu orang Korea tidak ada budaya
menabung atau menyimpan duit macam kita. Gaji bulanan banyak dihabiskan untuk
membeli kosmetik, hiburan, bertukar-tukar fesyen, minum-minum. Tiada peruntukan
gaji untuk menyimpan wang melainkan mereka membeli insurans.
Orang
Korea belum begitu terbuka menerima pelancong luar. Peniaga-peniaga Korea
kurang peramah dan sama sekali tidak suka budaya tawar-menawar sewaktu
jual-beli. Sepanjang enam hari di sini saya jarang-jarang sekali ternampak
kelibat pelancong dari barat, yang ramai ialah pelancong Cina dari Malaysia,
Taiwan, China serta pelancong Muslim dari Malayisa dan Indonesia. Orang Korea
keseluruhannya tidak boleh berbahasa Inggeris.
Namun
yang menarik tentang orang Korea ialah mereka memiliki jati diri dan nilai
intergriti yang tinggi. Mereka sangat berbangga dengan kereta nasional Korea
iaitu Hyundai dan KIA. Kereta import tidak banyak di jalan raya.
Toyota hampir tiada saya kira. Aduh, sayang sekali melihat Hyundai Sonata
dijadikan teksi di sini. Saya juga terlupa untuk merakamkan gambar deretan
kereta Hyundai Sonata yang dibuat teksi.
Dari
Pulau Jeju, kami kembali ke Seoul. Apabila
dibawa ke sebuah restoran vegetarian, kami merasai pengalaman baharu menikmati
makanan tradisional masyarakat Korea iaitu ‘Bimbimbap’. Pada awalnya
saya kurang seronok apabila dibawa ke restoran vegetarian sebab saya bukan
penggemar sayur. Apabila dihidangkan nasi yang penuh dengan sayur-sayuran,
kemudian ada telur yang dipecahkan di atas nasi tersebut, termenung juga saya
memikirkan bagaimanalah hendak menikmati juadah ini.
![]() |
Bimbimbap |
Mr.
Seven menunjukkan kami cara untuk menikmati Bimbimbap iaitu menggaulkkan nasi
dan sayuran, dan telur cair yang berada dalam mangkuk yang panas itu. Telur
cair itu masak apabila digaulkan dengan nasi panas di dalam mangkuk yang panas.
Wowww!! Rupanya seperi nasi goreng la pula...saya ubah suai sedikit hidangan
tersebut iaitu menggaulkannya dengan sambal hitam dari Lipis ( makanan tradisional
orang Pahang). Mmmm...memang sedap. Tak Kenal Maka Tak Cinta. Dah menjamah,
baru tau kesedapannya. Jadi, apabila berkunjung ke negara orang, cuba-cubalah
merasai masakan bangsa lain supaya kita beroleh pengalaman baharu.
Kembara
hari keempat ini diteruskan ke Istana Kyongbok ( Kyongbok Palace ) iaitu
istana Maharaja Korea pada masa dahulu. Apabila Dinasti Joseon bermula pada
tahun 1392, kerja-kerja pembinaan istana ini dilaksanakan dengan segera. Istana
hebat ini terletak di kawasan Namsan dan Gunung Bugaksan, dianggap berpotesi
serta mempunyai daya tarikan yang tinggi . Kira-kira lewat kurun ke-16, istana
ini telah dimusnahkan oleh Jepun. Setelah terbiar hampir dua setengah dekad,
istana ini kemudian dipulihara dan ditambah baik secara besar-besaran sehingga
ia kelihatan seolah-olah sebuah kota kecil. Namun sejarah hitam kembali
berulang apabila Jepun sekali lagi kembali memusnahkan kawasan tersebut.
Tambah
memalukan penduduk Korea kerana sebuah bangunan pentadbiran Jeneral Jepun yang
besar telah dibina berhadapan istana tersebut sehingga menyekat pandangan ke
arah istana. Namun sejak 1990, kerja-kerja pemuliharaan kembali dimulakan
secara berperingkat-peringkat.
Kini Kyongbok Palace menjadi tumpuan pelancong
yang berkunjung ke Seoul kerana seni binanya yang unik. Sakit juga betis kami
berjalan mengelilingi sekitar kawasan istana ini. Saya tidak melepaskan peluang
untuk merakamkan beberapa sudut yang menarik tentang istana yang menggambarkan
kehebatan Maharaja Korea ini. Menurut seorang petugas di istana tersebut,
kebanyakan waris dan kerabat Maharaja Korea kini tidak suka dikenali. Ada dalam
kalangan mereka yang berhijrah dan menetap di luar negara.
Lawatan
diteruskan ke National Folk Museum dan Presidential Blue House.
Seterusnya kami ke Namsan Hanok Village Traditional, iaitu sebuah
perkampungan yang menjadi tarikan pelancongan. Kami menyaksikan keunikan
kampung dan seni bina tradisional Korea. Semasa era Dinasti Joseon, kampung
Hanok ini terletak di daerah Pil-dong arah utara Gunung Namsan. Lembah-lembah
dan Cheonwoo-gak telah menjadikan perkampungan Hanok ini sebagai tempat yang
ideal untuk dilawati semasa musim panas.
Untuk
mengekalkan sejarah dan cara hidup nenek moyang mereka dahulu supaya dapat
dilihat oleh generasi kini, maka lima buah rumah Hanok telah dipindahkan ke
Namsangol Hanok Village ini. Lima buah rumah tersebut ialah Carpenter Yi
Seung-eops’s House, Kim Choon-Yeong’s House, Min Family’s House,
Yoon Taek-yeong’s Jaesil dan Yun Family’s House.
Di Namsan Folk Village ini, kami solat Jamak
Akhir. Kami dimarahi kerana menumpang berwuduk di dalam tandas di situ. Garang
betul makcik-makcik Korea ni...
Dinner
time! Semua orang gembira. Kami dibawa ke Little India menikmati nasi Beriani
yang sedap dan teh tarik...mmmm aroma teh tarik memang mengujakan, tapi tehnya
tidak sehebat teh tarik asli dari Malaysia.
Aktiviti
seterusnya ialah membeli-belah di Doota Mall yang menjual 100% barangan Korea. Saya hanya
membeli sehelai jaket berharga 99 ribu woon. Mr. Seven membawa kami melihat sebatang
sungai kecil yang telah dibaik pulih oleh kerajaan Korea. Menurutnya, sungai
ini dahulu tersangat kotor dan tercemar dengan sampah sarap , namun kesungguhan
pemerintah untuk menjernihkan sungai ini berbaloi kerana kini Cheyong
Yecheon Stream mengalir jernih airnya dan menjadi tumpuan untuk berekreasi.
Oh, saya terbayangkan Sungai Kelang! Airnya mengalir lesu. Selesu mata yang
memandang.
Hari
kelima di Seoul, kami melawat National Ginseng Outlet. Masing-masing
ternganga kerana harga ginseng yang sangat mahal bagi seorang guru macam saya.
Jenuh juga jurujual memujuk kami untuk membeli ubat-ubatan berasaskan ginseng
tetapi hanya gelengan sebagai jawapan. Lawatan diteruskan ke Cosmetic Duty
Free Shop. Terbelilah juga beberapa kosmetik berasakan bahan organik
kot-kot la boleh gebu macam kulit orang Korea ( hehe..koyaa).
Kemudian
kami ke Seaweed Museum. Untuk pertama kalinya saya menikmati sejenis
makanan bernama ‘ Sushi ‘. Boleh tahan juga rasanya. Paling best di sini
kami boleh menggayakan pakaian tradisional Korea iaitu Han – Bok. Bukan
main masing-masing berposing dengan gaya ala-ala ayu. Saya memilih sepasang Han
– Bok berwarna biru. Sejujurnya pakaian tradisional ini jauh lebih sopan
daripada kebaya ketat Malaysia yang dipakai pramugari MAS. Pada waktu petang,
aktiviti membeli-belah diteruskan lagi di Namdaemun Market dan Myeong – Dong
Fashion Street. Namun saya sudah tidak berminat lagi. Kaki sudah sakit dan
badan sudah terasa sangat lesu.
![]() |
kami menggayakan Han Bok iaitu pakaian tradisional Wanita Korea |
Demikianlah
secebis catatan pengalaman saya di bumi Korea Selatan. Terima kasih buat
kawan-kawan yang turut menyumbang idea untuk penulisan ini. Kamsa Hamida buat
sahabat-sahabat kesayanganku Khairun Nisa, Zilawati Mohd Zain, Azuraihan, Faziah
Jaafar, Noor Hazrah, Ikmal Hisham, Arfandi dan Ikram. ( korang
memanggggg rakan sekerja yang baik )
Hari
keenam, kami pulang dengan kenangan yang indah. Selamat tinggal Korea Selatan! Selamat
tinggal Mr. Seven yang baik hati. Sewaktu menjejakkan kami di KLIA 2, saya
sudah terbayangkan destinasi percutian yang seterusnya....hehe...
Terima Kasih Ya Allah!
AMAZING EXPERIENCE....SUBHANALLAH
ReplyDeleteErmmm... seronoknya..
ReplyDeleteErmmm... seronoknya..
ReplyDelete